1-300x199

Fiqh Ibadah: Panduan Menunaikan Solat Di dalam Kapal Terbang & Kenderaan

Oleh Muhammad Fathullah Al-Haq

 

Sejak akhir-akhir ini saya sering diajukan soalan berkaitan tatacara yang betul untuk menunaikan solat di dalam pesawat, mungkin kerana baru bermula cuti semester barangkali. Maka ramai sahabat-sahabat yang ingin bermusafir pulang ke Malaysia, melancong dan sebagainya dengan menggunakan pelbagai jenis kenderaan terutamanya pesawat.

Tambahan juga, apabila saya didatangi salah seorang wakil daripada persatuan pada masa yang lalu. Di dalam perbualan beliau mencadangkan agar saya menulis sedikit panduan atau penjelasan mengenai tajuk di atas. Di atas kesibukan masa dalam beberapa minggu ini. Alhamdulillah, akhirnya Allah SWT beri saya kesempatan untuk menulis sedikit secara ringkas tata cara solat di dalam pesawat dan kenderaan.

 

Kewajipan Solat

Seperti mana yang kita semua maklumi bahawa solat adalah satu kewajipan yang amat dituntut oleh agama. Maka umat Islam dilarang meninggalkan solat tanpa sebab walaupun berada dalam keadaan darurat sekalipun.

Apatah lagi jika kita berada pada satu-satu tempat yang  memungkinkan kita untuk menunaikan solat seperti di dalam kenderaan sebagai contoh. Larangan meninggalkan ini juga telah ditegaskan oleh Nabi SAW di dalam hadisnya yang bermaksud: “Beza antara orang Muslim dan orang kafir adalah pada solat, sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah kufur.”

(Direkodkan oleh Muslim, no. 82)

Justeru, ramai orang Islam yang masih lagi keliru dengan hal ini iaitu dengan sewenang-wenangnya meninggalkan solat tanpa sebab. Tidak kurang juga ada sesetengah pihak yang meringan-ringankan kewajipan ini dengan menggalakkan orang ramai menggantikan solat setelah sampai ke destinasi, dan ada juga yang mengatakan bahawa boleh solat hormat waktu. Padahal perkara ini tidak ada asalnya di dalam sunnah jika kita perhalusi.

 

Kita jangan terlalu bermudah-mudah dalam mengamalkan agama, tetapi hendaklah kita mengambil pandangan mereka yang ahli seperti para ulama Mujtahid yang  faham terhadap nas-nas. Yang mempunyai usul di dalam perbahasannya.

Oleh itu, saya akan cuba huraikan panduan ini dalam tajuk-tajuk yang kecil agar penerangan ini nampak mudah dan praktikal dengan izin Allah SWT. Pembahagian ini adalah bertujuan untuk memudahkan para pembaca meneliti dan menilai hujah-hujah yang dikemukakan secara yakin dan adil.

 

Dalil Pensyariatan Solat Dalam Kenderaan Dan Keringanan Dalam Melaksanakannya

Kita dibolehkan menunaikan solat sama ada di dalam kereta, bas, pesawat, kereta api, dan lain-lain yang seumpama dengannya. Antara dalil yang membolehkan kita menunaikan solat di dalam kenderaan ialah daripada hadis Nabi SAW yang bersabda ketika ditanya oleh seorang sahabat:

“Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu?” Baginda menjawab: “Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.”

(Direkodkan oleh Daruqutni, no. 2/68, disahihkan oleh Imam al-Hakim)

Berdasarkan hadis ini, mengandungi sebab untuk membuktikan bahawa kita dibolehkan menunaikan solat ketika berada di dalam apa-apa jenis kenderaan seperti apa yang saya sebutkan di atas.

Ya’la bin Murrah RA menerangkan bahawa para sahabat pernah berserta Rasulullah SAW dalam satu perjalanan, lalu sampai ke satu lembah sedang beliau berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah. Kemudian datang waktu solat lalu beliau memanggil tukang azannya, lalu ia azan dan iqamah.

Lantas Rasulullah SAW terus maju kenderaannya dan solat berjemaah bersama mereka (para sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendah dari rukuknya.

