388981_496660007016343_1229383797_n

Perbahasan Tayamum Dan Solat Ketika Sakit/Uzur

 

Islam adalah agama rahmat. Agama yang merahmati setiap lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang tidak kira faktor ilmu, budaya, zaman, bahasa, kesihatan dan sebagainya. Dari orang yang bekerja di bendang sehingga professor yang mengajar di universiti, agama meraikan setiap golongan yang ada, malah orang yang sakit atau sihat, agama tetap merahmati mereka. Agama ini bukan hanya untuk golongan tertentu sahaja. Agama yang bukan sahaja meraikan satu mazhab, tetapi merahmati ke semua mazhab yang ada di dalam ahli sunnah wal-jemaah sehingga sesuai merentasi zaman dan latar belakang penganutnya.

Luasnya agama ini sehingga merahmati setiap lapisan yang ada, maka terpulang bagi kita untuk mempelajari dan mencari keluasannya.

Hakikat agama ini sangat luas dan mudah, hanya yang jahil sahaja yang memberatkannya. Banyak dalil-dalil sama ada daripada al-Quran mahu pun sunnah yang membenarkan hakikat ini. Firman Allah SWT selaku pemberi wahyu di dalam agama ini menyatakan: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran (kerana Dia tahu manusia ini fitrahnya lemah dan dhaif) (Surah al-Baqaroh ayat 185)

Demikian juga hadis Nabi SAW yang menyebut tentang hakikat ini dengan sabdanya: “Agama itu mudah. Tiada seorang  yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka.” (Riwayat Bukhari)

Juga Hadisnya yang bermaksud: “Rasulullah tidak diberi pilihan antara dua perkara kecuali baginda mengambil yang paling mudah. Ini selagi ia tidak merupakan dosa (keluasan di dalam agama)” (Riwayat Bukhari)

 

Fitrah Kehidupan

Apabila kita sakit atau melihat orang yang sakit, kita akan dapati satu perkara yang sangat tidak enak di dalam benak fikiran kita. Orang yang sakit tidak dapat merasakan kesempurnaan di dalam hidupnya. Adakalanya tidak lalu makan, selalu pening kepala, terlalu sukar untuk bergerak, tiada selera, dan sebagainya. Sedangkan tuntutan terhadap ibadah adalah wajib khususnya solat selagi mana akal fikiran masih boleh berfungsi. Maka dalam hal ini agama ada menyediakan keringanan terhadap golongan ini.

Tetapi malangnya, para pesakit ramai yang tidak tahu-menahu mengenai keringanan yang telah diperuntukkan. Keliru sama ada pesakit tidak mahu ambil tahu atau ustaz tidak mahu ambil tahu kerana malas untuk ambil tahu. Rentetan daripada itu, ramai yang meninggalkan solat dengan sewenang-wenangnya kerana tidak mampu, sedangkan ada cara yang mudah untuk melaksanakannya. Agama ini sangat fleksibel. Peratusan pesakit di hospital yang meninggalkan solat adalah lebih 80%. Siapa yang harus kita salahkan, adakah pesakit sahaja atau agamawan yang tidak mahu menerangkan?

Oleh itu, pada penulisan yang lalu saya ada menulis mengenai solat jama’ tanpa qasar pada artikel yang lepas, antara solat jama’ tanpa qasar ini salah satunya diperuntukkan kepada orang yang sedang sakit, ini juga adalah pendapat Imam al-Nawawi Rahimahullah (W 676), pada penulisan itu saya mengatakan secara umum tetapi tidak kepada cara dan bagaimana untuk melaksanakannya secara khusus. Justeru, kali ini saya akan membicarakan secara lengkap bagaimana untuk kita melaksanakan solat tersebut berdasarkan disiplin ilmu yang dibenarkan oleh syarak demi untuk memudahkan urusan ibadah kita walaupun sedang sakit.

 

Secara Umumnya

Secara umumnya kita boleh menunaikan solat dengan keadaan yang berbagai mengikut kemampuan yang ada, jika tidak mampu berdiri, kita duduk, jika tidak mampu duduk kita baring, dan jika tidak mampu lagi, kita menggunakan isyarat mata sehingga kepada penggunaan hati selagi mana akal fikiran kita masih boleh berfungsi dengan baik. Selagi itu tanggungjawab solat berada di atas bahu kita, jika kita tinggalkannya di atas kejahilan serta kemalasan kita, maka kita berdosa.

Sebelum itu, apabila kita hendak solat, sudah pasti kita perlu suci daripada hadas kecil dan besar terlebih dahulu. Keringanan ini bukan hanya pada solat. Di atas kesukaran yang ada pada diri pesakit secara umumnya kadang-kadang mereka sukar untuk mengenakan air pada anggotanya, atau pergi ke bilik air yang terlalu jauh daripada katil hingga menyusahkan pesakit untuk mengambil wuduk serta kesulitan-kesulitan yang lain.

