Muamalah

Kaedah Usul Fiqh : Semua Perkara Itu Pada Hukum Asalnya Adalah Harus/Halal

Karya Prof. Dr Yusof Al-Qorodhawi

Diterjemah Oleh Fathullah Al-Haq

 

Sejak akhir-akhir ini kita mendapati bahawa sangat mudah orang ramai memutuskan hukum ini dan ini adalah haram, sedangkan perkara itu tidaklah sampai kepada hukum haram. Haram adalah hak milik mutlak Allah Ta’ala, dialah yang mengharamkan dan menghalalkan. Di dalam al-quran Allah mencela orang yang menghalalkan perkara yang diharamkan, dan mengharamkan apa yang dihalalkan tanpa mempunyai ilmu yang sahih mengenainya. Maka di dalam hal ini, kita perlu berhati-hati dalam memutuskan sesuatu hukum agar hukum tersebut tidak membawa fitnah terhadap agama dan masyarakat. Di bawah ini adalah penulisan Prof. Dr Yusof al-Qorodhawi dalam memperincikan kaedah yang telah diutarakan.

 

Hukum asal pada setiap sesuatu itu adalah harus

Sesungguhnya pada awal-awal lagi Islam telah menetapkan: Setiap sesuatu yang Allah Ta’ala ciptakan di atas muka bumi ini hukum asalnya adalah halal dan harus, dan tidak haram melainkan jika ada dalil nas sahih yang menyatakan perkara itu adalah haram, maka apabila tiada dalil yang sahih mengenai pengharamannya seperti sesetengah hadis yang daif atau tiada dalil yang jelas mengenai pengharamannya, maka perkara itu kekal kepada hukum asalnya iaitu harus/halal.

Ulama’ Islam telah memutuskan mengenai kaedah ini dengan dalil ayat al-Quran yang jelas iaitu yang bermaksud: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.” (al-Baqaroh:29). Lagi firman Allah Ta’ala Yang bermaksud: “Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya.” (al-Jathiyah: 13). Lagi firman Allah Ta’la yang bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin?” (Luqman:20).

Maka jelas bahawa segala apa yang diciptakan oleh Allah Ta’ala adalah untuk dimanfaatkan bagi kehidupan manusia. Kemudian Allah ada mengharamkan sedikit daripadanya, dan sudah pasti bahawa perkara yang diharamkan itu mempunyai sebab dan hikmah yang akan kita sebutkan pada tajuk-tajuk yang akan datang .

Sebenarnya, perkara yang diharamkan oleh Allah Ta’ala adalah amat sedikit berbanding dengan perkara yang dihalalkan oleh Allah Ta’ala, perkara yang halal amat luas dan sangat banyak. Demikian juga apabila Allah Ta’ala mendatangkan nas mengenai pengharaman adalah amat sedikit. Tidaklah Allah Ta’ala mendatangkan ayat mengenai pengharaman dan penghalalan, maka apa yang baki daripadanya itu adalah termaktub pada hukum asalnya iaitu harus. Perkara yang dimaafkan oleh Allah Ta’ala.

Ini sangat jelas seperti yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apa yang dihalalkan oleh Allah Ta’ala di dalam firmanya, maka ia adalah halal, dan apa yang diharamkan oleh Allah Ta’ala di dalam firmanya, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan selain daripada itu, maka ia dimaafkan, maka terimalah daripada Allah segala apa yang ditetapkan, kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa pada setiap sesuatu dan terus membaca firman Allah ‘dan tiadalah Tuhanmu itu lupa’ (Maryam:64) (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan disahihkan olehnya daripada Abi Darda’, dan telah dikeluarkan oleh al-Bazzar, beliau mengatakan sanadnya baik)

Daripada Salman al-Farisi: “Beliau bertanya kepada baginda SAW akan perihal minyak sapi, keju dan mentega, maka baginda menjawab: Perkara yang halal adalah apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam al-Quran, dan perkara yang haram adalah apa yang diharamkan di dalam al-Quran, dan apa yang Allah tidak menyebutnya, maka perkara itu dimaafkan bagi kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, dan al-Hakim)

Maka tidaklah nabi SAW menjawab pertanyaan tadi secara terperinci, tetapi cukup dengan sekadar memberi kaedah kepada pertanyaan sahabat seperti yang ada di dalam hadis tadi iaitu cukup sekadar tahu apa yang diharamkan oleh Allah, dan selain daripadanya itu adalah halal lagi baik.

Sukanya di sini saya ingin menekankan bahawa hukum asal pada setiap sesuatu itu adalah harus, tidaklah dihadkan pada semua perkara dan benda, bahkan meliputi segala jenis perbuatan dan tingkah laku yang tidak berkaitan dengan perkara-perkara ibadah, maka ia dinamakan (Adat atau Muamalah), hukum asal daripada dua perkara ini adalah tidak haram dan tidak dihadkan melainkan perkara yang jelas diharamkan oleh Allah SWT. Allah berfirman: “Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu”, umum pada setiap perkara dan perbuatan.

