Islamic-wallpaper-islam-6370757-1024-768

Perbahasan Ilmiyah : Riwayat Hidup Ibnu Taymiyyah Dan Suasana Kehidupannya

 

Riwayat Hidup Ibnu Taymiyyah dan Suasana Semasa

(661H-728H/1263M-1328M)

 

RIWAYAT HIDUP

Pengenalan:

Di dalam sejarah pemikiran Islam, perselisihan dan percakaran di antara golongan Mutakallimun (ahli Kalam) dengan Falasifah (ahli Falsafah) berhubung isu-isu agama telah mewarnai ketamadunan Islam. Para sarjana Islam seperti:  Ibn Hazm (457H/1064M), Al-Ghazali (505H/1111M), Ibn Taymiyyah (729H/1328M), Ibn Qayyim Al-Jawziyyah (751H/11350M) dan beberapa orang lagi adalah antara yang terkenal kerana serangan dan kritikan mereka ke atas falsafah.

Ibn Taymiyyah adalah seorang tokoh yang telah muncul pada abad ketiga belas dan empat belas. Beliau telah membawa suatu pemikiran yang sering dan masih dikaji hingga kini oleh sarjana moden samada di kalangan orientalis mahupun Islam. Di antara kajian yang dilakukan ke atas beliau ialah tentang pemikirannya menerusi kritikan-kritikannya terhadap golongan Falsafah.

Bagi mengenali perjuangan dan pemikiran beliau maka sangat wajarlah untuk dihayati dulu latar belakang keluarga, pendidikan dan suasana yang membentuk peribadinya. Untuk itu sebenarnya telah ada puluhan karya dan kajian yang memaparkan perkara-perkara tersebut.  Riwayat hidup beliau telah dicatat oleh ramai penulis di dalam berbagai bahasa, samada ianya buku sejarah atau buku tentang mazhab Hanbali ataupun buku yang khusus membicarakan tentangnya. Di antara catatan yang paling utama tentang beliau ialah Al-Bidayah wa Al-Nihayah yang dikarang oleh Al-Hafiz ‘Imad Al-Din Ibn Kathir (774H), Tadhkirat Al-Huffaz karangan Al-Hafiz Syams Al-Din Al-Dhahabi (748H), Al-‘Uqud Al-Durriyyah fi Manaqib Syeikh Al-Islam Ahmad Ibn Taymiyyah  oleh Al-Hafiz Ibn ‘Abd Al-Hadi, Dhayl Tabaqat Al-Hanabilah oleh Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali, seterusnya karangan Al-Hafiz Al-Bazzar bertajuk: Al-A‘lam Al-‘Aliyyah fi Manaqib Ibn Taymiyyah, karangan Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani iaitu: Al-Durar Al-Kaminah fi A‘yan Al-Mi’ah Al-Thaminah, karangan Al-Syawkani bertajuk: Al-Badr Al-Tali‘ fi Tarajim ‘Ulama Al-Qarn Al-Tasi‘ dan banyak lagi karya para sarjana Islam lain.

 

Latar Belakang Peribadi:

a) Kelahiran:

Al-Imam Taqiy Al-Din Abu Al-‘Abbas Ahmad Bin ‘Abd Al-Halim Bin ‘Abd Al-Salam Bin ‘Abd Allah yang terkenal dengan gelaran Ibn Taymiyyah Al-Harrani Al-Dimasyqi Al-Hanbali telah dilahirkan pada hari Isnin 10 Rabi‘ Al-Awwal 661 Hijrah bersamaan 22 Januari 1263. Terdapat tarikh lain yang disebutkan oleh para sarjana sejarah,  tetapi ini adalah pendapat yang paling kukuh.[1]

Kota Harran tempat kelahiran Ibn Taymiyyah terletak di tengah perjalanan menuju ke Mosul (Iraq), Syam dan Turki di antara sungai Dajlah dan sungai Furat.[2] Ia merupakan pusat perkembangan pelbagai jenis ilmu dan tamadun. Selain itu, ia juga pernah menjadi pusat gerakan keagamaan dan keilmuan golongan Sabi’ah[3], sepertimana yang tersebut di dalam kitab-kitab Falsafah. Secara khusus ia terkenal kerana sering dikaitkan dengan ilmu Falsafah dan ilmu-ilmu Yunani.[4] Selepas itu ia bertukar menjadi tempat berkembangnya mazhab Hanbali hasil usaha yang dilakukan oleh nenek moyang Ibn Taymiyyah.

Pada usianya enam tahun, beliau telah mengikut bapanya berhijrah ke kota Damsyiq bersama dua orang adiknya demi menyelamatkan diri dari kekejaman Tartar[5]. Damsyiq ketika itu adalah salah satu ibu kota kerajaan Mamluki selain daripada Kaherah. Justeru itu, tidak hairanlah kedua-dua kota ini menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan tamadun di zaman itu.

 

b) Keperibadian:

Beliau sangat mencintai kebenaran dan menghargai ilmu pengetahuan; lantaran itu, tidak hairanlah beliau mampu menulis di dalam banyak cabang ilmu Islam. Beliau juga telah dianugerahkan oleh Allah daya ingatan yang kuat, kecerdasan pemikiran dan pandangan yang luas. Al-Dhahabi berkata:

“Beliau (Ibn Taymiyyah) memang layak untuk berijtihad kerana memiliki syarat-syarat untuk itu. Aku tidak pernah melihat seorang manusia yang begitu tangkas menyebut ayat-ayat Al-Quran sebagai dalil bagi masalah yang diutarakan kepadanya, seolah-olah hadith Nabi S.A.W berada di hadapan matanya dan di hujung lidahnya”[6].

 

Kebolehan dan penguasaannya terhadap ilmu itu menyebabkan beliau dapat mengajar di Dar Al-Hadith Al-Sukkariyyah dalam usia yang belum mencecah dua puluh dua tahun. Ini melahirkan kekaguman di kalangan orang ramai.

Selain memiliki keilmuan yang dihormati, Ibn Taymiyyah juga mempunyai sikap yang keras dan tegas serta sensitiviti yang tinggi terhadap sebarang penyelewengan. Ini memberi kesan kepada cara pergaulan beliau dengan golongan ulama lain dan pemerintah; menyebabkan dirinya terdedah kepada bahaya. Ramai ulama yang mengiktiraf daya keilmuannya, sungguhpun begitu ramai juga yang mengambil sikap memusuhinya bahkan ada yang berusaha menjatuhkannya. Beliau juga pernah berhadapan pemerintah Tartar yang cuba menakluki Syam, lalu mengkritik perbuatan tersebut dengan berani.[7]

Di sebalik ketegasannya itu, beliau terkenal juga sebagai seorang yang lemah lembut dan penyayang serta berbudi tinggi. Seorang yang wara‘, banyak melakukan solat dan berpuasa serta sering bermunajat kepada Allah S.W.T. Beliau sangat menjaga syariat Islam zahir dan batin serta zuhud dari kepentingan dunia. Beliau sering menyeru ke arah jihad dan tidak pernah mengambil walau satu dinar pun mahupun sehelai baju daripada pemerintah[8].

Ibn Taymiyyah juga terkenal sebagai seorang yang pemaaf dan tidak menyimpan dendam. Hal ini terbukti apabila beliau menolak tawaran pemerintah untuk menghukum para ulama yang melakukan konspirasi bagi menjatuh dan memusnahkannya. Ini jelas melalui perkataan Ibn Makhluf[9]:

“Kami tidak pernah melihat manusia seperti Ibn Taymiyyah, kami cuba memusnahkan beliau, tapi tidak mampu, beliau mampu memusnahkan kami tetapi memafkan kami bahkan berhujah mempertahankan kami”[10].

 

c) Pendidikan:

Ibn Taymiyyah telah mempelajari secara khusus ilmu Fiqh dan Usul daripada bapanya selain daripada ilmu-ilmu lain. Bapanya merupakan salah seorang pembesar ulama mazhab Hanbali di kota itu, juga seorang guru di Dar Al-Hadith Al-Sukkariyyah serta mempunyai kerusi khas untuk mengajar di Masjid Damsyiq.

Ibn Taymiyyah telah menuntut berbagai ilmu Islam dari beberapa orang sarjana terkenal di kota Damsyiq. Para sejarawan Islam meriwayatkan bahawa guru beliau berjumlah lebih daripada dua ratus orang sarjana[11].

Guru-guru beliau:[12]

Sekalipun mempunyai guru yang sebegitu ramai namun terdapat beberapa orang yang utama dan mempunyai pengaruh yang besar dalam dirinya. Di antaranya ialah:

1. ‘Ala Zayn Al-‘Abidin Ahmad Bin ‘Abd Al-Da’im Al-Maqdisi

2. Najm Al-Din Bin ‘Asakir

3. Jamal Al-Din Al-Sayrafi

4. Jamal Al-Din Al-Baghdadi

5. Zainab Binti Makki

Dilantik sebagai guru:[13]

Lantaran ketekunannya belajar, Ibn Taymiyyah telah menguasai begitu banyak cabang ilmu Islam seperti: Al-Quran, Al-Hadith, Aqidah, Fiqh dan Bahasa Arab. Beliau juga memiliki kebolehan di bidang Matematik, Fizik dan Falsafah. Beliau telah menamatkan pengajian formalnya sebelum berusia dua puluh tahun.

