mata2

Konsep Menundukkan Pandangan Menurut Kaca Mata Islam

 

Menundukkan Pandangan

 

Ramai daripada kita yang tersalah sangka dengan maksud tundukkan pandangan. Ada yang faham bahawa menundukkan pandangan itu adalah apabila berjalan di luar, perlu lihat bawah sahaja sehingga boleh membahayakan dirinya kerana terlanggar tiang lampu, atau sebagainya.

Ada juga yang langsung tidak pernah mendengar konsep menundukkan pandangan di dalam perbahasan fikah Islam, lantas melihat apa-apa sahaja yang berada di sekelilingnya. Yang halal, mahupun yang haram, semuanya dia lihat, katanya rezeki jika tidak pandang. Padahal perkara itu adalah maksiat dan boleh mendatangkan dosa terhadap dirinya.

Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita sama-sama memahami konsep ini dengan baik, supaya kita boleh selamatkan hati kita daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat.

Misalnya, jika orang lelaki memandang kepada wanita yang tidak menutup aurat dan seksi pakaiannya, maka ia akan menimbulkan rasa yang tidak baik di dalam hati si lelaki tersebut. Ia bermula daripada pandangan mata, lalu jatuh ke hati. Sebab itu Nabi SAW ada tegaskan di dalam sabdanya,

إِنَّ الْمَرْأَةَ عَوْرَةٌ ، وَإِنَّهَا إِذَا خَرَجَتِ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: “Wanita itu adalah aurat, apabila dia keluar, syaitan akan memperelok pandangan manusia lain untuk melihatnya.”

(Direkodkan oleh Tirmizi, no. 1173, dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani)

Dapat difahami berdasarkan hadis ini bahawa apabila wanita keluar daripada rumah, syaitan akan mengambil kesempatan untuk menimbulkan fitnah dengan bersenjatakan wanita. Justeru, kita tidak hairan dewasa ini apabila ramai orang lelaki mengambil kesempatan ke atas orang perempuan.

Statistik jenayah rogol dan gangguan seksual semakin ketara tahun demi tahun berbanding tahun-tahun yang lalu yang mana wanita jarang keluar rumah.

Oleh itu, daripada menimbulkan penyakit yang ada di dalam hati, serta boleh menimbulkan fitnah yang lebih besar. Islam sudah awal-awal lagi menutup pintu tersebut iaitu dengan memperkenalkan kaedah menundukkan pandangan. Pada tajuk yang lepas kita sudah faham akan perihal hijab, maka pada kali ini, kita memahami pula konsep menundukkan pandangan di dalam Islam.

 

Hakikat Menundukkan Pandangan

Firman Allah SWT,

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30)

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (An-Nur: 30)

 

Firman Allah SWT,

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.” (An-Nur: 31)

 

Dari sudut bahasa, غَضُّ البَصَرِ (gadh-dhul bashar) bererti menahan, mengurangi atau menundukkan pandangan. Berasal dari kataغَضَّ , yang bererti كَفَّ (menahan) atauنَقَصَ  (mengurangi) atau خَفَضَ  (menundukkan).[1]

Menahan pandangan bukan bererti menutup atau memejamkan mata hingga tidak melihat sama sekali, atau menundukkan kepala ke tanah saja, kerana bukan itu yang hendak dimaksudkan. Di samping ia nya tidak akan mampu dilaksanakan oleh kita semua.

