Fiqh Muamalat: Hukum Membeli, Menggunakan Perisian Cetak Rompak Yang Berbentuk Fotokopi, Burn, Fotostat Serta Masalah Berkaitan

Disusun Oleh Muhammad Fathullah Al-Haq

Dewasa ini, terdapat ramai dalam kalangan manusia yang mengaut keuntungan dengan melalui jalan singkat dan mudah. Mereka mengambil kesempatan di atas titik peluh dan penat lelah orang lain. Maka tidak hairanlah jika semakin luas kegiatan cetak rompak dalam pelbagai versi sama ada melalui fotostat, cetak rompak, muat turun, salinan semula buku-buku dengan tujuan sendiri atau dengan mengaut keuntungan, memuat turun pelbagai program melalui internet dengan jalan yang batil sudah menjadi budaya masyarakat Islam hari ini.

 

Mereka tidak lagi memikirkan hasil halal dan haram yang dikaut, sedangkan hasil keuntungan itu dibuat makan atau pakai buat diri dan keluarga. Kerana itulah masyarakat hari ini semakin keras hatinya, hilang keberkatannya, semakin kurang lazat dalam beribadah, semakin kurang tolak-ansurnya dan pelbagai lagi masalah runcing yang berlaku sehingga semuanya hilang punca bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut.

 

Muhasabah

Sesungguhnya, setiap hari di dalam hidup setiap insan yang beriman kepada Allah swt, dia tidak akan terlepas daripada 5 hukum asas di dalam kehidupan sehariannya iaitu yang berupa halal, haram, harus, makruh, dan sunat. Apa sahaja yang mereka lakukan, mereka tidak akan terlepas daripada 5 asas hukum tersebut.

 

Kalau perkara itu tidak halal maka ia jatuh kepada haram, jika tidak haram boleh jadi ia makruh, jika tidak makruh boleh jadi ia sunat atau sebagainya. Contohnya seperti solat fardhu jatuh kepada hukum wajib, membantu ibu bapa jatuh kepada hukum wajib, memakai wangi-wangian jatuh kepada hukum sunat, mencuri jatuh kepada hukum haram dan sebagainya mengikut hukum yang telah diperuntukkan oleh Allah swt. Jadi mengambil hak orang lain dengan jalan yang batil, maka hukumnya adalah haram.


Hakikat Mengambil Hak Dengan Jalan Yang Batil

Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: “ Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.” (Al-Baqarah : 188)

Ayat ini sangat jelas melarang agar manusia mengambil hak orang lain dengan jalan yang salah.

Imam ibn Al-‘Arabi menegaskan bahawa ayat ini menerangkan satu dari kaedah utama dalam perbahasan ‘Muamalat Islam’, juga merupakan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti ‘makan’ di dalam ayat tersebut adalah merangkumi penerimaan, pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan’ hanyalah sebagai suatu perumpamaan yang merujuk kepada sifat ghalib (kebanyakan kalian) yang kerap menjadi keutamaan bagi seseorang individu.

 

Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi: “Apa sahaja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya, dan juga tiada membawa satu faedah dan manfaat (buat Islam).”

 

Imam Al-Qurtubi memasukkan penipuan, rampasan, khianat, mengingkari janji untuk mendapat untung, mengambil hak orang lain tanpa restu, upah pelacuran, upah tukang tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi dan banyak lagi, semua ini tergolong dalam makanan harta secara batil. Beliau menyimpulkan: “Sesiapa yang memakan harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, maka dia telah makan secara batil.”

