wanita

Hukum Wanita Keluar Bekerja

Firman Allah SWT,

وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ (23)فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ (24) فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا فَلَمَّا جَاءَهُ وَقَصَّ عَلَيْهِ الْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ نَجَوْتَ مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (25) قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ (26)

Maksudnya: “Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”. Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: “Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu “. Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.” (Al-Qasas: 23-26)

Berdasarkan ayat ini, ia merupakan sepotong ayat yang amat penting bagi umat Islam iaitu perihal pekerjaan wanita. Pada hari ini, lelaki dan wanita sama-sama penting dalam menggerakkan ekonomi negara. Masing-masing ada peranan yang penting, suami dan isteri atau lelaki dan perempuan sama-sama keluar bekerja dan mencari nafkah.

Sepatutnya, di dalam agama Islam. Tuntutan nafkah adalah tanggungjawab suami. Begitu juga bagi perempuan, pada hukum asal tempat perempuan adalah berada di rumah, keluar jika ada sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak.

Namun disebabkan tekanan hidup yang amat tinggi dewasa ini, belanja harian keluarga yang amat membebankan. Maka jalan alternatifnya ialah perempuan sama-sama keluar bagi membantu lelaki mencari nafkah, bagi mencapai kehidupan yang lebih baik.

Justeru para ulama telah bertungkus-lumus dalam menyelesaikan masalah ini dari sudut agama, iaitu mengeluarkan sesuatu hukum dan piawaian tertentu yang mengikut kehendak Allah SWT, ia bukanlah suatu pekerjaan yang mudah dan main-main. Ia perlu dilihat dan ditimbang dari pelbagai neraca, barulah boleh mengeluarkan kesimpulan daripada masalah ini.

Seperti yang telah diberitahu bahawa kewajipan mencari nafkah terletak di bahu lelaki, bukannya di bahu perempuan. Perempuan tugasnya adalah menjaga rumah dan anak-anak tatkala suami sibuk mencari nafkah di luar.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW,

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالإِمَامُ رَاعٍ وَهْوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ فِي أَهْلِهِ رَاعٍ وَهْوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا رَاعِيَةٌ ، وَهْيَ مَسْؤُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ فِي مَالِ سَيِّدِهِ رَاعٍ

 

Maksudnya: “Daripada Abdullah Bin Umar RA, bahawa dia mendengar Nabi SAW berkata, “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (Direkodkan oleh Bukhari, no. 2409)

Jelas di dalam hadis sahih ini menyebut bahawa lelaki adalah pemimpin bagi keluarga serta menyediakan keperluan bagi keluarganya. Manakala tanggungjawab perempuan ialah menjaga rumah, menjaga harta suami dan mendidik anak-anak dengan baik.

Sebenarnya, pembahagian ini adalah untuk meraikan tabiat dan fitrah manusia. Lelaki dari sudut fizikal dan fikirannya sesuai untuk mencari nafkah dan bekerja di luar. Manakala perempuan dari sudut fizikal, fikiran dan emosi sesuai untuk bekerja di rumah, terutamanya dalam melibatkan soal penjagaan anak-anak.

Firman Allah SWT,

فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَذَا عَدُوٌّ لَكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَى (117) إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَى (118) وَأَنَّكَ لَا تَظْمَأُ فِيهَا وَلَا تَضْحَى (119)

Maksudnya: “Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita. “Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. “Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari”. (Taha: 117-119)

Pada ayat ini, Allah SWT ingin menjelaskan bahawa iblis tidak hanya memusuhi Nabi Adam, malah ia juga memusuhi Hawa’ iaitu isteri Nabi Adam berserta zuriat-zuriatnya. Maka Allah SWT menegaskan bahawa jangan disebabkan tipu daya syaitan, kamu berdua iaitu Nabi Adam dan Hawa’ keluar daripada syurga. Kerana apabila Nabi Adam dan Hawa’ keluar daripada syurga, Allah SWT menegaskan bahawa kamu iaitu Nabi Adam akan susah dan menderita.

Kalimah فَتَشْقَى menjelaskan bahawa suami perlu bertanggungjawab mencari kehidupan bagi keluarganya, mencari nafkah, mencari makanan dan minuman, menyediakan tempat tinggal. Dan bukannya menjadi tanggungjawab bagi isteri atau perempuan untuk melaksanakan semua tugas tersebut. Sebab itu Allah SWT beritahu bahawa kamu wahai Nabi Adam akan susah kerana perlu menunaikan tanggungjawab-tanggungjawab tersebut.

Maka jelas berdasarkan penjelasan di atas bahawa hukum bekerja dan mencari nafkah terletak pada tanggungjawab suami, bukannya isteri. Namun apabila keadaan terdesak dan tuntutan hidup yang amat tinggi. Maka tidak mengapa untuk isteri keluar bersama-sama untuk mencari nafkah dan mendapatkan sumber yang halal.

Akan tetapi, suami tidak boleh memaksa isteri untuk bekerja, jika isteri tidak mahu bekerja, maka suami tidak boleh lagi memaksa isteri. Hal ini kerana, banyak kita dengar mengenai luahan para isteri yang mana mereka ini dipaksa bekerja oleh suami.