Tetapi yang hendak dimaksudkan di sini ialah mengawal pandangan. Pandangan yang terpelihara adalah apabila seseorang itu memandang sesuatu yang bukan aurat lelaki atau wanita atau perkara-perkara buruk yang lain, tidak berlama-lama memandang yang tidak baik, dan tidak terus menerus memandang aurat apabila terpandang buat kali yang pertama.[2]

Dengan kata lain, menahan pandangan dari melihat apa-apa sahaja yang diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya.[3]

Menundukkan pandangan adalah satu perintah Allah kepada semua lelaki dan perempuan. Ia adalah satu simbolik menandakan orang Islam mesti menjaga pandangan daripada melihat perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Menundukkan pandangan bukan bermakna menundukkan kepala, tetapi memelihara pandangan. Maksudnya, walaupun ada maksiat berlaku di depan mata, seseorang itu mesti mengelakkan mata daripada melihatnya dan bukan menganggap ini ‘tayangan percuma’ yang rugi kalau tidak dilihat, seperti sangkaan sesetengah orang. Antara yang dilarang ialah melihat aurat atau perkara yang memberahikan.

Kenapa Allah SWT menyuruh kita menundukkan pandangan? Kerana apa yang pasti bahawa pandangan manusia amat berkait rapat dengan hati. Manakala hati manusia ialah raja bagi tubuh badan. Jika hati tercemar, maka ia akan merosakkan anggota-anggota yang lain, iaitu dengan mengawal anggota lain untuk melakukan maksiat, seperti otak akan berfikir dan berimaginasi tentang apa yang dilihat. Tangan dan kaki akan mula mengambil tindakan.

Nabi SAW berkata,

الحلالُ بيِّنٌ، والحرامُ بيِّنٌ، وبينهما مُشَبَّهاتٌ لا يعلمُها كثيرٌ من الناسِ، فمَنِ اتقى المُشَبَّهاتِ استبرَأ لدينِه وعِرضِه، ومَن وقَع في الشُّبُهاتِ : كَراعٍ يرعى حولَ الحِمى يوشِكُ أن يواقِعَه، ألا وإن لكلِّ ملكٍ حِمى، ألا وإن حِمى اللهِ في أرضِه مَحارِمُه، ألا وإن في الجسدِ مُضغَةً : إذا صلَحَتْ صلَح الجسدُ كلُّه، وإذا فسَدَتْ فسَد الجسدُ كلُّه، ألا وهي القلبُ .

Maksudnya: “Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang mana tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Sesiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, sesiapa yang terjerumus dalam syubhah, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu akan rosak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.”

(Direkodkan oleh Bukhari, no. 52)

Justeru, sebelum berlaku fitnah yang lebih besar, maka awal-awal lagi Islam sudah menutup pintu fitnah tersebut iaitu dengan cara menundukkan pandangan. Menghalang daripada memandang perkara-perkara yang haram seperti aurat lelaki atau perempuan, berdasarkan kaedah-kaedah yang telah diterangkan di atas.

Sahabat ada bertanya kepada Nabi SAW akan perihal hak kepada jalan orang yang lalu-lalang, maka Nabi SAW berkata,

فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلاَّ الْمَجْلِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهُ ». قَالُوا وَمَا حَقُّهُ قَالَ « غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الأَذَى وَرَدُّ السَّلاَمِ وَالأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْىُ عَنِ الْمُنْكَرِ ».

 

Maksudnya: “Jika kamu berjumpa selain daripada majlis, maka berilah jalan haknya,” maka para Sahabat bertanya, “Apakah haknya,” Nabi SAW menjawab, “Tundukkan pandangan, hilangkan kesakitan, jawab salam, menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran.”

(Direkodkan oleh Muslim, no. 5685)

Nabi SAW berkata,

قالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ لعليٍّ يا عليُّ لا تُتبعِ النَّظرةَ النَّظرةَ فإنَّ لَك الأولى وليست لَك الآخِرةُ

 

Maksudnya: “Hai Ali! Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pada pandangan pertama, adapun yang berikutnya tidak boleh”

 

(Direkodkan oleh Abu Daud, no. 2149)[4]

 

Contoh situasi yang kita boleh ambil daripada hadis ini ialah, tatkala kita berjalan-jalan, kemudian ternampak perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilihat seperti aurat dengan sekilas pandang, maka selepas itu kita wajib mengelak pandangan, serta jangan pandang lagi buat kali yang kedua.