Nabi saw juga pernah meriwayatkan: “Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram) ( Ar-Rawdu Al-Murabba’, 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312 )

 

Islam Mengiktiraf Hak Milik

Secara umumnya, permasalahan tentang mencetak semula, photocopy, fotostat, adalah tertakluk kepada undang-undang hak cipta dan harta intelek sepertimana yang telah diiktiraf oleh ulama- ulama kontemporari Islam. Di  dalam keputusan Persidangan Fiqh Islam Sedunia ke – 6 di Kuwait pada 1 – 6 Jamadil Awwal 1409 Hijrah yang lalu. Resolusi persidangan ini menyatakan bahawa;

“Hak penulisan, hak cipta dan hak kreativiti adalah terpelihara dan dilindungi serta diiktiraf mengikut Syariat Islam. Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak harus dicerobohi”

 

Oleh itu, berdasarkan kepada resolusi ini; adalah jelas bahawa tidak boleh seseorang itu menjual barangan atau produk cetak rompak kerana ia dianggap sebagai menjual barang milik orang lain tanpa keizinannya. Begitu juga diharamkan bagi kita, membeli barang-barang cetak rompak kerana hukumnya sama seperti kita membeli barangan curi.

Beberapa istilah yang wajar kita teliti, mungkin boleh membantu kita dalam menyelesaikan persoalan ini. Iaitu; harta dan harta intelek.

 

1. Harta

Fokus yang perlu ditekankan dalam ruang ini adalah berkaitan dengan harta. Sebab itu, Dr. Abu A’ynan Badran menyebutkan bahawa “harta ialah sesuatu yang dimiliki sama ada ‘ayn atau manfaatnya” (Badran, Abu al-‘Aynayn Badran ( tt),” al-Syari’ah al-Islamiyyah: Tarikhuna wa Nazariyyat al-Milkiyyah wa al- ‘Uqud” , Iskandariyyah: Muassasah al-Syabab al-Jami’yyah, m.s. 286)

 

2. Harta Intelek

Norliza Binti Mohamad ( 1999 ) dalam kajiannya bertajuk “ Hakcipta Dari Aspek Teori Harta Intelek Menurut Perspektif Islam” menggariskan tiga elemen asas untuk menilai harta intelek. (Norliza Binti Mohamad ( 1999 ) “ Hakcipta Dari Aspek Teori Harta Intelek Menurut Perpektif Islam” Disertasi Ijazah Sarjana Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, UM, Kuala Lumpur m.s.40-41)

 

i. Harta intelek terhasil daripada usaha yang digembelingkan

Harta intelek ini terhasil dari penggembelingan tenaga sama ada penggunaan akal fikiran, kecerdikan dan tenaga, masa dan ruang yang keseluruhannya terhasil untuk menghasilkan sesuatu output.

 

ii. Harta intelek mempunyai nilai dan harga.

Ini bermakna sesuatu harta intelek apabila dipasarkan, mampu menghasilkan pendapatan dan keuntungan sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun dalam bentuk urus niaga yang lain sepertimana muamalah dalam harta alih dan tidak alih. Keuntungan dan pendapatan ini adalah terhasil daripada usaha dan penggembelingan yang dilakukan oleh seseorang atau mana-mana pihak.

 

iii. Boleh dikuasai dan dikawal

Harta intelek boleh dikawal dan dikuasai sebagaimana juga harta alih dan tidak alih kerana ia perlu dijadikan dalam bentuk bahan. Di samping itu, dengan pengiktirafan undang-undang bererti pemunya diberi hak mutlak menguasai hasil usaha mereka

 

Justifikasi sama ada harta itu bernilai dan boleh dimanfaatkan atau tidak ialah terletak pada penilaian syarak. Ini bermakna, mana-mana karya yang membawa kepada kebaikan dan kemaslahatan, adalah diterima oleh syarak, sebaliknya karya dan hasil seni yang bertentangan dan membawa kemudaratan, adalah ditentang oleh syarak.

Setelah diperincikan masalah di atas, para ulama telah mengeluarkan dua pandangan mengenai masalah ini iaitu:

 

Pendapat Yang Melarang

Ulama  yang melarang berhujah bahawa membeli barang-barang cetak rompak (atau menceroboh perisian haram) adalah sama seperti membeli barangan curi.

Dr. Yusof al-Qardhawi di dalam kitabnya “ Halal Dan Haram Dalam Islam” menyatakan bahawa Islam mengharamkan seorang Muslim membeli sesuatu yang sudah diketahuinya, iaitu barangan tersebut adalah hasil rompakan atau hasil curian, ataupun sesuatu yang telah diambil dari orang lain dengan jalan yang batil.

