Beberapa Wasiat Daripada Al-Quran

Di dalam melayari bahtera kehidupan sebagai orang yang beriman kepada Allah swt, sudah pasti orang itu memerlukan disiplin yang tinggi, tidak kiralah sama ada disiplin itu berupa ilmu-ilmu yang bermanfaat, menggunakan masa dengan sebaiknya, menjaga akhlak yang baik, berfikir dengan cara yang betul, menjaga hubungan dengan Allah swt dengan bersungguh-sungguh, begitu juga sesama manusia serta perkara-perkara terpuji yang lain. Hakikat itulah yang perlu ada pada setiap manusia dalam melayari bahtera kehidupan ini dengan penuh keimanan.

Justeru, dalam kita hendak menjalankan kehidupan sebagai seorang Mukmin yang cemerlang dan sempurna, Allah swt telah memberi petunjuk dan motivasi yang sangat hebat itu ada di dalam Al-Quran.

Oleh itu saya akan menyenaraikan beberapa nasihat atau wasiat yang ada di dalam Al-Quran sebagai petunjuk, pedoman dan bahan motivasi dalam kehidupan seharian kita semua, antara yang disebutkan di dalam Al-Quran ialah:

 

Bertaqwalah kepada Allah swt sekadar yang kita mampu

Taqwa merupakan satu elemen yang amat penting dalam kehidupan seorang Muslim yang benar-benar berjaya. Jika kita ingat kembali semasa kita bersekolah di asrama, kita sentiasa dikawal oleh warden atau pun guru disiplin, maka sudah pasti kehidupan kita lebih terjaga dalam mengikut disiplin yang telah ditetapkan, begitu jugalah dengan konsep Taqwa dalam kehidupan seorang Muslim, kehidupannya sentiasa dilingkungi oleh disiplin iaitu dengan melakukan segala suruhan Allah swt dan meninggalkan segala larangannya.

 

Menegah dari perbuatan yang menyekutukan Allah swt dalam semua perkara

Kita semua tahu bahawa dosa syirik tiada keampunan kepada pelakunya. Tetapi dalam kita tidak sedar bahawa perbuatan dan percakapan kita telah menjerumuskan kita ke dalam banyak perkara yang membawa syirik. Maka itulah pentingnya disiplin ilmu dalam kehidupan supaya dapat  menegah diri kita daripada menyekutukan Allah swt. Adakah kita tidak risau jika kita beramal kuat pagi dan petang, tetapi di hadapan Allah swt kelak kita muflis? Fikir-fikirkan.

 

Berbuat baik serta mengikut suruhan Ibu bapa dalam mentaati perintah Allah swt di dalam semua perkara

Ibu bapa adalah orang sangat berjasa kepada kita semua walaupun seburuk mana pun mereka apatah lagi yang baik. Kalaulah kita dapat lihat balik bagaimana mereka membanting tulang empat kerat mereka semata-mata untuk melihat kita dewasa dengan sempurna, tak terdaya kita hendak menafikan pengorbanan mereka yang tidak ada tolak bandingnya. Tetapi adakah kita sedar yang kita telah banyak melukakan hati mereka? Jika kita sakit, merekalah yang paling tidak lalu makan, tetapi berapa banyak daripada kalangan kita yang sedar tentang hakikat ini.

 

Mencegah daripada perbuatan keji sama ada yang zahir mahupun yang batin

Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah:195)

 

Di dalam ayat ini Allah menyuruh kita supaya menjaga diri kita sebaik mungkin sama ada dalaman mahupun luaran, kerana kita perlu sedar bahawa semua yang ada pada kita merupakan barang amanah dan akan disoal oleh Allah swt satu persatu ke mana kita manfaatkan diri ini.

Contoh lain, dalam konsep pinjam meminjam juga begitu, jika kita meminjam suatu barangan, sudah pasti kita akan menjaganya dengan baik kerana pemberi pinjam pasti hendak barangnya juga dalam keadaan baik seperti pada waktu mula-mula pinjam. Begitu juga Allah swt yang telah memberi kita pinjam diri ini dalam keadaan yang baik, maka kita perlu pulangkannya juga dalam keadaan yang baik.