Bapanya telah meninggal dunia semasa beliau berusia dua puluh satu tahun. Sejak itu, beliau dilantik mengambil alih tugas dan tanggungjawab bapanya mengajar di Dar Al-Hadith dan di Masjid Damsyiq. Sungguhpun begitu, berbagai ujian hidup terpaksa beliau hadapi. Segala kesukaran ini membawanya mengembara ke kota-kota di antara Mesir dan Syam.

Murid-muridnya:[14]

Di mana sahaja Ibn Taymiyyah mengadakan majlis pengajian, ia pasti mendapat sambutan hangat daripada masyarakat. Pengembaraan beliau yang banyak itu juga turut menjadi faktor kepada ramainya pengikut, pencinta dan anak muridnya. Murid-muridnya terbahagi kepada dua golongan kerana majlis pengajiannya juga ada dua jenis:

a) umum         : yang dihadiri oleh orang awam

b) khusus         : untuk individu yang memiliki potensi keilmuan yang juga mewarisi

ketegasan beliau di dalam manhaj ilmu.

Kelompok kedua ini terdapat ratusan orang -kebanyakannya dari kalangan Hanbali dan Syafi‘i- tetapi yang utama ialah:

1- Syams Al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad Bin Abu Bakr yang terkenal sebagai Ibn Qayyim Al-Jawziyyah

2- Syams Al-Din Muhammad Bin Ahmad Bin ‘Uthman Al-Dhahabi

3- ‘Imad Al-Din Abu Al-Fida’ Isma‘il Bin ‘Umar yang dikenali dengan gelaran Ibn Kathir

4- Syams Al-Din Muhammad bin Ahmad ‘Abd Al-Hadi Bin ‘Abd Al-Hamid yang lebih dikenali sebagai Ibn ‘Abd Al-Hadi

5- Qadi Al-Qudah Syaraf Al-Din Abu Al-‘Abbas Ahmad Bin A-Hussayn, lebih dikenali dengan gelaran “Qadi Al-Jabal”.

6- Zayn Al-Din ‘Umar yang dikenali sebagai Ibn Al-Wardi.

7- ‘Abd Rahman Bin Ahmad Bin Rajab yang terkenal dengan gelaran Ibn Rajab Al-Hanbali. Beliau tidak belajar secara langsung daripada Ibn Taymiyyah kerana kelahirannya selepas lapan tahun kematian Ibn Taymiyyah. Sebaliknya beliau adalah murid kepada Ibn Qayyim Al-Jawziyyah, namun kecenderungannya kepada Ibn Taymiyyah menyebabkan beliau dianggap sebagai murid Ibn Taymiyyah.

8- Ummu Zainab Fatimah Binti ‘Abbas bin Abi Al-Fath Al-Baghdadiyyah

 

Perjuangan:-

a) Dakwah:

Ibn Taymiyyah telah memberikan seluruh hidupnya untuk berkhidmat kepada dakwah dan ilmu pengetahuan. Di antara bidang utama yang diberikan perhatian khususnya di dalam penulisannya ialah: Tafsir, Ilmu Kalam, Falsafah dan Tasawwuf serta Fiqh.

i) Tafsir:

Tafsiran Ibn Taymiyyah terhadap ayat-ayat Al-Quran adalah berasaskan keyakinan beliau bahawa Rasulullah S.A.W telah menyampaikan dengan lengkap segala maksud Al-Quran. Para sahabat yang menjadi saksi ketika proses penurunan wahyu itu pula lebih mengetahui maksud ayat daripada mana-mana generasi selepasnya. Justeru itu beliau menyusun kaedah bagi mentafsir Al-Quran seperti berikut:[15]

Pertama: Tafsir Al-Quran dengan Al-Quran. Ini adalah martabat tertinggi dalam pentafsiran; kerana Allah yang Maha Mengetahui maksud kalam-Nya.

Kedua: Tafsir ayat melalui Al-Sunnah. Ini apabila tidak diperolehi maksudnya melalui proses pertama; lantaran Nabi S.A.W adalah orang yang menerima wahyu.

Ketiga: Tafsiran melalui perkataan para sahabat; kerana mereka adalah generasi yang wujud semasa wahyu diturunkan.

Keempat: Tafsiran golongan Tabi‘in yang mempelajarinya dari para sahabat. Bagaimanapun ia bukan hujah muktamad melainkan jika tafsiran itu disepakati melalui ijmak ataupun jelas maksudnya dan bertepatan dengan kaedah Bahasa Arab.

Ibn Taymiyyah telah mengarang tafsiran bagi beberapa surah Al-Quran yang sempat ditulis semasa beliau berada di penjara.[16]

ii) Mazhab-mazhab Fiqh[17]:

Ibn Taymiyyah amat menghormati keempat-empat mazhab utama umat Islam. Bahkan beliau sendiri sangat cenderung kepada mazhab Hanbali kerana dibesarkan dalam keluarga bermazhab Hanbali. Sungguhpun begitu, beliau membenci kejumudan dan sikap bertaqlid yang berleluasa di kalangan fuqaha’ zamannya. Sebahagian mereka menolak ijtihad bahkan di dalam perkara yang mempunyai sandaran nas yang jelaspun mereka tetap enggan berganjak daripada pandangan mazhab. Ini seakan-akan menjadikan pandangan manusia lebih tinggi daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.

Walaupun Ibn Taymiyyah menampilkan ijtihad-ijtihad yang kadangkala keluar daripada apa yang sudah dibiasakan oleh orang ramai, namun cara istinbat hukmumnya masih seperti para ulama lain. Sumber pengambilan hukum di sisi beliau ialah: Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak (khususnya ijmak Sahabat) dan Qias. Selain itu beliau juga berpegang kepada fatwa sahabat selagi mana tidak terdapat pertentangan terhadapnya.

Melalui susunan sumber hukum ini, Ibn Taymiyyah mengorak langkah menulis dan mengeluarkan fatwa. Dalam hal ini, beliau tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab, bahkan berpandu terus kepada dalil-dalil yang diperolehi. Ini kerana kebenaran itu tidak hanya wujud pada imam-imam yang empat sahaja[18]. Namun pengaruh mazhab Hanbali masih wujud sedikit sebanyak dalam cara istinbat hukumnya.

iii) Falsafah:

Beliau telah dilahirkan sepuluh tahun sebelum kematian tokoh Falsafah yang terkenal di zaman itu iaitu: Nasir Al-Din Al-Tusi. Ketika itu Falsafah dan ilmu mantiq Yunani sangat mendapat tempat di kalangan para cendiakawan. Kota Harran tempat kelahirannya adalah pusat bagi salah sebuah sekolah penterjemahan terpenting yang dipimpin oleh Thabit Bin Qurrah Al-Sabi’i[19]. Kemuncak keadaan ini ialah barangsiapa yang mengetahui selok belok perbahasan Falsafah akan dianggap sebagai bijaksana. Di kala itu, tiada sarjana Hadith atau Fiqh yang tampil berhujah dengan golongan ini. Apa yang dilakukan oleh kebanyakan mereka hanyalah mengeluarkan fatwa mengharamkan pengajian Falsafah dan Mantiq[20].

Topik utama yang dikritik oleh Ibn Taymiyah ialah Falsafah Ilahiyyah atau Metafizik. Beliau menyifatkan mereka itu sebagai sangat jahil tentang bab ketuhanan hinggakan katanya, Yahudi dan Nasrani mempunyai pengetahuan yang lebih baik tentang bab tersebut[21]. Namun begitu, beliau mengiktiraf sumbangan Falsafah Fizikal dan Matematik yang disifatkan sebagai lebih banyak yang benar daripada yang salah. Bahkan beliau mencela golongan ahli Kalam yang keterlaluan mengkritik termasuk perkara-perkara benar itu[22].

Apabila Ibn Taymiyyah menggunakan istilah Falsafah dan failasuf, pada  kebiasaannya beliau tujukan kepada golongan Al-Masya’iyyah[23]di kalangan umat Islam seperti Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rusyd dan Nasir Al-Din Al-Tusi. Adakalanya juga beliau memaksudkan Al-Suhrawardi dan pendokong Falsafah Al-Isyraqiyyah[24]. Beliau juga menggunakan istilah Mutafalsifah (orang yang sengaja berfalsafah) untuk ahli Falsafah Islam.[25] Satu perkara yang menarik ialah: kebanyakan sarjana Falsafah terutama yang beraliran Isyraqiyyah adalah daripada latar belakang Syiah Imamiyyah Al-Ithna Al-‘Asyriyyah di Parsi[26]. Golongan ini merupakan  musuh ketat  Ibn Taymiyyah.

iv) Ilmu Kalam dan Tasawwuf:

Boleh dikatakan bahawa tiada satupun tulisannya yang tidak mengkritik manhaj dan ajaran pihak-pihak tersebut. Di antara perkara utama yang disentuh berhubung ilmu Kalam ialah konsep penggunaan Akal berbanding nas. Lebih-lebih lagi ilmu Kalam di zaman itu telah bercampur aduk dengan Falsafah. Golongan yang menjadi sasaran utama ialah Muktazilah dan Jahmiyyah[27].

