Sujud Tilawah Dan Syukur

Perbahasan Lengkap Sujud Syukur Dan Tilawah

 

Di dalam Islam kita tidak boleh melakukan sujud kecuali hanya kepada Allah SWT, maka kita tidak boleh melakukan sujud kecuali apa yang datang dari perbuatan Nabi SAW. Sujud sangat bernilai kedudukannya di sisi Islam, kerana sujud adalah simbol kehambaan mutlak seseorang itu kepada Allah SWT, maka adalah amat salah jika kita sujud bukan selain kerana-Nya.

Antara sujud yang dibenarkan oleh Allah SWT adalah sujud Tilawah dan Syukur, kedua-duanya mempunyai sebab dan peraturan yang perlu kita ketahuinya dengan baik demi mendapatkan ganjaran yang besar dari nilai perlakuan tersebut. Kerana Dia Maha Kaya, dengan sedikit sahaja perbuatan kita, kita sudah mendapat ganjaran yang sangat tinggi daripadanya, tetapi dengan syarat iaitu mesti beramal berdasarkan ilmu yang sahih mengenainya iaitu berdasarkan dalil-dalil.

Kita masuk kepada perbahasan sujud Tilawah terlebih dahulu kemudian perbahasan sujud Syukur.

 

Takrif sujud tilawah adalah sujud disebabkan membaca atau mendengar ayat daripada ayat-ayat sejadah di dalam al-Quran.

Fadhilatnya

Sebagaimana yang kita tahu bahawa ibadah yang kita lakukan adalah demi untuk mendekatkan diri seseorang hamba itu kepada tuhannya, tetapi kita jangan lupa selain untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, Allah kurniakan juga kepada kita ganjaran yang sangat tinggi yang berupa pahala untuk kita bawa di hari akhirat kelak.

Daripada Abi Hurairah RA katanya: Nabi SAW bersabda: “Apabila membaca seorang anak Adam akan ayat sejadah lalu dia sujud, maka syaitan akan memencilkan diri menangis sambil berkata: Alangkah celakanya! Disuruh anak Adam sujud maka dia sujud dan baginya syurga, disuruh aku sujud, aku menderhakainya lalu tempat aku di dalam neraka.” (Riwayat Muslim No. 81)

Begitu juga dalil-dalil yang umum mengenai kelebihan orang yang sujud kepada Allah SWT, Antaranya hadis dari Abu Hurairah RA katanya: “Allah SWT memberi rahmat kepada ahli neraka, Allah menyuruh Malaikat mengeluarkan hamba-hamba yang dahulunya beribadah kepada Allah, maka para Malaikat mengeluarkan mereka dan mengenali mereka ini dengan tanda/kesan sujud, Allah mengharamkan ke atas api neraka dari membakar kesan anggota yang sujud, maka dikeluarkan mereka dari neraka, setiap anak Adam dibakar oleh api neraka melainkan anggota yang ada kesan sujud.” (Riwayat Bukhari 806, Muslim 182)

Demikian juga hadis daripada Thauban sahabat Rasulullah SAW, beliau bertanya kepada Nabi apakah amalan yang membolehkan Allah memasukkannya ke dalam syurga, maka Nabi SAW menjawab: “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud, maka sesungguhnya tidaklah kamu sujud dengan satu sujud, melainkan Allah mengangkat kamu kerana sujud tadi dengan satu darjat, dan menghapuskan daripada kamu dengan satu kejahatan.” (Riwayat Muslim 488)

Rabiah bin Kaab al-Aslami bertanya kepada Nabi SAW bagaimana untuk mendapatkan syurga yang tinggi, maka baginda menjawab: “Perbanyakkan sujud.” (Riwayat Muslim 489)

 

Hukum Sujud Tilawah

Ijmak para ulamak terhadap pensyariatan sujud tilawah daripada al-Quran dan hadis, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA katanya: “Nabi SAW ada membaca kepada kami satu surah yang terkandung di dalamnya ayat sejadah lalu baginda sujud, maka kami mengikuti sujud bersamanya.” (Riwayat Bukhari 1075, Muslim 575)

Pandangan yang mengatakan sujud tilawah wajib adalah daripada mazhab at-Thauri, Abu Hanifah, satu riwayat daripada Imam Ahmad, serta pandangan ini dipilih oleh Syekhul Islam Ibnu Taimiyah. (Lihat Fathul Qodir 1/382, Ibnu Abidin 2/103, Majmu’ al-Fatawa 23/139, 155, dan al-Insof 2/193)

Manakala pandangan jumhur para ulamak, mereka mengatakan sujud tilawah adalah mustahab (disukai) bukan wajib, mereka adalah daripada Imam Malik, Syafie, Auza’I, al-Laith, Ahmad, Ishaq, Abu Thauri, Daud, dan Ibnu Hazam al-Andalusi, demikian juga yang dinyatakan oleh Umar al-Khattab, Salman, Ibnu Abbas dari kalangan sahabat.