 

Mencegah dari mencampakkan diri ke dalam lembah kebinasaan

Jika kita amati insan-insan yang tidak menjadikan Al-Quran sebagai satu sistem cara hidup, sudah pasti mereka dengan sewenang-wenangnya melakukan perkara yang tidak mendatangkan manfaat buat diri seperti menghisap dadah, merokok, menunggang arak, dan selain daripadanya. Semuanya itu menjurus kepada kebinasaan diri sendiri, tambahan lagi yang bunuh diri akibat gagal dalam peperiksaan, putus cinta atau sebagainya. Semua ini berlaku kerana tidak sedar tentang hakikat barang pinjaman yang diberikan Allah swt kepada kita.

 

Mencegah daripada memakan harta anak-anak yatim

Kalau difikirkan ada logiknya Allah swt menekankan sangat mengenai hukum orang yang memakan harta anak-anak yatim dengan hukuman yang sangat keras di dalam Al-Quran dan hadis nabi saw. Jika kita hendak bandingkan diri kita dengan mereka yang tiada ibu bapa adalah sangat jauh sebenarnya, mereka lebih terseksa jiwa dan perasaannya berbanding kita akibat tekanan kurangnya kasih sayang, apatah lagi jika kita tambah lagi kesengsaraannya dengan mengambil hartanya, ia akan menambahkan lagi penderitaan kepada anak-anak yatim.

 

Bersikap jujur dalam perniagaan seperti ukuran dan timbangan terhadap sesuatu barangan

Inilah sikap yang paling indah yang ada pada Islam, sikap inilah yang membawa ajaran Islam kepada masyarakat Melayu jika kita lihat kembali kepada sejarah. Masyarakat bukan Islam semasa itu seolah-olah terpukau dengan kejujuran yang ada pada pedagang-pedagang Islam semasa menjalankan aktiviti perniagaan. Perniagaan mereka maju, diyakini dan boleh dipercayai oleh semua orang akibat sangkaan yang baik terhadap pedagang-pedagang tersebut. Inilah sikap-sikap terpuji yang perlu ada pada kita sekarang seperti bersikap jujur, amanah, berusaha dengan diri sendiri, tidak menipu dan pelbagai lagi.

 

Tetapi yang sedihnya pada hari ini, sikap-sikap yang terpuji ini sudah terhakis daripada jiwa masyarakat Islam, lihatlah buktinya yang ada di hadapan mata kita semua, paling banyak melakukan rasuah adalah dari kalangan orang Islam yang tidak mengamalkan Islam, paling banyak melakukan pecah amanah juga dari kalangan orang Islam yang tidak mengamalkan Islam, tidak ketinggalan juga yang menipu dalam urusan perniagaan.

 

Jujur dalam percakapan dan perbuatan

Firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Al-Ahzab:71)

Di sini kalau kita perhatikan secara telus bahawa Allah swt telah menjamin kejayaan bagi orang yang berkata jujur di dalam setiap  percakapannya. Hal ini kita boleh lihat buktinya di sekeliling kita, contoh mudah yang saya boleh berikan ialah apabila kita bersikap jujur sesama pasangan kita, atau pun sesama keluarga kita, sesama kawan-kawan kita, dan semua orang, maka balasannya adalah kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan. Kita tidak akan berjaya dan bahagia apabila kita tidak bersikap jujur. Percayalah.

 

Percaya dan yakin dengan janji Allah swt

Di sini kita perlu menggunakan konsep percaya untuk berjaya. Jika kita beriman dan meyakini bahawa Allah swt sahajalah yang maha bijaksana dalam semua perkara, maka kita tidak perlu beralasan lagi untuk mengikut apa sahaja yang Allah swt suruh. Sebenarnya, Jika kita lihat tentang janji Allah swt di dalam al-Quran adalah terlalu banyak, buat ini dan ini balasannya adalah ketenangan, kebahagiaan, kejayaan, dan pelbagai lagi, tetapi kita masih lagi bertangguh-tangguh dan mewujudkan sejuta alasan untuk melaksanakannya.