Pertentangan Ibn Taymiyyah dengan golongan sufi pula ialah pada beberapa perkara seperti: konsep tawakkal, konsep zuhud, penggunaan gerak hati yang melampaui nas dan seumpamanya. Kemuncak kritikannya terhadap mereka ialah dalam doktrin Wahdat Al-Wujud (Kesatuan Wujud) dan Al-Ittihad (Penyatuan Wujud) yang dipelopori oleh Ibn ‘Arabi dan Ibn Sab’in.

v) Pemerintah dan kerajaan:

Beliau dengan jelas dan berani telah menegur dan menasihati golongan pemerintah yang bersikap diktator serta mengabaikan kepentingan rakyat. Beliau akan bangkit mempertahankan hak rakyat jika ianya cuba dicabuli oleh mana-mana pemerintah. Namun beliau juga turut menyeru orang ramai agar taat setia kepada kerajaan yang patuh kepada syariat Islam, bahkan mengajak mereka mempertahankan kerajaan daripada tumbang kepada Tartar ataupun pihak Salibiyyah.

 

b) Peperangan:

Selain berkecimpung di medan dakwah, Ibn Taymiyyah juga turut terjun ke medan jihad menentang tentera Salib dan Tartar. Tentera Salib telah memulakan serangannya ke atas Syam dan Mesir sejak tahun 490H lagi dan berjaya menguasai Bayt Al-Maqdis pada 492H[28]. Sejak itu, berlakulah pertempuran di antara mereka dan tentera Islam sepanjang dua kurun, hinggalah mereka berjaya dihalau keluar oleh Al-Malik Al-Asyraf Khalil bin Mansur Qalawun pada tahun 690H.[29]

Tentera Tartar pula telah berjaya menguasai kota Baghdad kira-kira lima tahun sebelum kelahiran Ibn Taymiyyah (656H)[30]. Selepas itu, mereka berjaya pula menawan Halab dan Damsyiq sebelum cuba untuk menguasai Mesir. Tetapi mereka berjaya disekat oleh tentera Mamlukiy dalam peperangan ‘Ain Jalut[31] yang mengakibatkan terusirnya mereka dari Syam. Selepas itu, beberapa percubaan diteruskan lagi oleh Tartar untuk menguasai Syam dan Mesir tetapi gagal. Ibn Taymiyyah telah memfatwakan tentang keharusan memerangi mereka bahkan beliau sendiri turut serta dalam beberapa peperangan antaranya ialah peperangan Syaqhab berhampiran kota Damsyiq pada bulan Ramadan 702H di mana Tartar tumpas dalam pertempuran itu.[32]

Di sebalik kejayaan tentera Salib dan Tartar menawan beberapa kota orang Islam, berlaku pengkhianatan di kalangan penduduk yang bernaung di bawah kerajaan Islam. Ketika tentera Salib menyerang segelintir orang-orang Kristian yang menyamar sebagai ahli Dhimmah[33] telah menjadi musuh dalam selimut dengan membantu musuh menumpaskan kerajaan Islam. Ini menyebabkan Ibn Taymiyyah mengeluarkan fatwa yang mewajibkan suatu tanda khas yang membezakan di antara ahli Dhimmah di kalangan Yahudi dan Kristian yang bernaung di bawah kerajaan Islam dengan orang luar[34].

Sementara di dalam serangan Tartar ke atas Baghdad dan Syam, mereka telah menerima bantuan daripada puak-puak Batiniyyah, Nusayriyyah dan Isma‘iliyyah[35]sementara golongan sufi pula enggan turun berjihad. Lebih menyedihkan lagi, golongan pelampau Syiah ini telah menghalalkan penjualan hamba dari kalangan umat Islam kepada tentera salib.

Lantaran itu, Ibn Taymiyah bingkas mengatur langkah menyatukan umat di bawah payung kerajaan Mamlukiy bagi menghancurkan puak-puak bid‘ah, khurafat dan ajaran sesat yang menjadi duri dalam daging kepada kerajaan Islam. Akibatnya, berlakulah beberapa peperangan di pergunungan Syam yang melibatkan tentera kerajaan dengan puak-puak militan Syiah. Ibn Taymiyyah bukan sahaja mengeluarkan fatwa menyokong tindakan kerajaan dan menyeru orang ramai menyertainya, bahkan beliau sendiri mengepalai tentera bersama putera mahkota kerajaan Mamlukiy.[36]

Tindakan ini boleh disifatkan sebagai usaha mempertahankan aqidah Ahli Sunnah wa Al-Jamaah daripada ancaman kelompok-kelompok Syiah, sekaligus mempertahankan kerajaan Mamlukiy sebagai pusat kuasa golongan Ahli Sunnah. Perjuangan ini juga menyebabkan beliau dianggap sebagai di antara musuh golongan Syiah yang utama sepanjang zaman.

 

c) Tribulasi: sebab dan kesudahan:

Kehidupan Ibn Taymiyyah dipenuhi dengan cabaran, tribulasi, perjuangan dan penderitaan. Beliau seorang yang sangat tegas dalam pendiriannya, sama sekali tidak berganjak walau bagaimana rintangan dan cabaran yang bAkal ditempuhi. Berikut adalah ringkasan dari rentetan peristiwa yang menimpa dirinya:

i-          Pada tahun 698H, bermulalah konspirasi terhadapnya apabila ditohmah beriktikad dengan iktikad tajsim[37]; ini kerana tulisannya di dalam Al-‘Aqidah Al-Hamawiyyah yang merupakan jawapan terhadap persoalan penduduk kota Hama[38]. Karyanya ini merupakan sokongan kepada mazhab Salaf dan serangan terhadap golongan Mutakallimun[39].

Pada tahun 699H, Ibn Taymiyyah bersama para pengikutnya telah pergi ke pusat-pusat hiburan lalu memusnahkan bekas-bekas arak, mencurahnya ke tanah serta menyerang orang-orang yang sedang berfoya-foya di dalam pusat-pusat hiburan itu. Tindakan ini sangat menggembirakan orang ramai[40].

Pada tahun 705H, Ibn Taymiyyah didatangi oleh sekelompok golongan tasawwuf Ahmadiyyah meminta beliau berhenti daripada mengkritik dan menyerang mereka di dalam fatwa dan tulisannya. Namun beliau enggan berkompromi dengan mereka bahkan menjawab:

“Setiap perkara mestilah berada di bawah petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah, samada perkataan ataupun perbuatan. Barangsiapa yang keluar daripada keduanya, wajiblah ditegur”[41].

 

Pada tahun yang sama, beliau ditangkap dan dipenjarakan di Kaherah kemudian dipindahkan ke Halab. Adapun golongan Hanabilah (yang bermazhab Hanbali) di Mesir telah diseksa dan dihina.[42] Tribulasi yang menimpa Ibn Taymiyyah berterusan di antara tahun 707H-712H di Mesir. Golongan sufi telah mengadu kepada pemerintah tentang beliau, dengan dakwaan bahawa beliau tidak memohon kepada Nabi. Beliau dipenjara di Bilbis kemudian dipindahkan ke Iskandariah. Sepanjang di dalam tahanan, beliau masih dikunjungi oleh orang ramai untuk meminta fatwa. Beliau meneruskan aktiviti tersebut sehinggalah dibebaskan oleh Sultan Qalawun[43]pada tahun 709H[44].

Sepanjang kewujudannya di Iskandariah, Ibn Taymiyyah telah memerangi golongan Sufi dari kalangan Al-Sab‘iniyyah dan Al-‘Arabiyyah[45]. Beliau berjaya di dalam usahanya melumpuhkan pengaruh dan kekuatan kedua-dua kumpulan sufi yang sesat itu. Selepas itu beliau kembali semula ke Damsyiq pada 712H[46].

Pada tahun 718H, Qadi qudah (Ketua para qadi) Damsyiq telah mengarahkan Ibn Taymiyyah agar berhenti mengeluarkan fatwa berhubung masalah sumpah untuk menjatuhkan talak. Arahan itu beliau patuhi, namun ia tidak bertahan lama. Baginya perbuatan tersebut bererti menyembunyikan pengetahuan. Justeru itu, beliau terus berfatwa bahawa talak tidak jatuh di dalam beberapa keadaan seperti: terpaksa, diugut, sumpah palsu, bersyarat dan seumpamanya[47].