(Direkodkan oleh Ahmad, no. 4/174)

Peristiwa di atas menjelaskan bahawa apabila ada kesukaran solat dalam keadaan berdiri di dalam kenderaan kerana khuatir bahaya, ruang yang terbatas, dan amat menyukarkan. Maka kita boleh solat dalam keadaan duduk. Kesukaran yang dihadapi itu tidaklah sampai kepada tahap darurat tetapi memadai dengan keadaan yang memberatkan.

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, telah menjadi bukti bahawa boleh menunaikan solat-solat fardu di dalam kenderaan. Jika seseorang itu menghadapi suasana kesukaran maka ia boleh solat secara duduk.

Demikianlah teladan yang diriwayatkan daripada para sahabat seperti Anas bin Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan lain-lain. Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan tidak perlu diulangi. Akan tetapi jika seseorang itu mampu melaksanakan solat di atas kenderaan secara berdiri tetapi ia solat duduk. Maka solat itu tidak dikira sah kerana dianggap sengaja mengabaikan dan meremehkan rukun kewajipan solat. Itulah pendapat yang dipegang oleh majoriti fuqaha’ seperti mazhab Syafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain.[1]

 

Lagi Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu tunaikan solat dengan berdiri. Jika tidak mampu, tunaikan dengan duduk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan mengiring di atas rusuk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan isyarat.”

(Direkodkan oleh Bukhari, no. 1117)

 

Berdasarkan perbahasan ini, ia banyak membantu kita untuk menunaikan kewajipan solat di dalam pesawat. Apabila kita berada di dalam pesawat, kita tidak digalakkan untuk bangun dari tempat duduk kita kerana bimbang kita akan terjatuh disebabkan ke tidak kestabilan pesawat. Maka kita diberi sedikit keringanan untuk solat secara duduk.

 

Bagaimana Untuk Menentukan Arah Kiblat Di Dalam Pesawat

Ini adalah perkara yang sukar juga apabila kita berada di dalam pesawat tatkala ingin menentukan arah kiblat kita. Sebagaimana yang kita sudah tahu bahawa menghadap ke arah kiblat adalah syarat sah solat, jika kita tidak menghadap ke arah kiblat maka solat kita tidak sah.

Namun, apabila kita berada di dalam pesawat atau kenderaan yang lain. Keringanan itu masih ada iaitu memadai di awal angkat takbir yang pertama kita menghadap ke arah kiblat lingkungan dengan kadar 90 darjah kiri atau kanan. Maka apabila pesawat bertukar arah selepas itu dan dada kita tidak lagi menghala ke arah kiblat, maka ia dimaafkan.

Walau bagaimanapun, jika dia mengetahui akan hal pergerakan pesawat atau kapal laut bergerak ke arah mana seperti kapten contohnya, maka ia wajib mengikut arah kiblat dengan memalingkan dadanya. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Orang yang solat di atas kapal tetap menghadap kiblat setiap kali kapal itu berpindah arah.”

(Direkodkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Al-Musannif 3/189, no: 6634)

Lagi: “Mereka solat berjemaah di atas kapal dengan berdiri, dan mereka tetap menghadap kiblat ke arah mana pun kapal berputar.”

 (Direkodkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Al-Musannif 3/189, no: 6637)

Hadis di atas menunjukkan bahawa apabila seseorang itu tahu ke arah mana kapal berlayar seperti kapal laut atau pesawat, maka ia wajib menggerakkan badannya ke arah kiblat. Akan tetapi bagi kita yang tidak tahu selok-belok laluan pesawat atau kapal, memadai kita hanya mengangkat takbir pertama ke arah kiblat dan selepas itu dimaafkan.

Lagi satu hal keadaan, apabila memang kita tidak tahu langsung di mana arah kiblat kita. Selain sudah bertanya kepada anak kapal dan alat pembantu yang disediakan, maka kita dibenarkan untuk menganggarkan arah kiblat setepat mungkin.

Hujah ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Jabir bin Abdullah RA menerangkan: Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah kiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah kiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah SAW, lalu beliau berkata: Kamu telah melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami mengulanginya.”[2]

Muaz Bin Jabal RA menerangkan: “Kami pernah solat bersama Rasulullah SAW pada hari yang mendung dalam satu perjalanan dengan menghadap ke arah selain qiblat. Tatkala solat telah ditunaikan maka mataharipun muncul lalu kami berkata – Wahai Rasulullah, kita telah solat bukan ke arah kiblat. Maka beliau menjawab: Solatmu telah diterima oleh Allah Azza waJalla kerana haknya.”[3]

Berdasarkan kepada hadis di atas, para fuqaha’ telah bersepakat bahawa solat tetap wajib dilakukan walaupun tidak menghadap ke arah kiblat dan tidak perlu mengulanginya.

