pondan

Hukum Melihat Lelaki Lembut (pondan)

 

Hukum Melihat Lelaki Lembut(pondan)

Sejak akhir-akhir ini, golongan lelaki yang menyerupai perempuan atau golongan perempuan yang menyerupai lelaki hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak. Jika pada waktu dahulu, perempuan yang berperwatakan lelaki ini digelar sebagai tomboy kerana membawa imej lelaki.

Namun, kini muncul pula golongan yang dinamakan sebagai pengkid dengan imej, penampilan dan perwatakan lelaki. Begitu juga dengan lelaki, menampilkan diri sebagai golongan mak nyah dan pondan. Fenomena ini semakin menular dan berleluasa malah telah menjadi satu fenomena global di seluruh dunia.

 

Pengkid

•Merujuk kepada gadis yang mempunyai penampilan fizikal mirip lelaki seperti berambut pendek dengan mengenakan jeans dan t-shirt. Daripada sifat pula, nyata terserlah sifat kelakian (kejantanan) pada golongan ini dengan imej macho sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar seorang lelaki sejati.

•Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki. Yang nyata, golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma biologi dan sosial yang mereka miliki.
Tomboy
•Tomboy agak berbeza dengan pengkid, kerana tomboy hanya menampilkan imej kelelakian daripada sudut fizikal atau luaran sahaja seperti memakai jeans, t-shirt, bertopi dan berambut pendek sedangkan daripada sudut naluri dan perasaan, mereka tetap sama seperti perempuan normal.

 

Pondan

•Pondan atau Mak nyah pula merujuk kepada lelaki yang mempunyai penampilan fizikal mirip perempuan seperti berambut panjang dengan mengenakan pakaian seperti seorang wanita . Daripada sifat pula, nyata terserlah sifat keperempuanan pada golongan ini dengan imej lembut sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar seorang wanita sejati.
•Pondan dan Mak Nyah cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan sesama lelaki yang berperawakan wanita kerana daripada segi perasaan. Yang nyata, golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma biologi dan sosial yang mereka miliki.

 

Keputusan Fatwa Mengenai Perbuatan Pondan, Pengkid Atau Tomboi:

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 18 Disember 2008M bersamaan 20 Zulhijjah 1429 H. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah, dan pandangan yang dikemukakan, telah bersetuju untuk memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang mempunyai imej dan gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita (mak nyah/ pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam.

Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan, tunjuk ajar yang sebaiknya kepada anak-anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan. Supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah manusia.

Keterangan/Hujah:

1. Dalam menyatakan isu berkaitan wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, majoriti ulama bersepakat bahawa Islam melarang keras daripada terjebak kepada perbuatan tersebut. Merujuk kepada kitab muktabar Fiqh al-Islami wa Adillatuh,  Dr. Wahbah al-Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya. Kata Rasulullah SAW,

  عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas RA, katanya, “Telah melaknat Rasulullah SAW kepada mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita.”

(Direkodkan oleh Bukhari, no. 5886)

Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.

2. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menerusi bukunya Fatawa wa Rasaa’il Lil Nisa menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita.

Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki. Kata Nabi SAW,

 عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ.

 

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.

(Direkodkan oleh Abu Daud, no. 4100, dinilai sahih oleh syeikh al-Albani)

 

Islam melarang daripada orang lelaki menyerupai perempuan, atau perempuan menyerupai lelaki. Hal ini kerana, jika lelaki menyerupai perempuan dari segi berpakaian, atau tingkah lagu, atau gaya percakapan dan lain-lain, ia akan membawa kesan yang lebih parah iaitu berkeinginan untuk seks sesama jantina, melakukan pembedahan alat sulit, membesarkan payu dara dan pelbagai lagi.

Justeru, dalam hal ini, Allah SWT serta Nabi SAW melaknat orang yang melakukan perbuatan yang sedemikian.