 

Untuk pandangan pertama adalah dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, apabila kita sengaja memandang kepada perkara yang haram, kita akan mendapat dosa.

 

Nabi SAW berkata,

 

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ فَأَمَرَنِى أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِى.

 

Maksudnya: “Daripada Jarir Bin Abdullah berkata, “Aku telah bertanya kepada Nabi SAW akan perihal melihat secara tiba-tiba, maka Nabi SAW menyuruh aku mengalihkan pandangan aku (tidak memandang untuk kali yang kedua.”

 

(Direkodkan oleh Muslim, no. 5770)

 

Nabi SAW berkata,

 

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنَى مُدْرِكٌ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الاِسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلاَمُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ ».

 

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW berkata, “Setiap anak Adam memiliki peluang untuk berzina, kedua mata itu berzina dan zinanya adalah melihat, kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan, mulut juga berzina dan zinanya adalah mencium dan hati itu berzina dan zinanya adalah hawa nafsu dan angan-angan. Akan tetapi, kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari perzinaan tersebut.”

(Direkodkan oleh Muslim, no. 6925)

Berdasarkan hadis ini, kita pasti akan terjatuh ke dalam lembah zina jika kita tidak menjaga faktor-faktor yang boleh menjurus kita kepada zina. Oleh itu, pintu zina dan maksiat ini terlalu luas, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menghalang diri kita daripada terjatuh ke dalam lembah zina, iaitu salah satu usaha kita ialah dengan menjaga pandangan daripada melihat perkara yang haram.

Nabi SAW berkata,

أن امرأة من خثعم استفتت رسول الله صلى الله عليه وسلم في حجة الوداع والفضل بن عباس رديف رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فقالت : يا رسول الله ! إن فريضة الله في الحج على عباده أدركت أبي شيخا كبيرا ، لا يستوي على الراحلة ، فهل يقضي عنه أن أحج عنه ؟ فقال لها رسول الله صلى الله عليه وسلم : نعم ، فأخذ الفضل بن عباس يلتفت إليها وكانت امرأة حسناء! وأخذ رسول الله صلى الله عليه وسلم الفضل ، فحول وجهه من الشق الآخر

 

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas, katanya Al-Fadhal (bin Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah s.a.w. (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah SAW). Datang seorang wanita dari khasy`am untuk meminta fatwa daripada Nabi SAW. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia adalah seorang perempuan yang cantik. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

(Direkodkan oleh an-Nasa’I, no. 2641, dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani)

Hadis ini memberi maksud bahawa Nabi SAW menundukkan pandangan al-Fadhal Bin Abbas, daripada terus-menerus melihat wanita daripada khasy’am itu dengan mengalihkan pandangannya ke tempat lain.

Ini adalah bukti bahawa Nabi SAW tidak menggalakkan seseorang itu melihat wajah wanita, kecuali jika berhajat seperti proses pembelajaran, jual beli, kerja atau sebagainya.

Maka tujuan menundukkan pandangan adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk memelihara manusia daripada terjebak kepada fitnah yang lebih besar. Justeru, Islam tidaklah melarang untuk berjalan-jalan, bersiar-siar, atau sebagainya.

Namun, Islam ada meletakkan kaedah iaitu apabila terpandang pada perkara yang haram, cepat-cepat alihkan pandangan ke tempat lain. Hukum ini juga diguna pakai ketika mana kita menonton TV, melayari FB, atau sebagainya. Perkara ini penting untuk mengelakkan diri kita daripada fitnah dan menjauhkan diri kita daripada dosa.

 

 


[1] Lihat: Tajul ‘Arus 1/4685, dan Maqayisul Lughah 4/306

[2] Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Halal & Haram, hlm 171

[3] Tafsir At-Thabari 19/154, Ibnu Katsir 6/41

[4] Dihasankan oleh Syeikh al-Albani,

 

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

One thought on “Konsep Menundukkan Pandangan Menurut Kaca Mata Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>