 

Bagaimana Jika Tahu Yang Kita Membelakangkan Arah Kiblat?

Hal ini adalah sukar sedikit kerana apabila seseorang itu tahu di mana arah kiblat setelah berusaha, maka wajib baginya menghala ke arah kiblat. Jika kedudukan Mekah terlalu menghadap ke belakang secara 100%, dan solat secara duduk untuk menghadapnya sangat tidak mengizinkan. Perlu berusaha meminta izin pramugara/i untuk menggunakan mana-mana tempat yang sesuai bagi menunaikan.

Namun, jika arah Mekah hanya perlu menoleh 90 darjah kanan atau kiri, maka kita masih boleh menunaikan solat di tempat duduk kita. Apa yang penting semasa permulaan takbir dada kita menghadap ke arah yang dikehendaki, pergerakan kapal terbang selepas itu tidak perlu lagi dihiraukan.

 

Penentuan Waktu-Waktu Solat Dalam Pesawat

Seperti yang kita ketahui bahawa waktu ketika berada di bumi sedikit berbeza dengan keadaan waktu di angkasa. Maka menjadi masalah pada kita untuk menentukan waktu-waktu solat terutamanya waktu solat subuh.

Maka inilah masa yang paling sesuai untuk kita mempraktikkan ilmu pengetahuan kita dalam membaca pergerakan matahari seperti apa yang kita belajar daripada buku-buku fikah.

Contohnya apabila kita ingin mengetahui waktu maghrib, maka apabila kita lihat sahaja di luar tingkap yang matahari sudah terbenam, maka masuklah waktu maghrib. Apabila hilang cahaya kemerahan maka masuklah waktu isyak.

Adapun bagi waktu Zohor dan Asar, boleh ditunaikan dengan berijtihad dan berusaha mencari  (untuk mengetahui masuknya waktu). Apabila kita dapat mengetahui waktunya di negeri yang kita berada di atasnya. Maka kita hendaklah melewatkan sedikit solat dari tempoh itu, kemudian barulah kita solat.

Ini kerana, waktu kita berada di atas (di dalam pesawat) tidak sama seperti waktu di bumi. Kita juga boleh menjamakkan antara solat Zohor dengan Asar, dan di antara Maghrib dengan Isyak. Sama ada jamak al-Taqdim ataupun jamak al-Ta’khir berdasarkan mana yang lebih mudah untuk ditunaikan. Kita juga boleh bertanya kepada Kapten kapal terbang, kerana dia memiliki peralatan yang boleh mengetahui waktu-waktu solat di udara.

Dan ketahuilah, jika yang terlindung baginya (mana-mana) waktu solat. Maka dia boleh berijtihad dengan kadar kemampuannya, kemudian dia solat. Maka solatnya sah dan tidak perlu mengulanginya.

Contoh praktikal yang digambarkan oleh Ustaz Dr Zaharuddin semasa beliau ingin pulang ke Malaysia pada waktu subuh adalah seperti berikut: “kaedah saya menentukan masuk waktu Subuh adalah mengikut kiraan Dubai, sebagaimana yang pembaca boleh lihat, kami akan berlepas dari Dubai pada jam 03.15 pagi iaitu satu setengah jam sebelum Subuh di Dubai. Waktu Subuh di Dubai adalah 4.48 pagi.

Jika melihat kepada peta dunia, jika sebuah flight berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, dalam tempoh satu jam setengah, saya yakin kapal terbang itu akan berada di atas Indian Ocean. Maka waktu solat Subuh di tengah lautan itu boleh mengikut tanah yang terdekat dengannya, yang saya yakin iaitu Oman atau mungkin juga Karachi. Setelah disemak, waktu Subuh bagi Oman adalah pada jam 4.46 pagi ( waktu Oman adalah sama dengan Dubai) manakala Karachi pada jam 5.55 pagi. Namun setakat ini saya lebih yakin kapal terbang akan lebih dekat dengan ruang waktu Oman, justeru subuh dalam waktunya sama ada waktu Oman atau Karachi.”