Pada tahun 726H, sekali lagi para qadi Damsyiq menentangnya; lantaran fatwa tentang hukum menziarahi kubur-kubur orang-orang soleh. Fatwa ini telah beliau keluarkan sejak dua puluh tahun sebelumnya. Fatwa ini disokong oleh para ulama di Baghdad, malangnya ia ditentang oleh para ulama di Damsyiq. Oleh sebab itu pada petang Isnin 6 Sya‘ban tahun tersebut, Ibn Taymiyyah ditangkap dan dipenjarakan di penjara Damsyiq. Ini tidak melumpuhkan semangatnya, bahkan beliau melahirkan rasa gembiranya kerana ia adalah suatu yang ditunggu-tunggunya. Selanjutnya, beliau terus dikenakan tekanan dan dilarang untuk menulis, begitu jugalah yang berlaku ke atas para penyokongnya di luar penjara.[48]

 

Manhaj Ibn Taymiyyah

a) Dalam Penyelidikan dan Penulisan:

Pendidikan yang diterima secara sistematik serta pembacaannya yang sangat luas telah membentuk peribadinya di dalam membahaskan isu-isu ilmu. Asas-asas yang beliau pegang apabila membahaskan sesuatu perkara itu ialah:

1-      Berpegang terus kepada nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah.

2-      Mendahulukan naqal (nas-nas) daripada aqal; ini kerana aqal manusia tidak mampu mencapai semua perkara sedangkan nas adalah wahyu Allah ataupun perkataan nabi yang menerima wahyu.

3-      Mengelakkan sebarang percanggahan antara keduanya; kerana naqal yang sahih tidak akan bercanggah dengan aqal yang jelas.

4-      Menghindari takwilan yang bercanggah dengan peraturan bahasa.

Bertitik tolak daripada asas-asas ini, Ibn Taymiyyah menulis karya-karyanya dengan penuh kesedaran, bahasanya mudah lagi hidup serta jauh daripada uslub yang menyukarkan pemahaman. Beliau benar-benar meluahkan perasaannya samada sokongan ataupun kritikan melalui karya-karya itu.

Selain daripada mempunyai pembacaan yang meluas, Ibn Taymiyyah juga dianugerahkan Allah dengan ingatan yang kuat dan pandangan yang jauh. Apabila mengarang sesuatu risalah atau kitab, beliau tidak berpandukan kepada rujukan yang banyak untuk dinukilkan sebarang pandangan daripadanya. Bahkan semasa mengarang di dalam penjara dalam keadaan bahan bacaan disekat daripadanya, beliau mampu mengarang sejumlah karya yang memuatkan pandangan ratusan ulama silam sambil mengisyaratkan dari mana pandangan-pandangan itu dinukilkan.

Beliau juga berkemampuan mengarang dengan cepat, hingga mencapai satu jilid. Justeru itu tidak hairanlah beliau mampu menulis sebanyak lima ratus buah karya sepanjang hidupnya.

Di dalam perbahasan, beliau akan memperincikan setiap topik yang dimaksudkan lalu membandingkannya dengan puak-puak yang berkaitan. Beliau akan menjelaskan kaitan dan kesan sesuatu pegangan itu terhadap aqidah dan akhlak. Bagaimanapun seperkara yang disentuh oleh ramai pengkaji ialah, beliau lebih banyak menukilkan maksud daripada teks yang diulas daripada menukilkan perkataan-perkataan dalam teks tersebut.

Ibn Taymiyyah bukanlah jenis manusia yang suka menjatuhkan hukuman secara rambang. Sebaliknya beliau lebih suka untuk mengenalpasti masalah dan pihak manakah yang terlibat. Ini dapat mengelakkan beliau daripada menjatuhkan sebarang hukuman secara umum.

Apabila beliau menjustifikasikan satu-satu perkara itu kufur atau bid‘ah, kebanyakannya beliau tujukan khas kepada mAkalah atau kenyataan yang dimaksudkan sahaja; kerana mengelakkan daripada menuduh mana-mana orang Islam dengan tuduhan yang tidak benar.

Ibn Taymiyyah tidak bertaqlid dalam sebarang tindak- tanduk dan pendiriannya. Sungguhpun begitu beliau sentiasa mengambil kira pendapat imam-imam mujtahid. Melalui penelitian terhadap hujah-hujah mereka, beliau akan menetapkan pendiriannya serta membina hukum berdasarkan dalil dan hujah yang diyakininya. Dalam hal ini, beliau agak cenderung kepada Al-Imam Ahmad Bin Hanbal (pengasas mazhab Hanbali), katanya:

“Ahmad lebih berpengetahuan daripada orang lain tentang Al-Kitab dan Al-Sunnah serta pandangan para sahabat dan tabi‘in. Justeru itu, sukar didapati pendapatnya yang bercanggah dengan nas sebagaimana didapati pada orang lain. Selain itu, jika ada qaul yang lemah dalam mazhab ini, nescaya akan ada satu lagi qaul Ahmad yang bertepatan dengan qaul yang lebih kuat….apabila didapati pendapat Abu Hanifah dan Al-Syafie  berbeza dengan pendapat Malik yang serupa dengan Ahmad ataupun hampir, maka kebanyakannya yang lebih kukuh ialah pendapat Malik dan Ahmad”[49].

 

Kenyataan ini menggambarkan betapa peribadi Al-Imam Ahmad Bin Hanbal sangat mempengaruhi diri Ibn Taymiyyah. Hubungan ini bertambah kukuh kerana keluarga Ibn Taymiyyah memang dari kalangan sarjana bermazhab Hanbali. Mazhab ini merupakan salah satu daripada empat mazhab Fiqh yang terkenal dalam Islam. Ia juga terkenal sebagai mewakili salah satu daripada dua aliran pemikiran di dalam aqidah. Mazhab Hanbali ini terkenal sepanjang sejarah sebagai golongan yang tegas dalam berpegang kepada zahir nas samada di dalam fiqh mahupun aqidah[50]. Oleh itu, tidak hairanlah ciri-ciri tersebut jelas terpapar dalam peribadi Ibn Taymiyyah.

 

b) Ibn Taymiyyah menyokong manhaj Al-Salaf

Ibn Taymiyyah berpendapat bahawa golongan yang paling benar pegangan agamanya ialah mereka yang berada pada tiga generasi yang awal Islam. Golongan ini dipanggil Al-Salaf Al-Saleh. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith nabi S.A.W[51]:

خَيرُ النَّاسِ قَرنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُم ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُم

Mafhumnya: “Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian mereka yang selepasnya, kemudian mereka yang selepasnya

Mereka yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut ialah orang-orang yang hidup pada tiga kurun pertama Islam yang berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah S.A.W. Merekalah yang dinamakan sahabat, tabi‘in (pengikut sahabat) dan tabi‘ al-tabi‘in (pengikut kepada pengikut sahabat). Golongan ini yang juga dinamakan Al-Salaf Al-Saleh atau singkatannya Al-Salaf.  

Golongan Al-Salaf ini pada pandangan Ibn Taymiyyah adalah yang paling baik selepas para nabi. Perkataan mereka adalah yang paling baik dan mereka inilah golongan yang paling mendapat petunjuk. Rasionalnya, mereka inilah yang paling hampir dengan kehidupan Rasulullah S.A.W. Mereka jugalah yang paling menghayati lagi mentaati setiap perintah dan panduan baginda. Di zaman tersebut juga belum begitu banyak kerencaman pemikiran.

Justeru itu Ibn Taymiyyah berpandangan, mengetahui perkataan dan perbuatan mereka lebih bermanafaat pada daripada perkataan dan amalan golongan selepas mereka. Mengikut pendirian mereka dalam urusan agama lebih-lebih lagi dalam bab-bab ketuhanan adalah suatu kewajipan dan itulah manhaj yang paling selamat. Ini kerana kesepakatan mereka (ijma’) adalah terpelihara daripada kesalahan. Kesalahan mereka juga lebih sedikit sedangkan kebenaran mereka lebih banyak.[52]

Sebaik-sebaik contoh ulama al-salaf yang menjadi ikutan Ibn Taymiyyah ialah Al-Imam Ahmad Bin Hanbal. Ini kerana ketegasan beliau semasa berhadapan dengan cabaran golongan Muktazilah berhubung isu Kejadian Al-Quran, tetap teguh dengan pendirian para al-salaf al-saleh. Oleh sebab itu, Ibn Taymiyyah sangat menyanjungi Al-Imam Ahmad dan menuruti pendiriannya serta mengambil pendapatnya samada di dalam Usul Al-Din mahupun di dalam perkara cabang syariat. Tidak hairanlah juga banyak kedapatan pendapat-pendapat Ahmad di dalam tulisan-tulisan Ibn Taymiyyah.

Ibn Taymiyyah bagaimanapun menyanggahi sangkaan segelintir manusia yang mendakwa bahawa golongan salaf ini tidak pernah mengambil tahu urusan aqidah secara akli lantaran kesibukan mereka berdakwah dan berjihad menyebarkan Islam. Beliau juga menafikan tanggapan bahawa golongan al-salaf membenci pengkajian dan penelitian secara akli berhubung perkara akidah, sebaliknya apa yang tidak disukai ialah hujah-hujah akli yang bercanggah dengan nas-nas syarak. Di atas dasar itu, Ibn Taymiyyah tidak sekadar menggunakan nas-nas syarak secara zahir sahaja apabila berhadapan dengan pelbagai pihak yang dikira menyalahi syarak. Sebaliknya beliau juga turut menggunakan hujah-hujah akli[53].