Ini kerana perbuatan tersebut adalah menyamai amalan membantu perompak, pencuri selain ianya melanggar hak-hak orang lain, serta melanggar undang-undang berdasarkan kepada hadis Nabi saw yang bermaksud:

“Sesiapa membeli barang curi, sedang dia mengetahui bahawa barang tersebut adalah curi, maka dia bersekutu dalam dosa yang cacat.”(Riwayat Imam al- Baihaqi)

Selain itu, Allah swt telah melarang keras ke atas mereka yang mengambil hak orang lain dengan cara yang batil iaitu di dalam firmannya yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu merugikan manusia pada hak-haknya dan janganlah kamu bermaharaja di muka bumi dengan membuat kerosakan”. (al-Syua’raa:183)

“ Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)” . (al-Anfal:27)

 

Pendapat Yang membenarkan Tetapi Dengan Syarat

Terdapat pandangan Ulama yang membenarkan amalan ini, tetapi mestilah tertakluk kepada syarat yang ketat. Antara syarat-syarat tersebut ialah:

a)    Membenarkan amalan ini bagi tujuan pembelajaran. Sekiranya amat sukar untuk mendapatkan salinan yang asal atau dengan sebab harganya yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh penuntut ilmu kerana kedudukan kewangan yang sangat tidak mengizinkan, maka ia diizinkan. Pandangan ini berdasarkan kepada firman Allah swt yang bermaksud:

 

“Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.” (al-Ana’am:119)

 

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Baqaroh:173)

 

Juga berdasarkan kaedah Fiqh:

الحاجة تنزل منزلة الضرورة عامة كانت أو خاصة

Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak samada ia berbentuk umum atau khusus
(Al-Ashbah Wa An-Nazair, hlm 89)

 

b)    Jika pemiliknya memberi kebenaran untuk kegunaan persendirian atau individu, dan bukan tujuan untuk dikomersialkan seperti meminta izin terlebih dahulu kepada si pemunya sebelum digunakan. Ataupun si pemilik sudah memberitahu awal-awal seperti di blog saya sebagai contohnya, tidak kiralah buku atau seumpama dengannya. Saya akan tulis di sisi blog bahawa sesiapa yang ingin mengambil idea atau ‘copy’ dan ‘paste’, mestilah membuat kredit dengan membuat link di laman blog ini.

 

c)    Bertempoh, ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, ia wajib membeli yang original.

Demikian juga halnya keadaan para pelajar di Universiti. Sebagai contohnya terdapat pensyarah yang menjadikan buku tertentu sebagai silibus dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin memerlukan sehingga 5 atau 6 buku rujukan.

 

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai kemampuan untuk membeli buku-buku tersebut yang mungkin amat tebal dengan harga yang tinggi. Lalu tatkala itu, pelajar DIBENARKAN mem’fotostat’ halaman TERTENTU yang berkait dengan pembelajarannya, ia juga diharuskan kerana keperluan yang dibolehkan.


Bagaimana Jika Pengeluar Itu Adalah Orang Kafir?

Ada orang yang cuba berhujah dengan mengatakan bahawa Bill Gates adalah kafir, maka tiada masalah untuk menggunakan yang pirate. Selain itu, ada juga yang menyatakan beliau sudah terlalu kaya, maka penggunaan orang tanpa membelinya tidak memberikan apa-apa kesan kepada kekayaannya.

 

Sebenarnya, kefahaman ini adalah meleset dan tertolak di dalam Fiqh Islam, kerana Muslim tidak dibenarkan untuk mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang sedang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika yang berada di Iraq). Dalam keadaan tiada sebarang peperangan fizikal yang jelas, maka perisian windows adalah harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu adalah diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa sahaja mencerobohinya sesuka hati.

 

Dalilnya terlalu banyak, cukuplah Rasulullah saw dan para sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta Kafir Musyrik, semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan untuk menceroboh dalam pemilikan orang kafir serta mestilah membelinya dengan cara yang halal.

