Bidadari: Allah Sangat Sayangkan Kita ~ Bersyukurlah

 Oleh Norashikin Bt Abdullah

 

Allah loves us the most

 

Bercerita mengenai kasih sayang Allah  terhadap hambanya. Tertarik dengan kata-kata sahabat saya ketika di awal perubahannya. “Sesungguhnya Allah terlalu menyayangi kita. Jika Allah terlalu menyayangi kita, mengapa kita pula yang ingin mencampakkan diri kita sendiri ke lembah kebinasaan (neraka).” Saya menganggukkan kepala tanda membenarkan kata-katanya. Syurga Allah yang indah itu penuh dengan segala kenikmatan yang tiada tolak bandingnya.

 

Tetapi kerana kita terperangkap dengan anggapan bahawa syurga dunia lebih meyakinkan kita, maka kita lupa kisah akhirat dan syurga yang diperincikan oleh Allah di dalam al-Quran.

 

Namun, sering kali yang kekal itu bukan pilihan kita. Mengapa kita perlu memilih untuk sementara yang akhirnya menderita?

 

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn” serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar. (At-Taubah: 72)

 

Sering Terlupa Kasih Sayang-Nya

Terkadang bukannya kita tidak tahu akan kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya  itu melebihi segala-gala yang ada sama ada di langit atau di bumi,  malah juga di lautan. Tetapi kita sebagai  manusia mudah benar lupa dan alpa terhadap kasih sayang Ilahi. Tidak kurang juga, terdapat segelintir daripada kita yang tidak mempedulikan langsung Penciptanya, walaupun mengetahui tentang kasih sayang Allah kepadanya.

 

Itulah manusia, acap kali lupa untuk bersyukur. Tetapi sangat suka mempersoalkan ujian kecil yang diberi setelah diberi segala nikmat-nikmat yang besar yang kadangkala kita tidak pernah memintanya. Adakah itu sifat kita?

 

Rahmat Allah  Sangat Luas Meliputi Apa Yang Kita Fikirkan

Sebagai umat Islam, kita mengetahui bahawa Allah telha menciptakan sebanyak 100 rahmat. Namun, daripada 100 rahmat tersebut, hanya satu rahmat Allah sahaja yang diturunkan kepada kita semua, manakala yang berbaki 99 akan dianugerahkan buat ahli syurga kelak. Maka dengan sebab satu rahmat Allah itu, kita hari ini boleh merasai pelbagai nikmat yang dikurniakan, dan dengan sebab satu rahmat Allah itu jua lah, kita hari ini mampu menjalani kehidupan yang tenang walaupun kadang kalanya kita sering gusar dan susah hati dengan faktor sekeliling, dan dengan sebab satu rahmat Allah itulah, kita hari ini mampu untuk hidup berkasih sayang serta berbelas kasihan di atas muka bumi Allah ini.

 

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih”. (Surah Ibrahim: 7)

 

Benar, Hidayah Allah Itu Manis

Hakikatnya, itulah manusia yang mempunyai banyak kelemahan. Maka yang demikianlah peringatan itu harus diberikan berulang-ulang kali walaupun sudah diperdengarkan berpuluh-puluh kali. Contoh yang kita dapat lihat seharian adalah seperti seorang suami menasihati isterinya, seorang ibu mendidik anaknya, seorang guru menegur muridnya, dan seorang sahabat membetulkan sahabatnya.

 

Alangkah  indahnya hidup ini jika jalan itu yang dipilih, saling menasihati di antara satu sama lain serta dapat memperbaiki diri sendiri.  Manusia yang terbaik itu adalah manusia yang bermanfaat kepada orang lain seperti apa yang disabdakan oleh junjungan Nabi SAW.

 

Sahabat saya menyambung kata-katanya. “Mungkin kerana tidak dapat merasakan kasih dan sayangnya Allah kepada kita, ada yang hilang pertimbangan dan sanggup mengambil keputusan untuk menamatkan hayatnya sendiri tanpa memikirkan tentang dosa atau pahala, kerana merasakan bahawa tiada lagi orang yang menyayangi mereka, ditambah pula merasakan diri hilang tempat bergantung.”

Saya menganggukkan kepala lagi sambil tersenyum. Diam-diam ubi berisi sahabat saya ini. Apabila kita tidak mempunyai keyakinan kepada Allah, rasa kebergantungan dalam diri kepada Allah itu sirna.  Ini boleh menyebabkan segala yang boleh difikirkan secara logik akal ketika itu tidak   dapat berlaku dengan aturan fitrah yang suci.

 

Yakin Adalah Pembuka Hijab Kita Dengan Allah

Memang susah untuk merasai kebersamaan Allah jika kita sendiri tidak berusaha untuk mengenali dan mendekati  Allah. Biarpun berpuluh kali sahabat kita cuba memberitahu  “Hang tok sah dok sedih la, Allah ada dengan hang. Dia sayang kat hang, Berbaik sangkalah dengan Allah sebab Allah dah cakap , Aku adalah menurut sangkaan hamba-hambaku. Insyaallah, Dia mesti tolong hang punya.”

 

Tetapi bilamana hati ini masih lagi samar-samar dan kekaburan untuk yakin sepenuhnya kepada Allah, nescaya kata-kata sahabat kita itu tadi hanyalah sekadar masuk telinga kanan dan keluar semula di telinga sebelah kiri. Dunia hari ini  tidak lagi seperti dahulu, ilmu-ilmu agama mudah untuk didapati, tinggal kita sahaja yang mempunyai keinginan untuk mencarinya atau tidak.

 

Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah At-Thalaaq: 2 -3)

 

Manusia ini sangat lemah di saat ditimpa bala, ujian, atau musibah. Terinpirasi saya mengenai satu cerita yang dibawa oleh Ustaz Nazrul sewaktu kelas tafaquh tempoh hari.  Cerita tersebut berkenaan seorang Syeikh di Mesir, beliau terjatuh dari tangga yang tinggi dan ketika itu orang ramai turut menyaksikan peristiwa tersebut.  Yang menjadi anehnya, orang ramai melihat syeikh itu dalam keadaan tersenyum ketika jatuh bergolek-golek dari tangga yang tinggi itu. Lalu orang ramai menyerbu syeikh itu dan bertanya kepada beliau mengapa beliau tersenyum. Tidak sakitkah terjatuh dari tangga yang tinggi.  Lalu syeikh itu menjawab, “Allah memberikanku kesakitan, semoga Allah mengampuni dosa-dosaku.” Masyaallah, adakah jawapan kita akan sama atau tidak dengan syeikh itu saat kita ditimpa ujian daripada Allah?

 

There is no one who loves us more than ALLAH.  Indeed ALLAH is the creator of heavens and the earth and everything within it. Glorious is he, the most merciful…

This entry was posted in Bidadari on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>