 

Kematiannya:[54]

Selepas menghadapi tekanan dan siksaan semasa berada di dalam penjara selama kira-kira dua bulan, akhirnya pada malam 22 Zulkaedah 728H, kembalilah Syeikh Al-Islam Ibn Taymiyyah ke pangkuan Ilahi di penjara Damsyiq.

Apabila berita kematiannya tersebar, orang ramaipun berpusu-pusu menuju ke penjara untuk memberikan penghormatan terakhir. Selepas dimandikan, orang ramai berhimpun di penjara dan sepanjang jalan menuju ke masjid. Masjid juga telah dilimpahi oleh manusia hingga terpaksa dikawal oleh tentera.

Jenazah Ibn Taymiyyah telah disolatkan kali pertama di penjara kemudian dibawa ke Masjid Umawiy dan disolatkan kali kedua selepas solat Zohor. Suasana sedih menyelubungi kota Damsyiq, kedai-kedai dan pasar ditutup. Tiada seorangpun yang ketinggalan daripada menyembahyangkan jenazah ini melainkan yang uzur. Jumlah yang menghadiri solat jenazah itu ialah kira-kira seratus ribu orang lelaki dan lima belas ribu orang wanita tidak termasuk yang memerhatikan dari atas bangunan. Kemudian jenazah dibawa dengan jari-jari dan kepala-kepala hadirin tanpa perlu berganjak; kerana terlalu ramai ke pasar Al-Khayl lalu disolatkan sekali lagi dengan diimami oleh adiknya Zayn Al-Din ‘Abd Rahman, seterusnya dikebumikan di perkuburan Al-Sufiyyah bersebelahan dengan kuburnya seorang lagi adiknya: Syaraf Al-Din ‘Abd Allah.  Hanya beberapa individu yang memusuhinya sahaja yang bersembunyi ketika upacara itu berjalan. Apabila berita kematiannya sampai ke kota-kota lain, maka ramailah di kalangan ulama dan orang awam yang melakukan solat ghaib.

Ibn Kathir menyifatkan bahawa ia merupakan upacara pengkebumian jenazah yang terbesar yang pernah berlaku di Damsyiq. Jenazah Ibn Taymiyyah hanya dilalukan sahaja di atas tangan-tangan hadirin tanpa perlu seorangpun berganjak dari kedudukannya.

Demikianlah kesudahan kehidupan seorang insan yang telah menyumbangkan seluruh kehidupannya untuk Islam dan ilmu. Beliau tidak tumpas di tangan tentera Salib mahupun tentera Tartar, tetapi kerana dikhianati oleh orang Islam sendiri. Sehinggakan ada sarjana Islam yang mengulas nasib yang menimpa beliau dengan kata-kata:

“…..beliau telah dipenjara di akhir hayatnya kerana ditohmah berijtihad” [55].

 

Hasil Intelektual:

Ibn Taymiyyah telah meninggalkan khazanah ilmu yang sungguh banyak melalui kitab-kitab dan risalah-risalah karangannya. Sebahagian daripada karya tersebut telahpun dicetak, sebahagian lain masih berbentuk manuskrip, Manakala banyak lagi yang hanya diketahui namanya melalui buku-buku sarjana silam, tetapi telahpun hilang. Dianggarkan bahawa karya tulisan beliau adalah sekitar lima ratus jilid.[56]

Kebanyakan karyanya dimuatkan di dalam Majmu’ Rasa’il wa Fatawi Ibn Taymiyyah (Himpunan Surat dan Fatwa Ibn Taymiyyah). Berikut adalah senarai beberapa buah kitab karangan beliau berdasarkan kategori ilmu:

i- ‘Ulum Al-Quran dan Tafsir:

1- Muqaddimah fi Usul Al-Tafsir (Mukaddimah Asas-asas Tafsir)

2- Al-Tibyan fi Nuzul Al-Qur’an (Penjelasan Tentang Penurunan Al-Quran)

3- Tafsir Surah Al-Nur (Tafsir Surah Al-Nur)

4- Tafsir Surah Al-Ikhlas (Tafsir Surah Al-Ikhlas)

5- Tafsir Al-Mu‘awwidhatayn (Tafsir Surah Al-Falaq dan Al-Nas)

 

ii- Al-Hadith:

1- Arba‘in Hadithan Riwayat Syeikh Al-Islam Ibn Taymiyyah ‘an Arba‘in min Kibar Masya’ikhihi (40 Hadith Riwayat Ibn Taymiyyah Daripada 40 Orang Gurunya Yang Utama)  

2- Risalah fi Syarh Hadith Al-Nuzul (Risalah Syarah Hadith ‘Turunnya’ Allah Pada Sepertiga Malam)

3- Risalah fi Al-Ajwibah ‘an Ahadith Al-Qussas (Risalah Jawapan Tentang Hadith-hadith Penglipulara)

4- Risalah tatadamman Ahadith fi Su’al Al-Nabiy ‘an Al-Islam (Risalah Mengandungi Hadith-hadith Tentang Soalan Nabi mengenai Islam)

5- Syarh Al-Hadith: Unzila Al-Qur’an ‘ala Sab‘ati Ahruf (Syarah Hadith: Turunnya Al-Quran Dengan Tujuh Huruf)

 

iii- Usul Al-Din:

1- Kitab Al-Îman

2- Al-‘Aqidah Al-Wasitiyyah (Aqidah Pertengahan)

3- Risalah fi Al-Qada’ wa Al-Qadar (Risalah Qada’ dan Qadar)

4- Syarh  Al-‘Aqidah Al-Asfahaniyyah (Syarah Aqidah Asfahaniyyah)

5- Minhaj Al-Sunnah (Jalan Sunnah)

 

iv- Perbandingan Agama:

1- Al-Jawab Al-Sahih li man Baddala Din Al-Masih (Jawapan Yang Benar Untuk Sesiapa Yang Menukar Agama Al-Masih)

2- Al-Radd ‘ala Al-Nasara (Penolakan Terhadap Kristian)  

3- Takhjil Ahl Al-Injil (Kecaman Ke atas Ahli Injil)

4- Al-Risalah Al-Qubrusiyyah (Risalah Cyprus)

 

v- Fiqh dan Usul Fiqh:

1- Al-Fatawi Al-Kubra (Fatwa-fatwa Utama)

2- Kitab Manasik Al-Hajj (Kitab Ibadat Haji)

3- Kitab fi Usul Al-Fiqh (Kitab Usul Fiqh)

4- Risalah fi Sujud Al-Sahwi (Risalah Mengenai Sujud Sahwi)

5- Mas’alah Al-Halaf bi Al-Talaq (Masalah Sumpah Cerai)

 

vi- Tasawwuf:

1- Al-Furqan Bayna Awliya’ Al-Rahman wa Awliya’ Al-Syaitan (Pembeza Di antara Wali-wali Allah Yang Pemurah Dengan Wali-wali Syaitan)

2- Amrad  Al-Qulub wa Syifa’uhu (Penyakit-penyakit Hati Dan Ubatnya)

3- Al-Tuhfah Al-‘Iraqiyyah fi A‘mal Al-Qulub (Hadiah Dari Iraq Mengenai Amalan-amalan Hati)

4- Al-‘Ubudiyyah (Pengabdian)

5- Darajat Al-Yaqin (Darjat-darjat Keyakinan)

 

vii- Akhlak, Politik dan Sosial:

1- Al-Hasanah wa Al-Sayyi’ah (Kebaikan dan Keburukan)

2- Al-Wasiyyah Al-Jami‘ah li Khayray Al-Dunya wa Al-Akhirah (Wasiat Yang Menyeluruh Demi Kebaikan Dunia dan Akhirat)

3- Al-Siyasah Al-Syar‘iyyah fi Islah Al-Ra‘i wa Al-Ra‘iyyah (Politik Islam Bagi Memperbaiki Pemerintah dan Rakyat)

4- Al-Hisbah fi Al-Islam (Hisbah Dalam Islam)

5- Al-Mazalim Al-Musytarakah (Kezaliman-kezaliman Bersama)

 

Inilah sebahagian daripada apa yang telah dihasilkan oleh Ibn Taymiyyah. Sebahagian daripada tajuk-tajuk tersebut dicetak di dalam Majmu‘ah Kutub wa Rasa’il Ibn Taymiyyah (Himpunan Kitab-kitab dan Surat-surat Ibn Taymiyyah) atau di dalam Majmu‘ Al-Fatawi (Himpunan Fatwa-fatwa) atau dicetak secara berasingan. Boleh dikatakan kesemua karya ini telah dimuatkan juga di dalam bentuk program cakera padat (CD) di bawah beberapa tajuk di antaranya:

i-                    Mu’allafat Ibn Taymiyyah (Penulisan-penulisan Ibn Taymiyyah)

ii-                  Maktabah Ibn Taymiyyah (Perpustakaan Ibn Taymiyyah)

iii-                Maktabah Al-Syeikh wa Al-Tilmidh (Perpustakaan Guru iaitu Ibn Taymiyyah dan Murid iaitu Ibn Qayyim Al-Jauziyyah)

iv-                Al-Maktabah Al-Syamilah (Perpustakaan Lengkap)

SUASANA SEMASA:

Pengenalan:

            Peribadi manusia dibentuk oleh beberapa faktor dan unsur. Latar belakang keluarga dan pendidikan yang diperolehi merupakan faktor yang sangat penting. Namun keadaan persekitaran dan suasana masyarakat turut berperanan dalam pembinaan sahsiah manusia. Justeru itu bagi menyelami peribadi dan corak pemikiran Ibn Taymiyyah, perlulah juga diketahui tentang persekitaran masyarakatnya samada di sudut politik, ekonomi, sosial mahupun agama. Ibn Taymiyah sebenarnya telah bertindak balas dengan setiap aspek tersebut.