Ada yang lebih teruk, suami tidak mencari nafkah dan hanya duduk goyang kaki membiarkan isteri bekerja. Malah ada yang lebih teruk dari itu, apabila suami membenarkan atau memaksa isteri melakukan pekerjaan yang haram seperti melacur misalnya. Semua itu adalah dosa yang amat besar, maka suami apabila tidak berusaha mencari nafkah, ia berada dalam maksiat kepada Allah SWT.

Sepatutnya, suami perlu memberi nafkah dan membimbing keluarganya ke jalan yang diredai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ (6)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)

Jika isteri hendak bekerja kerana keperluan harian yang mendesak, maka suami perlu izinkan. Namun suami perlu benarkan jika isteri melakukan pekerjaan yang halal dan sesuai dengan fizikalnya sebagai seorang perempuan. Misalnya bekerja sebagai cikgu, doktor, mengasuh kanak-kanak dan lain-lain, yang mana pekerjaan itu sesuai untuk perempuan dan dibenarkan oleh syarak.

Namun, isteri atau perempuan jangan pula mengambil kesempatan setelah diberi peluang oleh penjaga. Hal ini kerana, terdapat banyak hari ini kita dengar perempuan keluar bukan sahaja untuk bekerja, malah melakukan perkara sampingan yang dilarang oleh syarak. Misalnya, curang dengan suami, keluar berdua-duaan dengan lelaki lain tanpa ada sebab, meluahkan perasaan dengan lelaki ajnabi, berseronok di luar sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau ibu.

Demikian juga bagi perempuan yang belum berkahwin, apabila diizinkan oleh penjaga untuk keluar kerana bekerja atau belajar. Jangan pula mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang dilarang oleh syarak. Kerana hari ini banyak kita dengar perempuan keluar dating dengan lelaki ajnabi, menjual tubuh, melepak, dan sebagainya. Semua perkara tersebut adalah perkara yang amat dibenci oleh Allah SWT, dan ia boleh membawa kerosakan kepada perempuan tersebut. Seterusnya ia boleh memusnahkan institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, golongan perempuan perlu menjaga amanah yang diberi oleh penjaga sebaiknya tidak kira sama ada bergelar isteri atau pun yang masih bujang.

 

Piawaian Yang Dikeluarkan Oleh Ulama Dalam Membenarkan Perempuan Keluar Bekerja

Islam tidak melarang untuk perempuan keluar bekerja. Namun Islam ada menyediakan kaedah-kaedah yang perlu dipatuhi oleh perempuan. Demi untuk menjaga golongan perempuan daripada fitnah, juga untuk memuliakan perempuan, kerana kesesuaian dari sudut fizikal dan pelbagai lagi sebab-sebab yang positif.

Para wanita perlu set kan di dalam minda bahawa semua kaedah ini adalah untuk kepentingan umum dan golongan wanita khususnya. Baiknya agama ini untuk wanita. Antara piawaian yang dikeluarkan oleh ulama ialah:

1)Persetujuan Wali atau penjaga: Mulia dan sayangnya Allah SWT kepada kaum perempuan ialah apabila Allah SWT tidak benarkan jika dalam satu masa perempuan tidak dijaga. Dari kecil perempuan dijaga oleh ibu bapanya. Apabila sudah berkahwin dijaga pula oleh suaminya, apabila ketiadaan suami, wajib pula dijaga oleh anak lelakinya, begitulah seterusnya. Tidak akan ada satu masa, perempuan tidak dijaga oleh sesiapa pun.

Maka dalam hal ini, perempuan tidak boleh keluar daripada rumah sama ada untuk tujuan bekerja, belajar atau sebagainya. Perlu meminta izin terlebih dahulu kepada ibu bapa, atau suami.

2)Aman daripada fitnah: Antara sebab-sebab yang boleh berlakunya fitnah, apabila perempuan keluar rumah dalam keadaan membuka aurat, bercampur gaul dengan lelaki yang ajnabi, bermekap secara berlebih-lebihan, keluar tanpa ada urusan penting, dan lain-lain. Maka sebab-sebab tersebut amat bahaya kerana ia boleh membawa kepada fitnah.

3)Perempuan yang keluar bekerja tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri atau ibu. Walaupun keluar bekerja, tanggungjawab sebagai isteri atau ibu tetap perlu digalas sebaik mungkin.

4)Perempuan tidak digalakkan untuk melakukan pekerjaan yang luar daripada tabiat dan sifat fizikalnya sebagai seorang perempuan. Ini penting bagi menjaga agama dan kedudukan perempuan.

5)Pekerjaan yang dilakukan mestilah pekerjaan yang dibenarkan oleh syarak dan membawa manfaat kepada masyarakat dan agama. Dan dilarang daripada melakukan pekerjaan yang mengundang kepada maksiat dan keburukan.

Jika prinsip ini dijaga dan diikuti sebaiknya, pasti pekerjaan yang dilakukan oleh golongan perempuan tidak membawa kepada fitnah, bahkan membawa kepada kebaikan yang menyeluruh kepada umat Islam.

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>