islamic9

Nabi SAW Menangkis Dakwaan Buruk Terhadap Para Sahabat

 

Terdapat banyak sumber hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan para sahabat, tetapi kerana ruangan yang agak terbatas. Cukuplah di sini disebutkan beberapa hadis sahih mengenai sahabat Nabi SAW. Antaranya ialah:

 

Pertama: Ketinggian Ganjaran Untuk Para Sahabat

Nabi SAW bersabda:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم : لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ ، وَلاَ نَصِيفَهُ.

Maksudnya:

“Daripada Abu Sa’id al-Khudri, katanya: Bersabda Nabi SAW: “Jangan kamu mencerca para sahabatku. Sesungguhnya jika ada di kalangan kamu membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud sekalipun, ia tidak mencapai (nilai) secupak (makanan) atau setengahnya yang dibelanja oleh mereka.” (Riwayat Bukhari, No 3673, dan Muslim, No 6651)

Dalam hadis ini Nabi SAW menggambarkan betapa tingginya kedudukan para sahabat di sisi Allah SWT, sehinggakan nilai secupak yang dibelanjakan oleh mereka pada jalan Allah adalah lebih mulia di sisi Allah daripada emas sebesar Bukit Uhud dibelanjakan oleh sesiapa yang selepas mereka.

Hadis ini jelas membuktikan kelebihan dan keutamaan para sahabat jika dibandingkan orang-orang selepas mereka. (Ibnu Hajar al-Asqolani, Fath al-Bari, jil. 7, hlm. 387)

 

Kedua: Para Sahabat Penyelamat Umat

Nabi SAW bersabda:

عَنْ أَبِى بُرْدَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ صَلَّيْنَا الْمَغْرِبَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ قُلْنَا لَوْ جَلَسْنَا حَتَّى نُصَلِّىَ مَعَهُ الْعِشَاءَقَالَفَجَلَسْنَا فَخَرَجَ عَلَيْنَا فَقَالَ « مَا زِلْتُمْ هَا هُنَا ». قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّيْنَا مَعَكَ الْمَغْرِبَ ثُمَّ قُلْنَا نَجْلِسُ حَتَّى نُصَلِّىَ مَعَكَ الْعِشَاءَ قَالَ « أَحْسَنْتُمْ أَوْ أَصَبْتُمْ ». قَالَ فَرَفَعَ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ وَكَانَ كَثِيرًا مِمَّا يَرْفَعُ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ « النُّجُومُ أَمَنَةٌ لِلسَّمَاءِ فَإِذَا ذَهَبَتِ النُّجُومُ أَتَى السَّمَاءَ مَا تُوعَدُ وَأَنَا أَمَنَةٌ لأَصْحَابِى فَإِذَا ذَهَبْتُ أَتَى أَصْحَابِى مَا يُوعَدُونَ وَأَصْحَابِى أَمَنَةٌ لأُمَّتِى فَإِذَا ذَهَبَ أَصْحَابِى أَتَى أُمَّتِى مَا يُوعَدُونَ

Maksudnya:

“Daripada Abi Burdah, daripada ayahnya (Abu Musa al-Asya’ari) dia berkata: “Kami telah menunaikan solat maghrib bersama dengan Rasulullah SAW. Kemudian kami berkata: “Apa kata kalau kita tunggu sehingga kita dapat solat isyak bersama-sama Baginda.” Maka kami tunggu sehingga Baginda menemui kami lalu bersabda: “Kamu semua masih di sini?” Jawab kami: “Wahai Rasulullah! Kami telah menunaikan solat maghrib bersama-sama kamu. Kemudian kami berkata: ‘Mari kita duduk sehingga kita dapat bersolat Isyak bersamamu’.” Sabda Baginda: “Kamu semua telah melakukan sesuatu yang baik lagi betul.” Kemudian Baginda mengangkat kepalanya mendongak ke langit dan diikuti oleh para sahabat yang lain, lalu Baginda bersabda: “Bintang tersebut adalah penyelamat langit. Apabila perginya bintang tersebut, maka akan didatangilah langit apa yang telah dijanjikan untuknya. Aku adalah penyelamat bagi sahabatku. Apabila aku telah pergi maka akan didatangilah sahabatku apa yang telah dijanjikan untuk mereka. Sahabatku pula adalah penyelamat umatku. Apabila perginya sahabatku, maka akan didatangilah umatku apa yang dijanjikan untuk mereka.” (Riwayat Muslim, No 6629)

 

Maksud ungkapan “sahabatku adalah penyelamat umatku” ialah mereka menyelamatkan umat daripada berlakunya bid’ah, fitnah, zahirnya syaitan, Rum dan lain-lain. (Lihat: An-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, jil. 16, hlm. 66)

Hadis di atas jelas menggambarkan keutamaan para sahabat kerana mereka adalah penyelamat umat. Kemunculan mereka adalah untuk memandu umat ini kepada jalan yang benar mengikut kehendak Allah dan Rasulnya. Tidak mungkin akan berlaku penyelewengan di antara mereka setelah Nabi SAW memberi jaminan.