 

Politik:

            Sejak beberapa kurun umat Islam telah terpecah kepada kerajaan-kerajaan kecil dan wilayah-wilayah autonomi. Setiap kerajaan memandang kerajaan yang lain sebagai musuh yang perlu ditundukkan. Raja-raja yang memerintah tidak lagi menganggap rakyat jelata sebagai orang yang dinaungi dan dilindungi sebaliknya memandang mereka dengan penuh keangkuhan dan pemerasan. Lebih parah lagi, di kalangan sesama keluarga yang memerintah sering timbul hasad dengki dan pengkhianatan hingga timbulnya rampasan kuasa berkali-kali.

Ibn Taymiyyah dilahirkan semasa pemerintahan Al-Malik Al-Zahir Bebres yang memerintah Syam dan Mesir. Beliau telah berjaya membawa kerajaan Mamlukiy menjadi kerajaan yang kuat dan dihormati. Beliau sangat mengambil berat tentang urusan jihad. Tentera di bawah pemerintahannya telah berjaya menumpaskan tentera Salib dan Tartar berkali-kali. Beliau juga sangat bersungguh-sungguh menghapuskan arak dan sebarang kerosakan. Di zamannya, kerajaan Mamlukiy telah berkembang hingga ke sungai Furat di utara dan hujung sempadan Sudan di selatan. Beliau juga banyak mengasaskan sekolah-sekolah hingga menjadikan Kaherah bukan sahaja sebagai ibu kota pemerintahan bahkan sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan.[57]

Al-Malik Zahir meninggal dunia ketika Ibn Taymiyyah berusia lima belas tahun. Justeru itu, Ibn Taymiyyah telah mengikuti beberapa peristiwa penting di zaman Al-Zahir Bebres ini.

Lima tahun sebelum kelahiran Ibn Taymiyyah, Tartar telah menghancurkan Baghdad dan menakluki kebanyakan bumi umat Islam. Ini dilakukan dengan pengkhianatan golongan Nasrani dan Syiah Batiniyyah. Setahun kemudian tentera Islam Mamlukiy di bawah pimpinan Sultan Sayf Al-Din Qataz telah berjaya menumpaskan Tartar di ‘Ain Jalut. Bagaimanapun, Qataz hanya mampu bertahan di singgahsana selama setahun sahaja sebelum diambil alih oleh Al-Zahir Bebris[58].

Pada tahun 659H, Zahir Bebris bersama Al-Imam ‘Izz Al-Din ‘Abd Salam serta para ulama yang lain, telah memberikan bai‘ah (janji setia) kepada Abu Al-Qasim Ahmad Bin  Khalifah Al-Zahir bi Amr Allah untuk menjadi khalifah umat Islam. Beliau adalah bapa saudara kepada khalifah Al-Mu‘tasim Billah, khalifah terakhir sebelum keruntuhan Baghdad. Bagaimanapun jawatan itu hanyalah simbol semata-mata kerana segala kuasa adalah di tangan Zahir Bebris.[59]

Pada tahun 699H, tentera Tartar telah menumpaskan tentera pimpinan Al-Nasir Muhammad Bin Qalawun lalu kembali semula ke kota Damsyiq. Mereka ketika itu sudahpun memeluk agama Islam. Kedatangan ini mengakibatkan ramai di kalangan ulama dan pemimpin lari ke Mesir. Ibn Taymiyyah telah memimpin suatu delegasi berhadapan dengan Mahmud Qazan untuk membantah tindakannya menyerang Damsyiq. Akkhirnya Mahmud Qazan bersetuju untuk tidak memasuki kota Damsyiq, tetapi malangnya segelintir askarnya telahpun masuk lalu membuat kerosakan. Apabila mereka beredar, Ibn Taymiyyah melepaskan tawanan-tawanan perang samada muslim ataupun ahli Dhimmah tanpa kecuali.[60]

Pada tahun 700H, Tartar sekali lagi kembali ke Syam; mengakibatkan ramai yang lari meninggalkan kampung halaman. Namun Ibn Taymiyyah tetap bertahan dan menyeru umat Islam agar turun ke medan jihad bahkan beliau sendiri turut sama di dalamnya.

Pada tahun 690H, Al-Malik Al-Asyraf Khalil telah berjaya merampas kembali beberapa bandar orang Islam daripada tangan pihak tentera Salib[61]dan pada tahun 702H pula, Al-Malik Al-Nasir Muhammad Bin Qalawun dan tenteranya berjaya menumpaskan tentera Tartar.

Sosio-Ekonomi:

Masyarakat Mamlukiy di Mesir dan Syam adalah suatu masyarakat yang mengendungi berbagai-bagai jenis manusia berasal daripada pelbagai agama, kepercayaan, mazhab dan budaya.

Peperangan telah menyebabkan orang-orang ‘Iraq lari ke Syam Manakala orang Syam lari ke Mesir dan Maghribi. Orang-orang Tartar pula datang dari negeri mereka dengan segala budaya dan adat istiadat mereka yang rencam.

Orang-orang Tartar telah memeluk Islam semasa mereka melakukan serangan demi serangan ke atas bumi umat Islam, namun mereka telah mencampur adukkan di antara yang hak dan yang batil sesuka hati mereka. Perkara-perkara agama seperti ibadat-ibadat khusus dan urusan keluarga mereka merujuk kepada Qadi qudah untuk memutuskan hukuman. Tetapi dalam perkara harta dan jenayah, mereka merujuk kepada Al-Hajib[62]supaya memutuskan hukuman mengikut undang-undang Jengiz Khan. Undang-undang ini sangat keras berbanding hukum syara‘ dan kebanyakan hukumannya adalah mati.

Bagi para tawanan perang yang terdiri daripada Tartar, Kristian barat, Turki dan sebagainya, mereka ini telah mempunyai tempat khas di dalam sistem masyarakat yang caca merba ini.

Apabila keadaan ini terjadi, kepincangan dan keruntuhan akhlak serta kezaliman mulai berleluasa di dalam masyarakat. Di kala itu, kejahilan tentang agama menyebabkan mudahnya tersebar amalan-amalan bid‘ah dan kepercayaan-kepercayaan khurafat serta unsur-unsur asing ke alam masyarakat. Hasilnya, lahirlah ajaran Tasawwuf yang berunsur Hindu, Kristian ataupun Falsafah Yunani dan Parsi.

Sepanjang pemerintahan kerajaan Mamlukiy, negara tidak pernah aman; lantaran persengketaan sesama golongan pemerintahan dan serangan demi serangan daripada Tartar dan Salibiyyah. Di dalam suasana peperangan, sudah tentulah hasil tanaman berkurangan, urusan jual beli terjejas, jenayah berleluasa dan harta benda banyak yang hilang atau rosak. Demikian juga harga barang sering meningkat disebabkan kekurangan bekalan ataupun hasil monopoli segelintir peniaga.

Oleh kerana rakyat telah cukup menderita dengan keadaan yang berlaku, maka para ulama telah mengeluarkan fatwa bagi menghalang para pemerintah mengamil tanah-tanah rakyat atau mengenakan cukai tambahan sebagai persiapan perang menghadapi Tartar dan Salibiyyah selagimana raja mempunyai harta yang mencukupi bagi menampung keperluan tersebut, walaupun secara asasnya ia dibenarkan oleh syariat. Inilah yang dilakukan oleh ‘Izz Al-Din ‘Abd Al-Salam dan Al-Nawawi.