 

Bagaimana Bagi Perempuan Yang Solat Tanpa Telekung Di Dalam Kenderaan

Perempuan yang baik apabila keluar sahaja daripada rumah, wajib baginya menutup aurat dengan sempurna. Maka tidak menjadi masalah padanya untuk melakukan solat dengan pakaian tersebut.

Kita harus faham bahawa sejarah pemakaian telekung bermula di Asia tenggara. Jadi ramai yang salah faham bahawa menyangka yang telekung adalah syarat sah daripada solat. Kita perlu tahu bahawa syarat sah bagi solat ialah menutup aurat dengan sempurna seperti pakaian kita apabila keluar dari rumah. Telekung hanyalah alat untuk menutup aurat sama seperti pakaian yang lain.

 

Adakah Solat Yang Dilakukan Dengan Rukhsah Iaitu Dengan Mengambil Kemudahan Dan Kelonggaran Tadi Perlu Diulangi Semula

Tidak perlu mengulangi solat semula. Ibadah yang wajib, jika telah dilaksanakan mengikut yang termampu dilakukan walaupun dengan meninggalkan sebahagian syarat atau rukunnya kerana tidak berupaya melakukannya, bukan kerana sengaja untuk bermain-main atau mempermudah-mudahkan agama. Maka dikira ibadah itu dan tidak perlu lagi diulangi solat tersebut.

Inilah pandangan Imam al-Muzani[4] katanya, “Khusus mengenai solat fardu, Imam al-Muzani berkata, “setiap solat yang wajib dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun dilaksanakan dengan terdapat kekurangan kerana faktor-faktor tertentu, tidak wajib mengulangi solat tersebut”.[5]

Dan pendapat ini juga disokong kuat oleh Imam Nawawi, kerana menurut beliau, pandangan ini paling kuat dari sudut dalilnya kerana Allah SAW berfirman,

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

            Maksudnya: “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” (at-Taghabun: 16)

Firman Allah SWT,

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Baqarah: 286)

Nabi SAW berkata,

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu urusan, maka lakukanlah mengikut yang termampu oleh kamu.”

(Direkodkan oleh Bukhari, no. 7288, Muslim, no. 1337)

Justeru, berdasarkan pandangan Imam al-Muzani di atas, tidak ada yang dikatakan solat hormat waktu, yakni solat yang dilakukan semata-mata untuk menghormati waktu solat, bukan untuk menggugurkan tuntutan solat. Hal ini kerana, solat yang dilakukan dengan rukhsah (keringanan) itu telah pun sah dan dikira oleh syarak, kerana ia dilakukan mengikut kadar kemampuan yang ada pada ketika itu.

 

Galakan Untuk Membaca Doa Letika Hendak Bermusafir

Muslim yang baik, ia akan sentiasa berhubung dengan Allah SWT dalam apa jua keadaan. Dia akan sentiasa meminta kepada Allah SWT, dan selepas itu ia akan berikhtiyar dan berusaha bersungguh-sungguh. Konsep ini sentiasa diamalkan oleh Nabi SAW. Kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT, menyebabkan insan itu sentiasa dijaga oleh Allah SWT. Namun syaratnya, berdoalah dengan ikhlas dan meyakini doa akan diterima.

Demikianlah apabila kita ingin memulakan musafir. Kebergantungan kepada Allah SWT agar selamat pergi dan pulang hendaklah seikhlas mungkin. Oleh itu Nabi SAW ada mengajar doa bagi orang yang ingin bermusafir. Antara doanya ialah:

عن ابن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان إذا استوى على بعيره خارجًا إلى سفر كبّر ثلاثًا ثم قال سبحان الذي سخر لنا هذا وما كنا له مقرنين وإنا إلى ربنا لمنقلبون. اللهم إنّا نسألك في سفرنا هذا البر والتقوى ومن العمل ما ترضى، اللهم هوِّن علينا سفرنا هذا واطوِ عنَّا بُعده، اللهم أنت الصاحب في السفر والخليفة في الأهل، اللهم إنا نعوذ بك من وعثاء السفر وكآبة المنظر وسوء المنقلب في المال والأهل”