 

Ketiga: Kelahiran Sahabat Membawa Keberkatan

Sabda Nabi SAW:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لا تَزَالُونَ بِخَيْرٍ مَا دَامَ فِيكُمْ مَنْ رَآنِي وَصَاحَبَنِي وَاللَّهِ لا تَزَالُونَ بِخَيْرٍ مَا دَامَ فِيكُمْ مَنْ رَأَى مَنْ رَآنِي وَصَاحَبَ مَنْ صَاحَبَنِي وَاللَّهِ لا تَزَالُونَ بِخَيْرٍ مَا دَامَ فِيكُمْ مَنْ رَأَى مَنْ رَأَى مَنْ رَآنِي وَصَاحَبَ مَنْ صَاحَبَ مَنْ صَاحَبَنِي

 

Maksudnya:

“Kamu semua akan sentiasa dalam kebaikan selagi adanya bersama kamu sesiapa yang penah melihatku dan bersahabat denganku. Demi Allah kamu semua sentiasa dalam kebaikan selagi ada bersama kamu sesiapa yang melihat orang yang pernah melihatku dan bersahabat denganku.” (Imam al-Tabrani, al-Mu’jam al-Kabir, Ibnu Abi ‘Asim dalam al-Sunah, Ibnu Abi Syabah dalam Musnafnya, kata Ibnu Hajar al-Asqolani: “Sanadnya Hasan” (Fath al-Bari, jil. 7, hlm. 351)

 

Dalam hadis yang lain pula Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ فَيَقُولُونَ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُونَ نَعَمْ فَيُفْتَحُ لَهُمْ ثُمَّ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ فَيُقَالُ هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ أَصْحَابَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُونَ نَعَمْ فَيُفْتَحُ لَهُمْ ثُمَّ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ فَيُقَالُ هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ مَنْ صَاحَبَ أَصْحَابَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُونَ نَعَمْ فَيُفْتَحُ لَهُمْ.

 

Maksudnya:

“Akan datang kepada manusia suatu zaman, segolongan manusia berperang lalu mereka berkata: “Adakah ada di kalangan kamu sesiapa yang bersahabat dengan Rasulullah?” Maka dikatakan kepada mereka: “Ya!” Lalu dibuka bagi mereka (bumi untuk ditakluki). Kemudian datang pula kepada manusia suatu zaman, segolongan manusia berperang lalu mereka berkata: “Adakah ada di kalangan kamu sesiapa yang bersahabat dengan sahabat Rasulullah?” Mereka menjawab: “Ya!” Lalu dibuka bagi mereka (bumi untuk ditakluki). Kemudian datang kepada manusia suatu zaman, segolongan manusia berperang lalu mereka berkata: “Adakah ada di kalangan kamu sesiapa yang bersahabat dengan orang yang bersahabat dengan sahabat Rasulullah.” Lalu dijawab: “Ya!” Maka dibuka bagi mereka (bumi untuk ditakluki).

 

Hadis ini membuktikan keutamaan para sahabat kesemuanya, sehinggakan dibuka bumi dan negeri kepada tentera yang berperang disebabkan adanya sahabat Nabi yang menyertai mereka dalam peperangan. Ini membuktikan, keberkatan penyertaan mereka kerana berkatnya orang yang ada hubung kait dengan para sahabat, lalu Allah turunkan kemenangan ke atas mereka. Ini adalah keutamaan dan kemuliaan mereka kerana mereka memiliki niat yang bersih, tulus, bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam menyebarkan dakwah Islamiyah.

Di samping itu, hadis ini juga menunjukkan bahawa kelebihan dan kemuliaan bagi sesiapa yang bersahabat dengan para sahabat baginda. (Lihat: Al-Kubaysi, Sahabah al-Rasul, hlm. 62)

 

Keempat: Para Sahabat Adalah Generasi Terbaik

Para sahabat telah bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Siapakah antara golongan manusia yang paling baik?” Jawab Baginda:

قَرْنِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَبْدُرُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَتَبْدُرُ يَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

Maksudnya:

“Mereka yang ada pada kurunku, kemudian mereka datang yang selepas itu, kemudian mereka yang datang selepas itu. Kemudian datang satu kaum yang mana penyaksian seseorang mereka mendahului sumpahnya dan sumpah mendahului penyaksiannya. (Riwayat Bukhari 2652, No , Muslim, No 6633)

Berdasarkan hadis ini, para ulama telah sepakat bahawa generasi yang paling baik yang pernah wujud dalam sejarah ialah generasi Nabi SAW iaitu para sahabat Baginda. (Lihat: Al-Nawawi, Sayarah Sahih Muslim, jil. 16, hlm. 66). Sejurus itu mereka digelar sebagai “Generasi al-Quran yang unik”.