 

Berbeza Dengan Konsep Ibadah

Walau bagaimanapun, kaedah ini berlawanan dengan soal ibadah, kerana ibadah adalah urusan agama yang mesti diambil daripada jalan wahyu (al-Quran dan Sunnah), ini telah dijelaskan di dalam hadis nabi yang sahih maksudnya: “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu (amalan) dalam urusan (agama) kami yang bukan dari kami, maka (amalan) itu tertolak.” (Muttafaqun Alaih). Demikian hakikat urusan agama ini meliputi pada dua perkara: Tidak menyembah melainkan hanya pada Allah SWT, dan tidak beribadah melainkan dengan apa yang disyariatkan oleh Allah SWT, maka sesiapa yang mereka-reka atau mengada-adakan ibadah walau siapa pun dia, maka ia sangat tercela dan tertolak, hal ini kerana Allah sahaja yang layak untuk menentukan ibadah demi mendekatkan hamba kepadanya.

Akan tetapi, adat dan muamalah tidaklah ditentukan hukumnya oleh Allah SWT, bahkan manusialah yang menyusun dan berurusan dengannya, maka syariat hanya datang untuk memperbetulkan apa yang salah, dan mengadili serta mendisiplinkannya supaya dapat menjauhkan manusia daripada kerosakan dan kemudharatan.

Syekh Islam Ibnu Taimiyah pernah menyebut:  Sesungguhnya setiap perkataan dan perbuatan hamba ada dua jenis: Ibadah adalah untuk kehidupan akhiratnya, dan adat atau muamalah adalah perkara yang diperlukan untuk menjalani kehidupan dunia ini. Maka dengan membaca asas-asah syariah, kita dapat mengetahui bahawa perkara ibadah tidak akan diterima melainkan ia adalah wahyu daripada Allah SWT.

Sedangkan di dalam perkara adat, ia adalah perkara yang diperlukan oleh manusia demi untuk memudahkan mereka di dalam urusan dunia. Maka hukum asal padanya tidaklah haram, semuanya halal melainkan perkara yang diharamkan oleh Allah Ta’ala, hal ini kerana suruhan untuk tegahan dan pengharaman hanyalah hak milik mutlak Allah Ta’ala. Ia berbeza dengan perkara ibadah, kerana ibadah tidak boleh dilakukan melainkan ia nya difardhukan oleh Allah Ta’ala.

Hal ini selari dengan kata-kata Imam Ahmad, beliau seorang faqih dan dalam masa yang sama seorang yang sangat pakar di dalam ilmu hadis, katanya: “Sesungguhnya hukum asal pada perkara ibadah adalah terikat dengan waktu-waktunya, tidaklah ia disyariatkan melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah Ta’ala, prinsip ini telah ditegaskan oleh Allah Ta’ala di dalam firmanya yang bermaksud: “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah.” (Asy-syura ayat 21)

Manakala dalam perkara adat pada asalnya adalah dimaafkan, tidaklah diharamkan oleh Allah melainkan apa yang diharamkan oleh Allah, sedangkan perkara yang Allah haramkan itu sangatlah sedikit berbanding dengan perkara yang harus dan halal, prinsip ini bertepatan dengan firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?.” (Yunus ayat 59)

Kaedah ini sangat bermanfaat, maka dengan ini kita boleh mengatakan bahawa jual beli, pemberian, sewa dan selain daripadanya, perkara-perkara ini sangat diperlukan oleh manusia untuk kehidupan mereka yang lebih baik. Syariat hanya datang untuk memberikan panduan serta peraturan supaya perkara-perkara tersebut tidak jatuh kepada kerosakan dan kezaliman, contohnya seperti Allah mengharamkan hukum riba pada jual beli, penipuan dan sebagainya. Maka syariat datang untuk menjaga prinsip-prinsip ini daripada tercemar.

Maka dengan itu, manusia boleh melakukan urusan jual beli dan sewa menyewa mengikut kehendak mereka selagi mana tidak berlaku kezaliman dan penipuan. Sebagaimana juga dalam hal pemakanan, minuman dan pemakaian, semua itu boleh dilakukan selagi mana tidak ada dalil yang mengharamkannya.

Berdasarkan kaedah ini juga, ia selari juga dengan kata-kata daripada Jabir bin Abdullah, beliau mengatakan: “Kami hidup semasa fatrah penurunan al-quran, jika sesuatu perkara itu ditegah, maka sudah pasti tegahan itu daripada al-quran.”

Ini jelas menunjukkan bahawa apa yang tidak dinyatakan daripada wahyu, maka ia kekal kepada hukum keharusannya selagi mana tidak ada nas yang mengharamkannya. Ini adalah kesempurnaan sahabat–sahabat dalam memahami perkara agama sehingga terciptanya kaedah yang sangat penting ini iaitu, tidaklah disyariatkan ibadat melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah Ta’ala, dan tidak diharamkan perkara adat, melainkan apa yang diharamkan oleh wahyu.

 

This entry was posted in Fekah & Ibadah, TEKS on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>