Maksudnya: “Daripada Umar RA menyebut bahawa Nabi SAW apabila sudah duduk di atas kenderaannya untuk bermusafir. Maka baginda akan bertakbir tiga kali. Selepas itu Nabi SAW akan membaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud, “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.” (az-Zukhruf: 13-14). Sambungnya lagi, “Wahai tuhan, kami meminta kepada kamu untuk bermusafir. Jadilah ia adalah sesuatu ketakwaan dan amalan yang diredai oleh-Mu. Ya Allah, mudahkanlah permusafiran kami ini. Engkaulah pemunya segala urusan ini. Oleh itu, lindungilah kami daripada kejahatan, orang yang berniat jahat terhadap harta-harta kami dan keluarga kami.”

(Direkodkan oleh Muslim, no. 1342)

Jika tidak mampu untuk membaca doa panjang di atas. Anda boleh juga membaca doa yang agak mudah ini, iaitu,

“Bismillahi tawakkaltu ‘alallah. Walahaulawala quwwata illah billah.”[6]

 

Akhirnya, kewajipan solat di dalam kenderaan tidak akan gugur selagi mana seseorang itu berilmu untuk mendapatkannya. Meninggalkan solat dengan sengaja merupakan dosa yang amat besar.

Malangnya, berapa ramai yang memenuhi solat lima waktunya sehari semalam! Amat sedikit sekali bilangannya apatah lagi jika berada dalam keadaan tertentu, maka lebih senang untuk meninggalkannya.

Justeru, pendekatan ilmu itu sangat penting bagi melaksanakan ibadah serta disiplin-disiplinnya dengan sempurna sebagaimana tempat-tempat yang saya sebutkan di atas. Kita tidak boleh lagi memberi alasan bahawa kita tidak tahu itu dan ini mengenai ibadah kita, sedangkan kita masih lagi malas mencari ilmu.

Oleh itu, Nabi SAW telah menegaskan kepada orang yang malas menuntut ilmu dengan katanya: “Mencari ilmu adalah fardu ke atas setiap orang Islam.”

(Direkodkan oleh as-Suyuti, no. 5266)

 

 



[1] Majmu’ Syarh al-Muhaddzab 3/241-234

[2] Direkodkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-Kubra, dikutip oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 2/320

[3] Direkodkan oleh Imam ath-Thabrani dalam kitabnya al-Ausath, dikutip oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 2/321

[4] Salah seorang murid terkenal Imam Syafie

[5] Syarah Sahih Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, hlm. 282)

[6] Dipetik daripada kitab Fiqh Sunnah Syeikh Said Sabiq, 1/179

 

Sekian,

Muhammad Fathullah Al-Haq

19/1/2012

Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

 

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

10 thoughts on “Fiqh Ibadah: Panduan Menunaikan Solat Di dalam Kapal Terbang & Kenderaan

  1. amal

    salam ustaz..
    nak tanya
    ni situasi
    katakan bertolak dr tempat A petang
    dan kesesakan lalulintas
    menyebabkan masa sepatutnya sampai ke tempat B sebelum magrib
    tapi sampai hampir-hampir waktu isyak…

    jadi boleh x solat atas BUS
    dan tayamum
    tapi xda depu tanah…

    cam 2 ustaz

    ada kawan kata solat hormat waktu

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      wasalam.. sebenarnya xde istilah solat hormat waktu dlm perbahasan fiqh solat.. ni saya bg tips ye, nnti klu saudari nak musafir dan tahu perjalanan itu jauh dan susah utk berhenti kerana penumpang bas sebagai cth, maka elok saudari sediakan sebiji batu kecil di dalam poket, mngikut pandangn mazhab malik bahwa kita boleh tayammum menggunakan batu.. dah selesai buat tayammum maka solat seperti biasa dlm kenderaan dan tidak perlu ulanginya semula..

      bagaimana utk tayammum:
      1. sapu tapak tgn kat atas batu tersebut.
      2. kemudian sapu ke muka sekali.
      3. sapu balik tapak tgn atas batu
      4. kemudian sapu ke pergelangan tgn, tidak perlu sinsingkan lengan baju, ckup sekadar pergelangn tngn..sunat sampi ke siku, tetapi kerana keadaan ditempat awam, maka cukup sekadar yg wajib sahaja buat..

      wallahu a’lam

      Reply
  2. Quyyum

    Assalamualaikum ustaz,

    sy ada beberapa perkara untuk mendapatkan kepastian ustaz,

    jika perjalanan dari Malaysia ke tokyo (sebagai contoh) yang bertolak sebelum waktu zohor, dan perjalan tersebut selama 6 jam, bagaimana caranya untuk menentukan waktu solat di atas flight.

    terima kasih

    Reply
  3. azie

    assalamulaikum ustaz…
    berkenaan dgn tjuk ini…adakah kita perlu berwuduk atau bertayamum???