Kenyataan daripada Nabi ini telah menafikan dakwaan golongan Syiah yang menganggap bahawa kesemua sahabat selain ahl al-Bayt adalah murtad selepas kewafatan Nabi melainkan tiga orang sahaja iaitu al-Miqdad abnu al-Aswad, Abu Zhar al-Ghiffari, dan Salman al-Farisi. Perkara ini telah disebutkan di dalam kitab utama mereka seperti kitab Furu’ al-Kafi dan al-Rawdhah. (Lihat: Muhammad Manzur Nu’mani, al-Thawrah al-Iraniyah fi Mizan al-Islam, hlm. 179)

Jika perkara ini benar-benar berlaku,  adalah mustahil untuk Nabi SAW mengiktiraf generasi Baginda sebaik-baik generasi, sebaliknya ia sebagai seburuk-buruk generasi, sedangkan para sahabat ramai bersama Nabi SAW ketika itu. Ternyata dakwaan tersebut adalah palsu dan dusta.

Hadis-hadis yang dikemukakan ini adalah sebahagian kecil daripada jumlah hadis yang begitu banyak menyebut tentang fadhilat-fadhilat serta keistimewaan para sahabat secara umum di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya. Di samping itu, terdapat banyak juga hadis-hadis yang menceritakan secara khusus mengenai sahabat-sahabat tertentu. Moga Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang bersangka buruk terhadap para sahabat yang mana ia dicintai Allah dan Rasul. Orang yang beriman akan mencintai sesiapa yang dicintai oleh Allah dan Rasul, serta membenci sesiapa yang dibenci oleh Allah dan Rasul.

 

Kelima: Rasulullah Mendoakan Keampunan Buat Muhajirin Dan Ansar

Daripada Sahl Ibnu Sa’d, katanya:

جَاءَنَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَحْفِرُ الْخَنْدَقَ وَنَنْقُلُ التُّرَابَ عَلَى أَكْتَادِنَا ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم اللَّهُمَّ لاَ عَيْشَ إِلاَّ عَيْشُ الآخِرَهْ فَاغْفِرْ لِلْمُهَاجِرِينَ وَالأَنْصَارِ.

Maksudnya:

Rasulullah SAW telah datang kepada kami, pada masa itu kami sedang menggali kubu al-Khandaq dan kami mengangkut pasir di belakang kami. Maka baginda pun bersabda: “Ya Allah! Tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat, maka ampunilah golongan Muhajirin dan Ansar.” (Riwayat Bukhari, No 3797, Muslim, No 4773)

Hadis ini telah memberikan fadhilat yang tinggi khusus untuk golongan Ansar dan Muhajirin apabila Nabi SAW sendiri mendoakan keampunan bagi mereka.

 

Keenam: Kecintaan Kepada Ansar Adalah Tuntutan Iman

Daripada al-Bara’ Ibnu Azib, katanya:

سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم الأَنْصَارُ لاَ يُحِبُّهُمْ إِلاَّ مُؤْمِنٌ ، وَلاَ يُبْغِضُهُمْ إِلاَّ مُنَافِقٌ فَمَنْ أَحَبَّهُمْ أَحَبَّهُ اللَّهُ ، وَمَنْ أَبْغَضَهُمْ أَبْغَضَهُ اللَّهُ.

 

Maksudnya:

“Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Tidak mencintai golongan Ansar melainkan Mukmin dan tidak pula yang membenci mereka melainkan Munafik. Sesiapa yang mencintai mereka, mak Allah mencintainya. Sesiapa yang membenci mereka, maka Allah membencinya.” (Riwayat Bukhari, No 3783, Muslim, No 246)

 

Hadis ini telah membuktikan secara jelas dan tegas bahawa sesiapa yang tidak mencintai sahabat dari golongan Ansar, dia adalah munafik serta Allah benci kepadanya. Apatah lagi yang mencerca dan menghina golongan Ansar seperti golongan Syiah dan Anti hadis, maka hukuman ke atas mereka telah disebut oleh Nabi SAW di dalam hadis ini. Jangan kita terpedaya dengan orang yang ingin wujudkan permusuhan antara kita dengan sahabat yang jelas Allah dan Rasul mencintai mereka.

