wallpaper_1024x768_green

Hari-Hari Yang Dilarang Untuk Berpuasa

 

Puasa adalah salah satu bentuk ibadah yang Allah swt syariatkan ke atas umat Islam demi untuk mendekatkan diri kepada-Nya, maka sudah pasti ibadah itu adalah prinsip asasnya mengikut aturan yang Allah swt kehendaki berdasarkan wahyu yang sahih daripada al-Quran dan al-Hadis. Kerana ia berbentuk ibadah, maka manusia tidak boleh mereka-reka dan menambah-nambahnya sesuka hati, tetapi mestilah berdasarkan kehendak yang telah diperincikan oleh Allah melalui utusannya iaitu Nabi saw.

Kadang-kadang kita keliru, mana hari dan waktu yang dibenarkan untuk berpuasa, dan bila pula hari dan waktu yang tidak dibenarkan puasa. Maka di bawah ini ada sedikit huraian mengenai puasa yang dilarang berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan hujah-hujah daripada ulamak as-Salafusssoleh, ia diambil daripada kitab-kitab ulamak yang muktabar.

 

Oleh itu, antara puasa yang ditegah oleh syariat adalah seperti berikut:-

1.   Dua hari raya iaitu hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladhha (raya korban)

Ijmak para sarjana fikah ke atas pengharaman berpuasa pada dua hari raya ini. Ia diharamkan pada semua jenis bentuk puasa iaitu sama ada puasa nazar, atau puasa kafarah, atau puasa sunat, atau selain daripadanya. (lihat: Syarah Muslim Imam Nawawi 3/207, al-Mughni 4/424, dan juga Fathul Bari 4/281)

Hadis daripada Ibnu Azhar mengatakan: “Aku telah menyaksikan hari raya bersama Umar bin al-Khattab, maka Umar berkata, dua hari yang dilarang oleh Nabi saw untuk berpuasa.” (Riwayat Bukhari 1990 dan Muslim 1137)

Daripada Said al-khudri radiallahu anhu bahawa nabi saw telah melarang umat Islam daripada puasa pada dua hari iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladhha. (Riwayat Bukhari 1991 dan Muslim 1137)

 

2.   Puasa pada hari-hari tasyriq (iaitu tiga hari selepas hari raya Aidiladhha)

Tidak harus berpuasa pada hari-hari itu mengikut pandangan mejoriti ahli sarjana, ini sabit daripada hadis nabi saw iaitu daripada Nubaisyah al-Hazli radiallahu anhu: “hari-hari tasyriq adalah hari makan dan minum (dilarang berpuasa).” (Riwayat Muslim 1141)

Daripada Abi Murroh: “Dia dengan Abdullah bin Amru ke tempat bapanya iaitu Amru bin al-‘as, maka Amru mendekati mereka untuk mengajak makan, maka salah seorang daripadanya berkata, ‘sesungguhnya aku berpuasa’, lantas Amru menjawab ‘makanlah, kerana hari ini (hari-hari tasyriq) Nabi saw menyuruh kita untuk berbuka, dan melarang kita daripada berpuasa.” (Riwayat Bukhari 1997-1998)

 

3.   Puasa sunat sehari sahaja pada hari Jumaat

Hari Jumaat adalah hari raya mingguan bagi kaum Muslimin, maka syarak menegah orang Muslim daripada menunaikan puasa sunat pada hari Jumaat, sekiranya ingin juga berpuasa pada hari Jumaat tetapi mesti dengan syarat iaitu tidak boleh berpuasa pada hari Jumaat sahaja melainkan jika dia berpuasa pada hari sebelumnya atau sehari selepasnya. Ini selari dengan hadis Nabi saw yang bermaksud: “Jangan kamu puasa pada hari Jumaat melainkan jika kamu berpuasa sehari pada hari sebelumnya atau selepasnya.” (Riwayat Bukhari 1985, Muslim 1144)

Daripada Juwairiyah binti al-Haris radiallahu anha: “Sesungguhnya Nabi saw hendak menyetubuhinya  pada hari Jumaat, dan aku (Juwairiyah) puasa, maka nabi saw bertanya: ‘adakah kamu puasa pada hari semalam’, Juwairiyah menjawab: tidak, maka nabi saw bertanya lagi: ‘adakah kamu hendak puasa pada esok hari?, Juwairiah menjawab: tidak, maka nabi saw bersabda lagi dengan suruhan: Berbukalah.” (Riwayat Bukhari 1984, Muslim 1143)

 

4.   Puasa pada hari syak (ragu-ragu)

Tidak boleh mengawalkan puasa Ramadhan sehari awal atau dua hari kerana niat untuk berjaga-jaga, tetapi sekiranya jika kebiasaannya dia berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis atau puasa selang sehari sepanjang tahun, maka tidak lah menjadi masalah padanya. Jika perkara itu bukanlah kebiasaan baginya, maka haram baginya untuk berpuasa lebih awal daripada puasa Ramadhan. Ini bertepatan dengan hadis Nabi saw yang menyebut: “Janganlah kamu mengawalkan puasa ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya, melainkan jika dia memang melazimi puasa-puasa sunat (Isnin dan Khamis atau puasa selang sehari), maka dia boleh berpuasa pada hari tersebut.” (Riwayat Bukhari 1914, Muslim 1082)

Tegahan ini juga sabit daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ammar bin Yasir radiallahu anhu: “Sesiapa yang berpuasa pada hari syak (ragu-ragu dengan hari Ramadhan) maka dia telah melakukan maksiat pada Abu al-Qasim yakni (Nabi saw).” (Riwayat Abu Daud 2334, Tirmizi 681, an-Nasai 4/153, Ibnu Majah 1645)

Puasa pada hari syak ini jarang berlaku pada zaman moden ini, ini kerana banyak bahan-bahan yang boleh dijadikan pengukur untuk menentukan hari awal bulan Ramadhan, seperti di kalender, hebahan radio, TV dan sebagainya.