    Reply
  4. mohamad noor darson

    Assalamualaikum…sy bertolak dari singapore ke paris pada jam 2340 malam.
    Bagaimana nk menentukan waktu subuh dengan pertukaran siang malam yg tidak diketahui. bagaimana hendak mengambil wudhu@tayammum..menurut komen diatas menggunakan batu tetapi dikuatiri tidak dibenarkan membawa waktu naik pesawat..terima kasih….

    Reply
  5. anne

    bagaimana jika menaiki pesawat yang dihidangkan minuman dan makanan haram.. dan arah kiblat adalah melebihi 90′ ke kanan. adakah wajib untuk kita mencari ruang untuk solat berdiri? bagaimana pula dengan solat di dalam kereta? apakah perlu untuk keluar mencari ruang untuk solat berdiri sedang kita tersepit dalam kesesakan lalu lintas? bagaimana pula dengan kiblat andainya kita dibolehkan untuk solat duduk dalam kereta?

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      terima kasih di atas soalan yang telah diajukan..
      1. Jika dihidangkan makananan yang haram utk dimakan, maka kita tidak halal utk memakannya.
      2.sekiranya ada ruang kosong yang membolehkan kita solat dngn sempurna, maka kita tunaikan solat disitu, tetapi sekiranya tidak ada, kita solat sahaja di tempat duduk kita, pusingkan badan ke arah yg paling cenderung dngn kiblat dan angkat takbir, selepas itu pusingkan balik ke arah biasa utk teruskan solat sehingga akhir, maknanya semasa angkat takbir sahaja ke arah kiblat.
      3. jika di dalam kenderaan dan berlaku kesesakan yg sgt lama sehingga boleh memakan waktu solat.. maka solat sahaja di dalam kendaraan dalam keadaan memandu, hanya buat sedikit isyarat. jika tiada wuduk, sapu sahaja di bahagian mana2 di dalam kereta yg bersih dan buat isyarat tayammum. kiblat mcm tadi juga. wallahu a’lam

      Reply
  6. nurul

    Assalamu’alaikum,

    soalan pertama saya seperti saudari azie, adakah kita perlu berwuduk ataupun bertayammum sudah memadai?

    soalan kedua, bagaimana pula perjalanan yang panjang (dari Australia ke US), sepanjang perjalanan hanya merentasi lautan dan kita tidak pasti berada di daerah mana dan tidak tahu waktu solat? kapten kapal juga tidak tahu waktu solat kerana mungkin bukan Muslim.

    jazakallahu khairan

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      Wasalam.. Ya memadai kita bertayamum jika tiada air dlm pesawat.. jika ada air, wajib kita ambil wuduk..

      Soalan 2) Jika macam tu, kita gunakan sahaja ijtihad dengan menggunakan pembacaan matahari.. jika kita lihat cahaya matahari terik, maka kita sudah boleh lakukan jamak taqdim zohor dan asar.. jika malam, hari sudah gelap gelita, maka kita boleh buat jamak ta’khir iaitu isyak dan maghrib.. demikian juga solat subuh.. kita gunakan ijtihad kita sendiri.. klu salah pun dan kita telah usaha utk itu.. maka solat kita tetap sah..

      Reply
  7. irawan santosa

    Assalammualaikum ustaz
    Saya selaku pramugara yg bekerja dlm pesawat yg agak sibuk dan pesawat tidak dpt mengerjakan solat secara berdirikecuali duduk kerana
    1. Tidak mahu menghalang lalu lintas rakan sekerja saya
    2. Keadaan pesawat yg selalu tdk dpt diramalkan cuaca.

    Adakah dibolehkan utk solat duduk dan tidak menghadap kiblat bagi saya yg tgh bekerja?
    Terima kasih… JazakAllahu khairan

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>