 

Kita cuba bayangkan semasa berlakunya dialog antara nabi saw dan para sahabat dalam peperangan Khandaq, kita bayangkanlah sewaktu itu umat Islam berada dalam keadaan yang sangat kritikal yang mana pihak musuh mengepung Madinah di pelbagai sudut, harapan penduduk Madinah pada waktu itu sangat tipis dan hampir putus asa di saat genting itu. Tetapi apa yang diperkatakan oleh Rasulullah saw bahawa kota Kostantinopel akan jatuh ke tangan orang Islam kelak. Ya Allah! Bagaimana para sahabat beriman dengan kata-kata tersebut sehingga membawa kejayaan yang amat besar pada umat Islam. Inilah kuasa akidah yang wajib diimani oleh umat Islam.

 

Berwasiat agar sentiasa beringat tentang kehadiran maut/ kematian

Mati itu pasti bagi setiap yang bernyawa. Walaupun ungkapan ini sering kita dengar, tetapi apakah persediaan amal kita ke arah itu? Mungkin kita akan berasa bahawa kematian itu lambat lagi daripada kita, tetapi perasaan itulah yang memerangkap kita ke lembah kebinasaan dengan hanya persepsi negatif yang sangat singkat itu.

“Firman Allah swt yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Al-A’raf:34)

 

Berwasiat agar beringat-ingat dengan kesabaran dan kasih sayang

Di sini kita perlu tahu bahawa Allah swt menyuruh kita agar sentiasa bersabar dalam semua keadaan, saya boleh katakan bahawa sabar adalah kunci kepada kasih sayang. Perhatikan, kalaulah kita tidak bersabar di dalam hidup ini, susah pasti banyak persengketaan, pergaduhan, kezaliman serta bermacam-macam lagi. Contoh yang saya boleh berikan apabila kita berada sesama keluarga, ketika mana kita bersama-sama dengan adik-beradik kita, maka sudah pasti sifat beralah dan sabar perlu menebal di dalam diri tambahan lagi jika kita anak yang sulung, maka sudah pasti kita perlu lebih banyak beralah dalam banyak perkara. Begitulah motivasi yang Allah berikan kepada kita semua, seremeh-remeh perkara yang dianggap oleh segelintir manusia tetapi sebenarnya ada kaitan yang sangat besar dalam menjaga keharmonian sesama manusia.

 

Berwasiat tentang kebenaran

Ini adalah kemuncak suruhan yang ada di dalam Al-Quran iaitu menyuruh manusia agar sentiasa dahagakan kebenaran. Umat Islam akan lebih banyak mencapai kejayaan jika kebenaran dijadikan elemen yang paling utama dalam kehidupannya. Kebenaran adalah suatu yang sukar sebenarnya untuk diterjemahkan kerana ia memerlukan usaha yang sangat keras daripada kita semua, tetapi malangnya umat Islam sendiri tidak berusaha untuk menyerlahkan kebenaran berbanding kepalsuan yang bermaharajalela di sana sini. Cukup sahajalah saya kata kan dari segi ilmu, umat Islam masih lagi jauh ke belakang walaupun mukjizat al-quran dan hadis sudah banyak membuktikan  kebenarannya. Masih lagi ditakuk yang lama, mempercayai khurafat, malas berusaha, dan sebagainya.

Bukankah lebih bagus jika kita praktikkan Sunnatullah dan Syariatullah sebagai asas kehidupan.

 

Kesimpulan

Jika kita menghayati satu persatu ayat daripada ayat Al-Quran, sebenarnya semua itu adalah wasiat kepada kita sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah swt seperti menyuruh belajar bersungguh-sungguh, menjadikan sejarah sebagai I’tibar, tidak membuang masa dan pelbagai lagi. Tetapi saya hanya mengambil tajuk-tajuk terpenting daripada Al-Quran seperti di atas supaya menjadi inspirasi buat kita semua. Sebenarnya isi Al-Quran membawa keamanan dan kejayaan kepada kita semua jika kita mengamalkannya dengan ikhlas, hanya kerana kita meninggalkan wasiat atau nasihat yang ada di dalam al-Quran, sebab itulah yang membuatkan diri kita hilang arah dan punca.

Oleh itu, sukanya saya di sini untuk menasihati diri saya dan para sahabat sekalian supaya kita mengikuti apa-apa sahaja nasihat yang ada di dalam Al-Quran dengan mengamalkan apa yang kita baca daripadanya.

Ianya tidak berat, melainkan hanya untuk orang-orang yang zalim.

 

This entry was posted in Dakwah & Motivasi on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>