 

5.   Puasa pada setiap hari sepanjang tahun

Puasa jenis ini adalah dilarang di dalam syariat agama Islam yang suci ini. Daripada Abdullah bin Amru radiallahu anhu menyebut: “Bahawasanya Nabi saw ketika mana sampai padanya kisah mengenai puasa, maka baginda akan bersabda: Jangan berpuasa pada puasa yang kekal (selama-lamanya) sehingga tiga kali baginda mengulangi lafaz yang sama.” (Riwayat Bukhari 1977, Muslim 1159)

Di dalam hadis Abi Qatadah, Umar telah berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan orang yang melakukan puasa ad-dahru keseluruhannya, nabi saw menjawab: tiada puasa dan tiada berbuka padanya.” (Riwayat Muslim 1162)

 

6.   Perempuan dilarang berpuasa sunat kecuali jika diizinkan oleh suami

Perempuan yang sudah berkahwin, jika dia hendak menunaikan puasa sunat, sedangkan suaminya ada di sisinya, maka dia wajib meminta izin kepada suaminya terlebih dahulu. Ini dikecualikan daripada puasa yang wajib iaitu Ramadhan, jangan taat jika suami suruh berbuka pada puasa di bulan Ramadhan.

Ini selari dengan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah iaitu: “Janganlah kamu yakni perempuan berpuasa sunat walaupun satu hari, sedangkan suaminya menyaksikannya (di sisinya) kecuali jika dia meminta izin pada suaminya terlebih dahulu dan bukan di dalam bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari  dan Muslim)

 

Adakah disyariatkan puasa Rejab?

Tidak ada hadis yang sahih mengenai kelebihan Rejab daripada Nabi saw dan tidak ada juga bukti daripada sahabat-sahabatnya, hadis-hadis yang tersebar semuanya daif bahkan hadis-hadis itu adalah palsu dan dusta belaka. (lihat: Majmuk al-Fatawa 25/290, Latoef al-ma’arif hlm. 228, dan as-sailu al-jaror 2/143)

Maka tidak dibenarkan untuk berpuasa khusus pada bulan Rejab atau puasa pada awalnya. Daripada Khorsyah bin al-Harr mengatakan: “Beliau telah melihat Umar menghalang orang berpuasa pada bulan Rejab, kata Umar: Makanlah kamu, kerana sesungguhnya bulan ini adalah bulan kebesaran ahli Jahiliyah.” (Lihat: Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah 3/102, Ibnu Kasir dalam Musnad al-Faruq 1/285)

Juga daripada Muhammad bin Zaid, beliau mengatakan bahawa Ibnu Umar apabila melihat orang membesarkan/menghitung bulan Rejab, maka dia akan menegahnya. (Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah 3/102)

Begitu juga daripada A’to’ mengatakan: “Ibnu Umar melarang daripada berpuasa pada bulan Rejab keseluruhannya, kerana ia bukan kebesaran.” (Dikeluarkan oleh Abdul Razak 7854)

Berpuasa pada bulan Rejab samalah pada bulan-bulan yang lain, tiada apa-apa keistimewaan. Tiada juga di dalam sunah yang sahih mengatakan mengenai kelebihannya dan fadhilat yang khusus, kata Ibnu Hajar: “Tiada sabit dalam hadis kelebihannya, tiada juga pada puasanya, tiada juga puasa yang tertentu padanya, tiada malam-malam qiamullail yang khusus padanya, maka hadis yang sahih adalah menguatkan hujah semua ini.”  (Fiqh Sunah Oleh Said Sabiq 1/270)

Tetapi bagi mereka yang berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis pada setiap minggu atau puasa selang sehari sepanjang tahun, tidaklah menjadi masalah padanya untuk menunaikan puasa tersebut pada mana-mana bulan kecuali bulan Ramadhan.

 

Dilarang menyambung puasa tanpa berbuka

Sunnah melarang kita daripada menyambung puasa sehingga dua hari atau lebih tanpa berbuka dan bersahur. Kita hanya boleh menyambung puasa tanpa berbuka sehingga ke waktu sahur keesokan harinya, lebih daripada itu adalah dilarang daripada nabi saw dengan sabdanya: “Jangan kamu menyambung (puasa), jika kamu ingin menyambung juga puasa maka sambunglah hingga ke waktu sahur sahaja.” (Riwayat Bukhari 1967, Abu Daud 2344)

 

Sesiapa yang masih keliru atau tidak faham, boleh terus bertanya kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan penyampaian semi ilmiyah ini dapat membantu kita semua dalam melaksanakan ibadah berdasarkan konsepnya yang betul serta mudah dalam pelaksanaannya.

 

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>