Ternyata dalil yang dikemukakan oleh pandangan yang kedua adalah lebih kuat dan rajeh walaupun secara umumnya pandangan pertama mengemukakan dalil-dalil daripada al-Quran yang menunjukkan sighah wajib, tetapi sighah itu menunjukkan kepada sunat kerana ada hadis yang mengkhususkannya kepada sunat.

Antara dalil mereka yang mengatakan mustahab adalah daripada Zaid bin Thabit RA katanya: “Aku telah membaca kepada Nabi SAW surah an-Najm (terdapat ayat sejadah), lalu nabi tidak sujud kerananya, dalam riwayat yang lain, tiada siapa pun dari kalangan kami yang sujud pada waktu itu.”(Riwayat Bukhari 1072, Muslim 577)

Begitu juga apa yang berlaku dalam kalangan sahabat iaitu semasa Umar bin al-Khattab berkhutbah dan beliau membaca surah an-Nahl sehingga apabila terdapat ayat sejadah, maka beliau turun bersujud serta makmum yang mendengar, sehingga bertemu lagi pada Jumaat yang datang dan beliau membaca ayat yang ada sejadah, lalu beliau berkata: “Wahai manusia, sesungguhnya disuruh kita untuk sujud, maka sesiapa yang sujud maka dia mendapat kebaikan, dan sesiapa yang tidak sujud tidaklah mendatangkan dosa padanya, dan ketika itu Umar RA tidak sujud.” (Riwayat Bukhari 1077)

Semasa Umar al-Khattab berkhutbah, sudah pasti para sahabat ada duduk sama mendengar, tetapi mereka tidak menafikan kata-kata Umar tersebut, maka ia dihukumkan sebagai mustahab (disukai) oleh ijmak para sahabat.

 

Cara Melakukan Sujud Tilawah

1.   Para fuqahak bersetuju bahawa sujud tilawah dilakukan dengan hanya sekali sujud sahaja apabila bertemu dengan satu ayat sejadah, bukan dua atau tiga kali sujud.

2.   Sujud tilawah sama gambarannya dengan sujud solat biasa.

3.   Tidak disyariatkan padanya Takbiratul Ihram dan juga salam, jika lakukan haram. (lihat Majmu’ al-Fatawa Syeikhul Islam 33/165), ini adalah sunnah yang sabit daripada Nabi SAW, ulamak-ulamak salaf, dan nas-nas daripada Imam-imam yang masyhur.

Ibnu Abdul Barr juga ada berkata di dalam at-Tamhid 19/134, tiada salam pada sujud tilawah, pandangan daripada Imam Malik, Syafie, Ahmad, dan Abu Hanifah.

4.   Ketika hendak sujud kita takbir (Allahu Akhbar seperti di dalam solat untuk pindah perbuatan) dan apabila hendak kembali daripada sujud juga hendaklah bertakbir. Ibnu Hajar berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika melakukan sujud tilawah, beliau mengangkat tangannya daripada sujud dengan takbir, iaitu bertakbir ketika mana ingin sujud atau pun ketika mengangkat kepala daripada sujud.” (Riwayat Ahmad 4/316, dan tarafnya Hasan), ini juga adalah pendapat jumhur fuqahak.

 

5.    Afdhal bagi sesiapa yang hendak sujud tilawah (Iaitu yang luar daripada solat) berdiri terlebih dahulu dan kemudian sujud. (Majmu’ al-Fatawa 23/173)

Tetapi jika tidak berdiri pun tidak mengapa, daripada duduk kemudian terus sujud tilawah, mazhab Imam asy-Syafie. (al-Majmu’ Imam Nawawi 4/65)

 

Adakah disyaratkan sujud tilawah suci daripada hadas dan perlu menghadap kiblat?

Jumhur Ulamak berpendapat bahawa kedua-dua perkara ini disyaratkan ketika hendak melakukan sujud tilawah iaitu sama syaratnya seperti solat. (Lihat Ibnu Abidin 2/106, al-Majmu’ 4/63, al-Mughni 1/650)

Manakala pandangan kedua iaitu daripada Ibnu Hazam dan Ibnu Taimiyyah mengatakan tidak disyaratkan pun bagi orang yang sujud tilawah suci daripada hadas dan tidak juga disyaratkan menghadap ke arah kiblat, kerana sujud itu bukan daripada solat tetapi ia sejenis daripada ibadah, dan diketahui bahawa ada jenis-jenis ibadah yang tidak disyaratkan pun untuk suci daripada hadas. Ini adalah mazhab Ibnu Umar, asy-Sya’bi, dan Bukhari. Ini adalah paling sahih, ini kerana mereka mengemukakan dalil yang lebih kuat berbanding daripada pendapat yang pertama di atas.