Pada tahun 667H, angin kencang telah menenggelamkan dua ratus buah kapal di sungai Nil; mengakibatkan ramai yang terkorban, Manakala di Syam pula petir telah merosakkan tanaman dan buah-buahan.[63]

Pada tahun 669H pula banjir besar melanda Damsyiq lalu menenggelam dan merosakkan banyak harta benda.[64] Banjir besar sekali lagi terjadi pada tahun 717H apabila air sunga Nil melimpah lalu memusnahkan banyak nyawa dan harta. Sebelum itu, tanaman-tanaman telah dimusnahkan oleh serangan belalang yang sangat banyak.[65]

Kesemua bencana yang melanda umat pada ketika itu sudah cukup untuk memberi gambaran betapa buruknya suasana masyarakat di waktu itu. Keadaan ini bertambah buruk apabila keamanan negara pula tidak stabil lantaran pemberontakan yang dilakukan oleh golongan Syiah Nusairiyah.[66]

Dalam keadaan huru hara inilah Ibn Taymiyyah bangkit melakukan islah (pembaikan atau reformasi) di dalam masyarakat. Beliau memulakan dengan mengajar orang awam di majlis-majlis pengajian. Di samping itu beliau tidak lupa untuk menasihati para pemimpin. Di antara perkara yang berjaya beliau nasihati golongan pemimpin ini ialah: menasihati Al-Nasir Qalawun agar membahagikan tanah dengan baik dan adil serta memulangkan kembali tanah-tanah yang dirampas. Tindakan Al-Nasir Al-Qalawun ini berjaya meredakan kemarahan rakyat jelata, hasilnya negara kembali menjadi aman dan tenang.

 

Agama dan Pemikiran:

            Pada kurun keenam, ketujuh dan kelapan, lapangan pengajian ilmu pengetahuan telah berkembang dengan pesatnya. Turut sama berkembang ialah falsafah dan ajaran Tasawwuf. Kesemua perkembangan ini membawa kepada perbezaan manhaj dan methodologi di kalangan para ulama.

Selepas keruntuhan Baghdad oleh Tartar yang memusnahkan hampir sebahagian besar khazanah tamadun Islam, gerakan keilmuan berpindah pula ke Damsyiq di Syam dan Kaherah di Mesir. Di sana telah didirikan masjid-masjid yang merupakan pusat bagi halaqah-halaqah[67] pengajian ilmu-ilmu syariat. Di antara masjid yang terkenal dengan halaqah ilmu itu ialah: Jami‘ Al-Azhar di Kaherah yang terkenal hingga ke hari ini dan Jami‘ Umawiy di Damsyiq.

Pusat-pusat pengajian formal berbentuk seperti sekolah lahir selepas hanya selepas itu. Sekolah yang pertama ialah di Khurasan dan Parsi yang dibina oleh para sultan; kerana cintakan ilmu ataupun untuk mengukuhkan kedudukan khususnya di kalangan ulama. Di antara sekolah yang terkenal ialah:

1- Al-Madrasah Al-‘Adiliyyah Al-Kubra dibina oleh Al-Malik ‘Adil.

2- Al-Madrasah Al-Zahiriyyah yang dibina oleh Al-Malik Zahir.

3- Al-Madrasah Al-Salahiyyah yang dibina oleh Salah Al-Din Al-Ayyubiy (572H).

4- Al-Madrasah Al-Kamiliyyah yang dibina oleh Al-Malik Kamil (621H).

Sekolah-sekolah seumpama ini yang begitu banyak tumbuh, ada yang menawarkan pengajian bagi semua bidang ilmu syariat dan ada juga yang hanya mengkhususkan pengajiannya kepada satu-satu bidang sahaja seperti hadis di Dar Al-Hadith Al-Sukkariyyah.

Selain daripada sekolah-sekolah yang menjadi elemen kemajuan ilmu pengetahuan, terdapat juga perpustakaan-perpustakaan yang mengandungi bahan-bahan bacaan dan rujukan yang terdiri daripada karya-karya ulama dan cendiakawan silam. Di antara perpustakaan itu ialah Al-Maktabah Al-Kamiliyyah yang mengandungi lebih kurang seratus ribu jilid kitab.[68]Perkembangan ini dibantu juga oleh penubuhan ribat-ribat dan khawaniq-khawaniq[69] yang menjadi pusat kegiatan golongan sufi.

Pelbagai kemudahan rujukan yang terdapat di zaman itu telah membantu Ibn Taymiyyah meningkatkan tahap keilmuannya. Beliau bukan sahaja menuntut daripada ulama yang mengajar di masjid atau sekolah, bahkan beliau juga berpeluang membuat rujukan daripada kitab-kitab karangan ulama terdahulu yang terdapat di dalam perpustakaan-perpustakaan. Malahan pula di zaman itu, Fiqh imam-imam mazhab yang empat, Fiqh Al-Zahiri, Fiqh Syi‘ah (meliputi semua aliran dalam Syiah) serta Fiqh Ibadi[70]telah sempurna dikumpulkan dan dibukukan.

Sungguhpun kemudahan untuk menuntut ilmu semakin berkembang, kitab-kitab semakin banyak dihasilkan, namun zaman itu terkenal sebagai suatu zaman yang penuh dengan kejumudan pemikiran dan ketaksuban fahaman. Kitab-kitab yang dihasilkan hanyalah sebagai ulasan dan syarah terhadap tulisan-tulisan sebelumnya. Tidak ramai yang menulis sesuatu yang baru atau cuba melakukan ijtihad. Hasilnya, sesiapa yang mengeluarkan pendapat yang bercanggah daripada apa yang terbiasa oleh masyarakat akan dianggap menyanggahi agama. Inilah yang berlaku ke atas Ibn Taymiyyah.

 

Penutup:

            Demikianlah suasana di mana Ibn Taymiyyah dibesarkan. Segala kepincangan masyarakat dan kerajaan bermain di ruang matanya. Beliau menghayati segala peristiwa yang berlaku di zamannya lalu turun ke medan untuk membina semula masyarakat yang hampir runtuh. Peribadi dan jiwa beliau yang keras itu nyata dibentuk oleh ilmu yang dipelajari dan juga suasana semasa.

Kesungguhan beliau mempertahankan agama berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah daripada dicemari oleh anasir luar telah membawanya berkonfrontasi dengan banyak pihak. Pertentangannya dengan Mutakallimun adalah berhubung sikap melampau mereka membahaskan perkara ghaibiyyat (ghaib) melalui Akal, manakala dengan golongan Sufi banyak berkisar tentang idea Wahdat Al-Wujud (Kesatuan Kewujudan). Pertentangnya dengan golongan Falsafah pula adalah berhubung perkara-perkara Metafizik yang diutarakan oleh mereka.

Seperkara lagi, kebanyakan sarjana Falsafah Islam adalah dari latar belakang Syiah. Puak Syi’ah telah menjadi duri dalam daging dalam pertempuran umat Islam menentang Tartar dan pihak Salib. Mereka ini bukan sekadar menyokong kemasukan tentera Tartar ke negeri umat Islam bahkan turut membantu perjuangan mereka. Pada pandangan Ibn Taymiyyah, golongan Syi’ah bukan sahaja menentang umat Islam melalui persenjataan malahan merosakkan pemikiran, kepercayaan dan amalan yang benar. Ini juga faktor yang mengukuhkan pendirian Ibn Taymiyyah terhadap Falsafah.

 


[1] Lihat: Ibn Kathir, Abu Al-Fida’ ’Ismi‘il Bin ‘Umar. Al-Bidayah wa Al-Nihayah (13/255), Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, (t.t), Al-Karami Al-Hanbali, Mar‘a Bin Yusuf, Al-Kawakib Al-Durriyyah fi Manaqib Al-Mujtahid Ibn Taymiyyah (m.s 52), Beirut: Dar Al-Gharb Al-Islami, Ctk. Pertama (1986) dan Abdullah, Mohd. Amar. Study of Ibn Taymiyah and Some of His Theological Ideas, With Special Reference to His ‘Aqidah Wasitiyah. (m.s 18), England: Department of Theology, University of Birmingham (1988).

[2] Lihat: Al-Baladhuri, Abu Ja‘far Ahmad Bin Yahya. Futuh Al-Buldan, subjek: Harran. Muhammad Fuad Abd Al-Mu‘im. Syeikh Al-Islam Ibn Taymiyyah wa Al-Wilayah Al-Siyasiyyah Al-Kubra fi Al-Islam. Arab Saudi: Dar Al-Watan (t.t)

[3] Sabi’ah ialah suatu ajaran yang mengagungkan planet-planet yang tujuh dan bintang-bintang yang dua belas, serta menganggapnya sebagai qidam. Mereka mempunyai solat lima kali sehari semalam menghadap ke ka‘bah, berpuasa di bulan Ramadan, mengharamkan bangkai, darah dan khinzir, tetapi hanya mempercayai beberapa orang nabi sahaja tidak termasuk Nabi Muhammad S.A.W.