 

Sekiranya Ingin Mendownload Lagu Atau Vedio Yang tersedia Di Dalam YouTube Dan Perisian Percuma Yang Dinamakan Sebagai Freeware & Open source

Untuk penerangan dengan lebih jelas lagi tentang freeware dan opensource, boleh buka link Wikipedia ini dan ini.

Sebagai mana yang kita sudah maklumi bahawa ‘Copyright Low’ adalah sah di sisi Islam kerana hak intelek merupakan hak milik yang sah dan ia dilindungi oleh syara’. Ia meliputi hak intelek/hak cipta Muslim dan juga Non-Muslim.

 

Tetapi jika telah tersedia program seperti di dalam youtube atau memuat turun yang telah berlegar di dalam internet secara percuma tanpa kita perlu mencerobohinya sesuai dengan uruf dan kemaslahatan(manfaat) masyarakat (sederhana dan miskin) seperti men ‘download’ nasyid, ceramah dan video yang baik dan lain-lain, maka ia tidak mengapa. Namun mestilah bersyarat iaitu untuk kegunaan peribadi sahaja dan bukannya untuk mengambilnya sebagai keuntungan.

 

Begitu juga dengan alternatif perisian percuma yang telah disediakan. Mungkin ianya mempunyai sedikit kekurangan, tetapi sebenarnya ia lebih baik untuk kita mengelakkan diri daripada perkara yang syubhah seperti sabda Nabi saw yang bermaksud:

“An-Nu’man bin Basyir berkata, “Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda, ‘Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Sesiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, sesiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada sepotong daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sepotong daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.” (Riwayat Bukhari)

 

Kita boleh mendapatkan sistem operasi yang lengkap dengan perisian-perisian berguna di dalam linux yang freeware seperti Ubuntu, OpenSuSe, Fedora dan lain-lain. Antara perisian aplikasi yang freeware di dalam linux sebagai contoh ialah :

OpenOffice.org – fungsi yang hampir sama seperti Microsoft Office
Mozilla Firefox – pelayar web (Web Browser)
Amarok – pemain muzik/lagu
MPlayer – pemain video/movie
Thwab – ensiklopedia
Gimp – editor grafik seperti Adobe Photoshop
K3B – pembakar cd/dvd (cd/dvd burner) seperti Nero
Zekr – perisian al-Quran

 

Bagaimana Jika Seseorang Itu Mendownload Lagu Dan Vedio Yang Jelas Pengharamannya Di Dalam syara’ contohnya seperti Liriknya Yang menyimpang Dari Ajaran Islam

Kita perlu tahu bahawa kelonggaran di atas adalah kerana kemaslahatan (manfaat) yang besar terhadap masyarakat untuk mendapatkan kebaikan. Akan tetapi apabila kita salah menggunakan kesempatan yang ada untuk tujuan melalaikan dan salah, maka ia tidak dibolehkan di dalam syara’. Ini kerana, seorang Muslim dilarang syara’ untuk mengguna, menyimpan dan memiliki barang-barang yang haram, apatah lagi menjualnya walaupun mengambilnya daripada sumber yang original.

 

Akhirnya, berusaha mencari yang halal itu wajib bagi setiap Muslim yang mukalaf seperti yang ditegaskan oleh Nabi saw di dalam sabdanya yang bermaksud: “Mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). Saya akui bahawa penulisan ini terlalu banyak kekurangan kerana saya tidak masuk kesemua masalah-masalah yang berkaitan.

 

Jadi, Sesiapa yang masih keliru atau tidak faham atau pun ada persoalan, boleh terus bertanya kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan penyampaian semi ilmiah ini dapat membantu kita semua dalam membezakan hal yang halal dan haram. Supaya beroleh keberkatan dan kebaikan selama hidup yang singkat ini.

Allah swt yang lebih mengetahui.