 

Ketujuh: Keampunan Buah Ahli Bai’ah al-Ridhwan

Daripada Jabir Ibnu Abdullah, katanya:

أَخْبَرَتْنِى أُمُّ مُبَشِّرٍ أَنَّهَا سَمِعَتِ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ عِنْدَ حَفْصَةَ « لاَ يَدْخُلُ النَّارَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنْ أَصْحَابِ الشَّجَرَةِ أَحَدٌ. الَّذِينَ بَايَعُوا تَحْتَهَا

Maksudnya:

“Umm Mubasysyir telah memberitahu kepadaku bahawa dia telah mendengar Nabi SAW berkata –ketika itu baginda berada di samping Hafsah: “Tidak akan masuk ke dalam neraka –Insyaallah – sesiapa daripada kalangan Ashab al-Syajar (para sahabat di bawah pokok iaitu Bai’ah al-Ridhwan) yang berbaia’h di bawahnya.” (Riwayat Muslim, No 6560)

 

Hadis ini telah menyebabkan ulama menyatakan bahawa anggota Bai’ah al-Ridhwan secara pasti tidak akan masuk neraka. Adapun perkataan Insyaallah yang disebut di dalam hadis bukanlah kerana syak, tetapi untuk tabaruk iaitu mengambil berkat. (Lihat: An-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, jil. 16, hlm. 47).

Jumlah sahabat dalam peristiwa tersebut ialah seribu empat ratus seperti yang dinyatakan dalam riwayat yang dikemukakan sebelum ini.

 

Kelapan: Kelebihan Dan Keistimewaan Ahli Badar (sahabat yang terlibat dalam peperangan badar)

Daripada Ali Ibnu Abi Talib, katanya:

فَأَدْرَكْنَاهَا تَسِيرُ عَلَى بَعِيرٍ لَهَا حَيْثُ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : فَقُلْنَا الْكِتَابُ فَقَالَتْ مَا مَعَنَا كِتَابٌ فَأَنَخْنَاهَا فَالْتَمَسْنَا فَلَمْ نَرَ كِتَابًا فَقُلْنَا مَا كَذَبَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم لَتُخْرِجِنَّ الْكِتَابَ ، أَوْ لَنُجَرِّدَنَّكِ فَلَمَّا رَأَتِ الْجِدَّ أَهْوَتْ إِلَى حُجْزَتِهَا وَهْيَ مُحْتَجِزَةٌ بِكِسَاءٍ فَأَخْرَجَتْهُ فَانْطَلَقْنَا بِهَا إِلَى رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ عُمَرُ يَا رَسُولَ اللهِ قَدْ خَانَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالْمُؤْمِنِينَ فَدَعْنِي فَلأَضْرِبْ عُنُقَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مَا حَمَلَكَ عَلَى مَا صَنَعْتَ قَالَ حَاطِبٌ وَاللَّهِ مَا بِي أَنْ لاَ أَكُونَ مُؤْمِنًا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ صلى الله عليه وسلم أَرَدْتُ أَنْ يَكُونَ لِي عِنْدَ الْقَوْمِ يَدٌ يَدْفَعُ اللَّهُ بِهَا عَنْ أَهْلِي وَمَالِي وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْ أَصْحَابِكَ إِلاَّ لَهُ هُنَاكَ مِنْ عَشِيرَتِهِ مَنْ يَدْفَعُ اللَّهُ بِهِ عَنْ أَهْلِهِ وَمَالِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم صَدَقَ ، وَلاَ تَقُولُوا لَهُ إِلاَّ خَيْرًا فَقَالَ عُمَرُ إِنَّهُ قَدْ خَانَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالْمُؤْمِنِينَ فَدَعْنِي فَلأَضْرِبَ عُنُقَهُ فَقَالَ أَلَيْسَ مِنْ أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ لَعَلَّ اللَّهَ اطَّلَعَ إِلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمُ الْجَنَّةُ ، أَوْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ فَدَمَعَتْ عَيْنَا عُمَرَ وَقَالَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ.