Lihat: Ibn Hazm, Abu Muhammad ‘Ali Bin Ahmad Al-Andalusi Al-Zahiri, Al-Fisal fi Al-Milal wa Al-Ahwa’ wa Al-Nihal (1/50), Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Beirut, Ctk. Pertama (1996M-1416H)

[4] Muhammad Fuad Abd Al-Mun‘im, Opt.cit (m.s 10)

[5] Ibn Kathir, Opt.cit (13/269)

[6]Al-Dhahabi, Syams Al-Din Muhammad Bin Ahmad. Siyar A‘lam Al-Nubala’. (15/417-418), Beirut:Muassasah Al-Risalah, Ctk. Kesepuluh (1994),

[7] Ibn Kathir, Opt.cit (14/8)

[8] Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Opt.cit

[9] Ibn Makhluf ialah Zayn Al-Din Bin Makhluf seorang qadi bermazhab Maliki di Mesir. Beliau terkenal dengan kekerasan hukum yang dikeluarkannya dan permusuhannya dengan Ibn Taymiyyah.

Lihat: Abu Zahrah, Muhammad, Ibn Taymiyyah:Hayatuhu wa ‘Asruhu, Ara’uhu wa Fiqhuhu (m.s 49), Kaherah: Dar Al-Fikr Al-‘Arabi, (1991)

[10] Lihat: Ibn Kathir, Opt.cit (14/56)

[11] Ibn ‘Abd Al-Hadi, Opt.cit (m.s 19)

[12] Ibid

[13] Lihat: Al-Nadwi, Abu Al-Hasan ‘Ali Al-Hasani, Al-Hafiz Ahmad Bin Taymiyyah. (m.s 315-338), Kuwait: Dar Al-Qalam, Ctk. Keempat (1993M-1313H)

[14] Ibid

[15] Lihat: Ibn Taymiyyah, Muqaddimah fi Usul Al-Tafsir. Beirut: Dar Al-Qur’an Al-Karim, (t.t)

[16] Ibn ‘Abd Al-Hadi, Opt.cit  (m.s 377)

[17] Lihat huraian beliau tentang imam-imam mazhab yang empat di dalam: Raf‘ Al-Malam ‘an A’immah Al-A‘lam, Maktabah Ibn Taymiyyah, (t.t)

[18] Ibn Taymiyyah. Minhaj Al-Sunnah fi Naqd Kalam Al-Syi‘ah wa Al-Qadariyyah. (2/288), Kaherah: Maktabah Dar Al-‘Urubah, (1221H).

[19] Lihat: Gibb, H.A.R.& J.H Kramer.  Encyclopedia of Islam. (m.s 227-228), Leiden: E.J Brill, (1953).

[20] Lihat: Al-Nadwi, Opt.cit  (m.s 199-200)

[21] Ibn Taymiyyah, Al-Radd ‘ala Al-Mantiqiyyin (2/131) dan  Al-Muwafaqah (1/88-89)

[22] Ibn Taymiyyah, Tafsir Surah Al-Ikhlas (m.s 57) dan Al-Radd (2/134)

[23] Penjelasan tentang latar belakang golongan ini akan dijelaskan di dalam bab 3.

[24] Lihat pendetailan pada bab 3.

[25] Lihat: Thomas F. Michel, S.J., A Muslim Theologian’s Response to Christianity. (m.s 15), New York: Caravan Book, (1984)

[26] Lihat: Nasr, Seyyed Hossein, An Introduction To Islamic Cosmological Doctrines. (m.s 182), State University of New York Press, (1993)

[27] Mereka adalah pengikut Jahm Bin Safwan yang menganut fahaman Al-Jabariyyah dan muncul di Tirmidh. Lihat: Al-Syahrastani, Muhammad Bin ‘Abd Al-Karim. Al-Milal wa Al-Nihal (1/73), Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Ctk. Kedua (1992).

[28] Ibn Kathir. Opt.cit (12/166)

[29] Ibid. (13/340)

[30] Ibid. (13/213)

[31] ‘Ain Jalut ialah sebuah tempat di Palestin. Peperangan yang berlaku pada bulan Ramadan 658H telah dirakam dalam sejarah sebagai detik gemilang yang dicapai oleh kerajaan Mamlukiy; kerana berjaya menghalang Tartar daripada menakluki bumi umat Islam sekaligus menyekat kemaraan mereka daripada memasuki Eropah.

[32] Ibn Kathir. Opt.cit (14/25-28)

[33] Ahli Dhimmah ialah orang-orang bukan Islam yang bernaung di bawah kerajaan Islam dengan penuh taat setia.

[34] Ibn Kathir, Opt.cit (14/18)

[35] Mereka ini adalah sebahagian daripada puak-puak  Syiah yang ekstrim lagi sangat berbeza dengan ahli Al-Sunnah wa Al-Jama’ah.

[36] Lihat: Ibn Kathir, Opt.cit

[37] Tajsim ialah satu kepercayaan bahawa Allah S.W.T mempunyai jasad dan anggota tubuh seperti manusia.

[38] Hama ialah sebuah bandar yang terletak di sebelah utara Syria sekarang.

[39] Ibn Kathir, Opt. Cit (14/4-5)

[40] Ibid. (14/12)

[41] Ibid. (14/38)

[42] Ibid. (14/40)

[43] Sultan Al-Mansur Saif Al-Din Qalawun ialah pemerintah kerajaan Mamlukiy di antara tahun 678-689H.

[44] Opt.cit (14/46-53)

[45] Al-Sab‘iniyyah ialah kelompok sufi pengikut ‘Abd Al-Haq Bin Ibrahim yang dikenali sebagai Ibn Sab‘in (668H) dan Al-‘Arabiyyah ialah pengikut Abu ‘Abd Allah Muhammad Bin ‘Ali Bin Muhammad yang dikenali sebagai Al-Syeikh Al-Akbar Muhyi Al-Din (Penghidup Agama) Ibn ‘Arabi (638H) tetapi digelar oleh Ibn Taymiyyah sebagai Mumit Al-Din (Pemati Agama).

Lihat: Ibid. (13/167&275)

[46] Ibid (14/69)

[47] Ibid (14/89) dan lihat contoh fatwa tersebut dalam: Kutub wa Rasa’il wa Fatawi Syeikh Al-Islam Ibn Taymiyyah (m.s 38 & 91) Maktabah Ibn Taymiyyah, Ctk. Kedua (t.t)

[48] Ibn Kathir, Opt. cit (14/127-129)

[49] Ibn Taymiyyah, Al-Fatawi (2/119)

[50] Perkataan Hanbali ini turut merujuk kepada sikap Imam Ahmad yang sangat tegas dalam polemik dengan Muktazilah tentang adakah Al-Quran itu qadim atau baharu, makhluk atau bukan? Beliau sangup dipenjara dan disiksa semata-mata mempertahankan pandangannya. Ini menyebabkan siapa sahaja yang mempunyai pendirian yang keras akan digelar Hanbali. Selain itu, mazhab Hanbali ini juga digelar oleh musuh-musuhnya sebagai Hasywiyyah atau Mujassimah.

[51] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 2509 dan 3451 ِ

[52] Ibn Taymiyyah, Majmu‘ah Al-Rasa’il Al-Kubra (1/16-17)

[53] Lihat: Harras, Muhammad Khalil. Ibn Taymiyyah Al-Salafiy. Beirut:Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Ctk. Pertama 1984/1404, (m.s 61)

[54] Ibn Kathir, Opt.cit (14/141-146).

[55] Lihat: Al-Syawkani, Opt.cit

[56] Lihat: Al-Dhahabi, Opt.cit

[57] Ibn Kathir, Opt.cit (13/276)

[58] Ibid. (13/231,233 & 236)

[59] Ibid (13/244)

[60] Ibid. (14/8)

[61] Ibid. (13/340)

[62] Al-Hajib ialah suatu jawatan yang telah wujud sejak zaman Bani Umayyah dan ‘Abbasiyyah iaitu yang bertanggungjawab menjaga khalifah dalam urusan dengan orang awam, ia menutup dan membuka pintu kepada sesiapa yang diperkenankan oleh khalifah. Tetapi dalam kerajaan Mamlukiy di Mesir, Al-Hajib adalah seorang yang berkuasa menjatuhkan hukuman ke atas rakyat, jawatan ni lebih rendah daripada ahli mesyuarat di raja dan menteri.

Lihat: Ibn Khaldun, ‘Abd Rahman Bin Muhammad, Muqaddimah Ibn Khaldun (2/674), Kaherah:  Dar Nahdah Mesir li Al-Tab‘ wa Al-Nasyr, (t.t) dan Muqaddimah Ibn Khaldun (1/128) http://www.alwarraq.com

 

[63] Ibn Kathir, Opt.cit (13/269)

[64] Ibid (13/274)

[65] Ibid (14/83-84)

[66] Ibid (14/79-80)

[67] Halaqah adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud: bulatan. Ia diambil sempena majlis-majlis ilmu yang dijalankan dalam bentuk bulatan atau hampir bulat.

[68] Al-Suyuti, Jalal Al-Din, Husn Al-Muhadarah (2/140). Kaherah, Mesir: Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyyah, Ctk. Pertama.

[69] Ribat dan khawaniq adalah istilah yang digunakan bagi pondok atau bangunan kecil yang digunakan oleh ahli sufi untuk melakukan latihan kesufian.

[70] Ibādi ialah salah satu cabang dalam mazhab Khawarij. Lihat: Al-Syahrastani, Opt.cit. (1/131-132).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>