Sebenarnya, semua perkara itu adalah nafsu dan tipu daya syaitan. Lagi pun ia terang-terang telah melanggar fitrah manusia. Jika naluri inginkan sesama jantina atau ingin meniru gaya jantina lain. Tolak jauh-jauh keinginan nafsu dan hasutan syaitan itu. Kerana masing-masing ada nafsu dan hasutan masing-masing, Cuma diri sahaja kuat atau tidak kuat mempertahankan iman di dalam diri.

Lagi satu, masalah daripada perbuatan terkutuk ini. Ia sebenarnya membawa bencana pada diri. Misalnya, jika dahulu ada seorang pondan berkahwin dengan lelaki kaya daripada Jerman, sehingga melakukan pendedahan alat sulit. Namun, ia tetap balik seorang diri kerana tidak ada zuriat.

Sedangkan, semua manusia amat berkeinginan kepada zuriat. Tidak ada seorang pun yang tidak mahu kepada zuriat sebagaimana firman Allah SWT,

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ (14)

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Ali-Imran: 14)

Apabila manusia tidak mengikuti fitrah yang sebenar, dalam apa-apa sahaja masalah. Lama-kelamaan ia akan membawa kepada jemu dan rasa bersalah. Ini kerana, perasaan jemu telah mengusai diri seseorang. Orang yang tidak mengikuti fitrah, ia tidak akan berkekalan, malah membawa kepada kemusnahan hidup.

Lihat sahaja pondan-pondan yang tidak berkahwin sehingga ke tua. Apabila tua, badan sudah tidak larat, selalu sakit, dan berbagai lagi kekurangan. Pada masa itu, sudah tidak ada sesiapa yang mahu menjaga lagi, kerana isteri dan zuriat tidak ada. Jika masih ada keluarga, mungkin adik-beradik dan saudara-mara sibuk dengan peranan masing-masing, maka hidup menjadi merana dan tersisih.

Oleh itu, apabila Allah SWT melaknat kepada sesuatu perbuatan, maka ia adalah perbuatan yang amat terkutuk dan amat buruk kesannya.

 

Batas Melihat Lelaki Pondan

Berbalik kepada persoalan hukum mengenai batas melihat lelaki pondan yang menyerupai perempuan sama ada melalui pakaiannya, tingkah laku, gaya percakapan, atau melakukan pembedahan di bahagian tubuh yang tertentu.

Justeru melihat pondan daripada kalangan lelaki, yang mana mereka telah mengubah bentuk tubuh mereka seperti perempuan atau memakai pakaian perempuan, maka haram melihat mereka. Kerana boleh membawa kepada timbulnya nafsu syahwat dan perkara-perkara yang lebih buruk, iaitu dikiaskan dengan perempuan. Yang terbaik adalah menundukkan pandangan daripada mereka.

Dibenarkan lihat, jika ada sebab-sebab tertentu seperti ingin berdakwah kepada mereka atau ada sebab-sebab yang dibenarkan oleh agama. Maka ada ruang keringanan untuk melihat mereka.

Namun, jika perwatakan lelaki itu hanya lembut dari tingkah laku dan gayanya sahaja. Namun masih jelas lagi kelakiannya seperti tubuhnya masih tubuh lelaki, pakai pun masih pakaian lelaki. Maka tidak mengapa untuk melihat mereka. Tetapi jika masih bersyahwat lagi apabila melihat mereka, maka tidak dibenarkan. Kecuali jika lihat tanpa bersyahwat.

Demikian juga bagi perempuan. Apabila seseorang perempuan melihat tomboy atau pengkid seperti yang telah diterangkan sebentar tadi dengan bersyahwat, maka tidak dibenarkan untuk melihat mereka, kecuali jika ada sebab-sebab yang dibenarkan oleh agama.

Demikianlah agama menjaga sistem manusia dan fitrah manusia dengan amat teliti, supaya sistem dan fitrah itu tidak tercemar dengan anasir-anasir yang buruk seperti yang banyak berlaku pada hari ini. Tidak ada agama yang lebih baik dari agama Islam. Lihat dan pelajarilah ia sebaiknya.

 

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>