 

Maksudnya:

“Rasulullah SAW telah mengutuskan aku, Abu Marthad dan al-Zubayr – kami semua adalah penunggang kuda. Baginda bersabda: “Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudhah Khakh, sesungguhnya di sana ada seorang perempuan daripada kalangan Musyrikin, bersamanya surat dari Hatib Ibnu Abi Batta’ah kepada Musyrikin.” Maka kami pun mendapatinya, dia menaiki unta seperti yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Kami berkata kepadanya: “Surat!” Dia menjawab: “Tidak ada bersama-sama kami sebarang surat.” Maka kami pun menyuruh dia duduk dan memeriksanya. Namun, kami tidak menemui sebarang surat pun. Kami berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!” Apabila dia melihat kesungguhan kami, maka dia pun terus ke bungkusannya yang diselubungi dengan kain dan mengeluarkan surat tersebut. Lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah SAW. Kata Umar: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dia (Hatib Ibnu Abi Balta’ah) telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin. Biarkan aku pancung kepalanya!” Baginda bersabda kepada Hatib: “Apakah yang mendorong kamu bertindak sedemikian?” Jawab Hatib: “Demi Allah! Bukan aku tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya SAW, tetapi aku ingin mendapat bantuan di sisi kaum (Qurays) yang melalui Allah akan menyelamatkan keluargaku dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu melainkan baginya di sana kaum kerabat yang dengannya Allah selamatkan keluarga dan hartanya.” Sabda Baginda: “Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik.” Umar berkata: “Dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang Mukmin, biarkan aku pancung kepalanya.” Baginda bersabda: “Tidakkah dia di kalangan anggota perang Badar?” Sabdanya lagi: “Mudah-mudahan Allah melihat kepada ahli perang Badar dan berfirman: Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau aku telah ampuni kamu semua.” Maka menangislah Umar lalu berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” (Riwayat Bukhari, No 3983)

 

Walaupun dalam hadis di atas digunakan perkataan “mudah-mudahan Allah melihat”, tetapi para ulama mengatakan al-tarajji (harapan) dalam perkataan Allah dan Rasul-Nya yang bermaksud sesuatu yang pasti berlaku. (Ibnu Hajar al-Asqolani, Fath al-Bari, jil. 8 , hlm, 37).

Perlu juga kita ketahui bahawa peristiwa ini berlaku selepas enam tahun peperangan Badar. Ini menunjukkan janji keampunan tersebut ialah untuk masa yang akan datang, bukan sekadar pada hari Badar. Adapun lafaz madhi (past tense) pada perkataan غَفَرْتُ (aku telah ampunkan) adalah bagi menunjukkan suatu keampunan yang benar-benar terjadi. (Fath al-Bari, jil. 8, hlm. 37).

Imam Bukhari telah memuatkan hadis ini di dalam bab “Kelebihan Sesiapa Yang Menyertai Peperangan Badar”, tajuk ini bagi menggambarkan betapa istimewanya para sahabat yang menyertai peperangan Badar yang merupakan peperangan pertama di dalam Islam. Peperangan yang disertai oleh kaum Muslimin yang amat sedikit bilangannya. Bukan itu sahaja, peralatan perangnya juga sikit dan sederhana berbanding senjata pihak musuh yang canggih lagi mewah. Namun, hebatnya para sahabat ini, cekalnya hati dan jiwa mereka, mereka bersama-sama nabi SAW menempuhinya, kerana keimanan mereka yang tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah. Oleh itu, mereka berhak mendapat kurniaan yang besar ini.

Beberapa hadis yang dikemukakan di atas membincangkan kelebihan umum dan khusus buat para sahabat. Di samping itu, terdapat juga hadis yang menyebut tentang kelebihan khusus untuk individu tertentu di kalangan sahabat. Malah hadis yang memperuntukkan fadhilat khusus untuk sahabat tertentu itu terlalu banyak.

Oleh sebab itu, Imam Bukhari sendiri memperuntukkan satu tajuk khusus di dalam sahihnya yang dinamakan sebagai Fadhail Ashab al-Nabi (kelebihan para sahabat Nabi). Demikian juga di dalam sahih Bukhari sebuah tajuk dinamakan Manaqib al-Sahabah (sifat-sifat terpuji golongan Ansar) yang kebanyakan topik di dalamnya menceritakan keistimewaan para sahabat tertentu. Manakala di dalam sahih Muslim ada satu bab dinamakan Fadhail al-Sahabah (kelebihan-kelebihan para sahabat Nabi SAW). Begitulah juga kebanyakan kitab hadis yang lain.

Apa yang hendak ditegaskan di sini, Rasulullah SAW telah menempatkan para sahabat pada satu kedudukan yang tidak dapat dicapai oleh umat selepas mereka. Kemuliaan mereka ada jaminan daripada Nabi SAW sendiri. Mereka diberi pujian dan kedudukan yang tinggi di sisi agama. Di samping itu ada pula keistimewaan yang begitu banyak dikurniakan khusus untuk golongan atau individu tertentu daripada kalangan mereka.

This entry was posted in Ulum Al-Quran & Hadis on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>