Sekian,

 

Muhammad Fathullah Al-Haq

29/1/2012

Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

9 thoughts on “Fiqh Muamalat: Hukum Membeli, Menggunakan Perisian Cetak Rompak Yang Berbentuk Fotokopi, Burn, Fotostat Serta Masalah Berkaitan

  1. amirul

    Assalamualaikum, berkenaan isu cetak rompak ni, macamane kalau sy dah beli perisina yg pirate punye dan sy x tahu la pulak berdosa pakai yg pirate tu. adakah sy mesti tukar window ori. ataupun boleh terus pakai yg pirate je, lagipun sy bukannye buat berniage pun, sy pernah apply pinjaman untuk belajar guna window pirate dulu, adakah halal duit pinjaman sy tu. ? tolonglah jawab ye.

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      wasalam.. tahniah di atas perhatian saudara yg begitu tggi terhadap perkara halal dan haram.. Jika saudara masih belajar dan tidak mampu utk membeli window yg ori, kerana kita pun maklum bahawa yg ori mahal harganya, sedangkan dunia pada hari ini sgt memerlukannya.. maka atas hal yg sedemikian tidak mengapa jika saudara menggunakan yg pirate, tetapi jika sudah ada duit dan ada kemampuan, maka wajib pada saat itu saudara membeli window yg original.. wallahu a’lam

      Reply
  2. Amr

    Assalamualaikum,

    berdasarkan link ini “http://syededlee.tripod.com/keunggulanislam/id131.html”
    ada mengatakan “Boleh mencetak rompak hakcipta dari negara yg berstatus harbi (negara yg memerangi Islam).”

    Sebenarnya saya ingin membeli video editing software daripada syarikat Avid yang ibu pejabatnya di burlington, MA, United States. Harganya juga mahal.

    adakah united states termasuk dlm negara yang memerangi Islam? adakah boleh saya membelinya yang bukan original?

    Reply
  3. Badrul

    Assalamuailaikum saudara,, terima kasih atas ruangan yg saudara sediakan ini.. moga kita sama-sama dapat memperoleh manfaat darinya.. saya bekerja disebuah tempat tuition sebagai kerani.. antara tugas saya adalah photostat buku-buku soalan dan rujukan untuk kegunaan pelajar atas arahan cikgu-cikgu yang mengajar disana.. seperti yg saudara tahu setiap buku adalah dilarang untuk di phostostat semula.. adakah salah disisi syariat islam kerana menggunakan soalan-soalan atau rujukan dari buku-buku tersebut tanpa kebenaran dari penulis untuk tujuan pelajaran? bagaimanakah pendapatan saya adakah halal kerana turut terlibat sama walaupon tidak rela melakukanya dan hanya menjalankan amanah dari majikan?? harap saudara dapat memberikan jawapan.. hanya Allah dapat membalas jasa saudara Insyallah…

    Reply
  4. Along

    salam..

    katakan satu pihak menjual ebook ‘cara memasak’ dengan harga RM50. saya jumpa ebook tersebut yg boleh dimuat turun secara percuma di internet yang diupload oleh entah siapa. saya pun mendownload dan menggunakan isi maklumat ebook tersebut utk kegunaan peribadi. apakah hukumnya?

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      wasalam.. ‘Tetapi jika telah tersedia program seperti di dalam youtube atau memuat turun yang telah berlegar di dalam internet secara percuma tanpa kita perlu mencerobohinya sesuai dengan uruf dan kemaslahatan(manfaat) masyarakat (sederhana dan miskin) seperti men ‘download’ nasyid, ceramah dan video yang baik dan lain-lain, maka ia tidak mengapa. Namun mestilah bersyarat iaitu untuk kegunaan peribadi sahaja dan bukannya untuk mengambilnya sebagai keuntungan.’

      Ada dalam petikan di dalam artikel.. Boleh kerana kita tidak mengambilnya melalui jalan ceroboh atau mencuri.. sebab teknologi skrg ni memudahkan manusia utk melakukan perkongsian2 yg bermanfaat, tetapi mesti dngn syarat tidak mengambil bahan ebook itu sebagai perniagaan, klu utk diniagakan haram hukumnya..

      Reply
  5. Nur

    assalamualaikum, izinkan saya copy isi ni untuk diletak dlm blog ya? Saya akan letak link website ni.. :)

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>