Antara dalilnya ialah hadis sahih daripada Ibnu Abbas RA katanya: “Nabi SAW sujud ketika mana membaca surah an-Najm (ada ayat sejadah), maka (hakikatnya) semua kaum Muslimin, para Mushrik, Jin dan manusia keseluruhannya sujud bersama Nabi SAW.” (Riwayat Bukhari 1071)

Imam Bukhari memberi komentar di dalam hadis ini dengan mengatakan orang musyrik najis dan tiada baginya wuduk. (lihat Fath 2/644).

Demikian juga yang diulas oleh Imam asy-Syaukani: “Tiada satu hadis yang sahih pun mengatakan mengenai sujud tilawah perlu kepada wuduk, telah hadir bersama Nabi SAW ketika mana membaca ayat-ayat sejadah dan tidak pula salah seorang daripada yang ramai itu disuruh untuk berwuduk, juga ketika mana Nabi SAW sujud dan bersamanya orang-orang musyrik ikut serta bersujud seperti di dalam hadis sedangkan mereka najis dan tidak sah berwuduk. Ada pun menutup aurat dan mengadap kiblat, maka dikatakan itu adalah andaian sahaja (tiada dalil).” (lihat Nailul Author 3/125)

Maka dengan penjelasan tadi yang paling sahih adalah tidak disyaratkan bagi orang yang sujud tilawah (luar dari solat) suci daripada hadas dan menghadap kiblat, tetapi tidak syak bahawa suci daripada hadas dan menghadap kiblat adalah lebih afdhal dan disukai, jika tiada sebarang keuzuran lebih baik bersuci dan menghadap kiblat, tetapi ia bukanlah syarat yang perlu.

 

Bagaimana sujud tilawah bagi orang yang sedang berjalan atau sedang menaiki kenderaan?

Sesiapa yang mendengar atau membaca ayat sejadah ketika mana dia sedang berjalan atau menaiki kenderaan dan dia hendak sujud, maka memadai dengan hanya melakukan isyarat sahaja iaitu menundukkan sedikit kepala sahaja pada mana-mana arah yang dia sedang lalu.

Ketika mana Ibnu Umar RA ditanya mengenai cara melakukan sujud tilawah ketika menaiki kenderaan? Beliau menjawab: “Sujudlah dengan memadai memberi isyarat” (Riwayat Abi Syaibah 4210 dengan sanad yang sahih).

 

Bagaimana bacaan ketika sujud tilawah?

Daripada Aisyah RA katanya: “Bacaan Nabi SAW ketika melakukan sujud al-Quran pada tengah malam, baginda akan membaca pada sujudnya:

 

Ertinya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta.” (Riwayat Abu Daud 1414, Tirmizi 580, dan Nasa’I 2/222)

Jika tidak mampu menghafal bacaan ini, kita boleh membaca dengan apa-apa doa yang kita hafal sama ada bacaan yang kita selalu lakukan di dalam solat atau pun doakan Ibu bapa dan sebagainya.

 

Adakah boleh melakukan sujud tilawah pada waktu yang diharamkan solat?

Boleh melakukan sujud tilawah pada bila-bila masa yang dia hendak, kerana sujud tilawah bukan daripada solat. Ini adalah pandangan Imam Asy-Syafie, satu riwayat daripada Imam Ahmad, dan juga Ibnu Hazam.

 

Terlambat melakukan sujud tilawah

Disunatkan bagi pembaca dan pendengar sujud pada ayat sajadah walaupun terlambat sedikit tidaklah memudaratkan, tetapi jika waktu tempohnya panjang maka dia tidak perlu lagi sujud. Pandangan Imam Syafie dan  Hanabilah. (Lihat al-Majmu’ 4/71-72, Kashshaf al-Qona’ 1/445)

 

Sujud tilawah ketika solat

Sujud tilawah juga sunat untuk dilakukan ketika berada dalam keadaan solat. Ini jelas daripada Abi Rofe’ mengatakan: “Aku telah solat bersama Abu Hurairah di dalam kegelapan, lalu beliau membaca:

 

Kemudian terus sujud tilawah, maka aku berkata kepadanya: Apakah ini? Maka Abu Hurairah berkata: Dulu aku telah sujud di belakang Abu al-Qosim yakni (Nabi SAW). (Riwayat Bukhari 766, Muslim 578)

Demikian juga yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya Umar telah sujud ketika membaca ayat sejadah di dalam surah an-Najm, dan bangun balik untuk menyambung bacaan.” (Dikeluarkan Abdul Razak 5880, dan at-Tohawi 1/355)

Sujud tilawah ini sunat dilakukan di dalam mana-mana jenis solat sama ada solat fardhu atau sunat, sama ada bersendirian atau jemaah, sama ada bacaan kuat atau senyap. Tetapi lebih baik jika solat jemaah secara senyap seperti solat zuhur dan asar tidak melakukan sujud tilawah kerana ia boleh membuatkan makmum salah faham iaitu boleh jadi imam rukuk atau sujud, maka makmum akan terkeliru dalam hal ini. Ini adalah pandangan jumhur para fuqahak iaitu Imam Hanafi, Malik dan Hanbali. Berbeza dengan pandangan Imam Syafie iaitu melewatkan sahaja sujud itu sehingga selesai sahaja daripada salam. (lihat al-Majmu’ 4/72)

 

Sekiranya ayat sejadah pada akhir surah, maka bagaimana?

Di sini para ahli sarjana membenarkan untuk kita lakukan tiga pilihan iaitu:-

1)   melakukan sujud kemudian bangun balik serta sambung surah yang selepasnya walaupun satu ayat, dan kemudian baru sujud. (Kaedah paling afdhal)

Ini berdasarkan perbuatan Umar al-Khattab RA, dia telah membaca pada waktu subuh surah Yusof dan sujud, kemudian pada rakaat kedua beliau membaca surah an-Najm maka dia sujud, kemudian beliau bangun kembali dan sambung membaca

 

(Dikeluarkan oleh Abdul Razak 2882, dan at-Tohawi 1/355)

 

2)   Terus sahaja melakukan ruku’ dan sujud

Daripada Nafi’: “Ibnu Umar ketika mana membaca ayat sejadah dalam surah an-Najm kemudian beliau akan sujud, tetapi jika tidak sujud (dalam solat yang lain), beliau akan terus ruku’ seperti biasa.” (Dikeluarkan oleh Abdul Razak 5893)

 

Tempat-tempat sujud sejadah di dalam al-Quran

Ayat sejadah di dalam al-Quran ada 15 tempat ke semuanya. Ini berdasarkan hadis daripada Amru bin al-Asr katanya: “Rasulullah SAW membaca 15 ayat sejadah di dalam al-Quran.” (Riwayat Abu Daud 1401, Ibnu Majah 1057, al-Hakim 1/223, al-Baihaqi 2/314)

Antara tempatnya ialah: -

1)   Surah al-A’rof ayat 206:

2)   Surah ar-Ro’du ayat 15:

3)   Surah an-Nahl ayat 50:

4)   Surah al-Isro’ ayat 109:

5)   Surah Maryam ayat 58:

6)   Surah al-Hajj ayat 18:

7)   Surah al-Furqan ayat 60:

8)   Surah an-Naml ayat 26:

9)   Surah as-Sajadah ayat 15:

10)   Surah Fussilat ayat 37:

11)   Surah Shood ayat 24:

12)   Surah an-Najm ayat 62:

13)   Surah al-Inshiqoq ayat 21:

14)   Surah al-Alaq ayat 19:

15)   Surah al-Hajj ayat 18:

Sujud Syukur

manakala sujud syukur dilakukan kerana mendapat nikmat yang besar di dalam hidup yang kadangkala jarang berlaku seperti lulus di dalam peperiksaan yang besar, mendapat anak, mendapat kerja, berkahwin dan sebagainya dan juga terselamat daripada bala bencana yang besar seperti kemalangan, selamat dari kebakaran dan sebagainya.

Nabi SAW melakukan sujud syukur di dalam kehidupannya, perbuatan ini disaksikan oleh lebih 12 orang sahabat. Daripada hadis Abi Bukroh RA katanya: Nabi SAW apabila datang kepadanya berita gembira, maka baginda akan terus sujud syukur kepada Allah SWT.” (Riwayat Tirmizi 1578, Abu Daud 1774)

Demikian juga mejoriti para sarjana di dalam pensyariatan sujud syukur ini, antaranya ialah Imam Syafie, Ahmad, Ishaq, Abu Thauri, Ibnu Munzir dan sahabat Abu Hanifah. (lihat al-Majmu’, al-Mughni, dan Fatawa al-Hindiyah)

 

Cara melakukan sujud syukur

Caranya sama seperti sujud tilawah di luar solat. Tidak disyaratkan juga mesti suci daripada hadas dan menghadap kiblat. Tetapi jika bersuci dan menghadap kiblat adalah lebih afdhal. Ia juga boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, jika ada sebab maka boleh lakukan sujud syukur.

Selain itu, ia tidak boleh dilakukan di dalam solat, kerana sebab yang membolehkan seseorang itu sujud syukur adalah di luar solat.

 

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

One thought on “Perbahasan Lengkap Sujud Syukur Dan Tilawah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>