Oleh yang demikian, mereka dibenarkan untuk melakukan tayamum iaitu sekadar menepuk tapak tangan di dinding yang berdekatan dengan katil kemudian terus sapu ke bahagian muka dan tangan atau pun, sediakan sebiji batu untuk kegunaan tayamum juga tidak menjadi masalah. Tayamum mempunyai kaedah-kaedah yang telah disediakan oleh syarak dalam memudahkan urusan ibadah kita, maka kita akan bincang terlebih dahulu mengenai perbahasan tayamum untuk orang sakit, kemudian kepada perbahasan cara dan bagaimana solat orang sakit.

 

Tayamum

Tayamum adalah ibadah yang bersifat rukhsah. Allah SWT memberi kelonggaran kepada hambanya yang berhadapan dengan kesusahan atau kesulitan seperti ketiadaan air, sakit, air yang terlalu sejuk, takut memudaratkan diri dan sebagainya. Sebenarnya, kelonggaran ini membawa banyak faedah kepada orang yang berhadapan dengan kesulitan-kesulitan tersebut.

Antara dalil keharusan bagi orang sakit melakukan tayamum ialah berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan (Bersetubuh), sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah ayat 7)

Di dalam ayat tersebut Allah membenarkan orang sakit melakukan tayamum secara umum tanpa mengkhususkan banyak mana had sakit itu. Tidak pula mengkhususkan hanya pada sakit kulit sahaja, atau selain daripadanya. Maka apa yang kita faham dari ayat ini iaitu sesiapa sahaja yang tidak mampu menggunakan air kerana tidak mampu berjalan untuk mendapatkan air, luka di bahagian kulit, takut menambahkan kesakitan atau sakit-sakit yang lain, maka dia dibenarkan untuk melakukan tayamum. Inilah kemudahan yang Allah maksudkan di akhir ayat. Allah tidak mahu kita beroleh kesukaran di dalam beribadah disebabkan ujian sakit yang ada pada diri kita.

Demikianlah yang dikemukakan oleh para ahli sarjana sama ada salaf atau khalaf mengenai keringanan tayamum bagi mereka yang ditimpa ujian sakit.

Antara bahan-bahan yang boleh kita jadikan untuk buat sapuan tayamum adalah ke semua bahan yang asalnya daripada bumi iaitu seperti debu tanah, batu mar mar, batu, bukit, dan pasir. Ini adalah pendapat sebahagian besar para ahli sarjana fiqah iaitu Imam Abu Hanifah, Abu Yusof dan Imam Malik, manakala Imam Ibnu Hazam al-Andalusi membolehkan tayamum kepada semua jenis yang ada di atas muka bumi ini walaupun bukan daripada tanah atau pasir iaitu seperti tumbuhan dan seumpama dengannya. (Lihat al-Istizkar 3/157, al-Mabsut 1/107, al-Majmu’ al-Fatawa 21/364, al-Muhalla 2/158)

Jika dilihat kepada perbahasan di atas, maka kita dibenarkan untuk mengambil tayamum daripada dinding-dinding yang dibuat daripada bahan-bahan yang tidak asing lagi iaitu yang diambil atau diproses daripada bahan-bahan yang ada di atas muka bumi yang luas ini. Malah Ibnu Hazam memberi pandangan yang lebih ringan daripada itu apabila beliau membenarkan segala apa yang asalnya daripada muka bumi ini contohnya seperti baju yang kita pakai yang asalnya daripada pokok kapas, maka kita boleh membuat sapuan di atas baju kita juga. Begitu juga jika terdapat batu yang berdekatan, maka kita boleh buat sapuan ke atasnya.

Ini juga pendapat guru saya Prof. Dr Ali al-Umari (ahli majlis fatwa Jordan), beliau mengatakan kita boleh bertayamum di dinding-dinding, cermin tingkap, pakaian dan seumpamanya walaupun tanpa debu.

Ini juga penting bagi sesiapa yang terperangkap di dalam kenderaan seperti kereta kerana kesesakan jalan raya atau bas yang tidak mahu berhenti, maka kita boleh sapu di mana-mana bahagian yang ada di dalam kereta untuk bertayamum seperti cermin tingkap.

Dalil yang dikemukakan sangat banyak, antaranya hadis jelas lagi sahih yang diriwayatkan oleh Abu al-Jahim katanya: “Nabi SAW menyapu tangannya di permukaan dinding, maka baginda lakukan tayamum.” (Riwayat Imam Ahmad)

Demikianlah apabila kita lihat di dalam perbahasan ahli sarjana Fiqah yang luas mengenai masalah ini di dalam kitab-kitab muktabar seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik iaitu tidak mensyaratkan ada debu pada batu, mereka juga membenarkan untuk bertayamum menggunakan bunga, manakala Imam Ahmad membenarkan untuk bertayamum menggunakan pasir. Syeikh Hammad Bin Abi Sulaiman mengatakan tidak mengapa tayamum di atas batu mar mar atau mozek. (Lihat al-Mughni Ibnu Qudamah 1/319)

 

Cara Melakukan Tayamum

Selepas kita mengetahui bahan-bahan yang boleh kita ambilnya sebagai tayamum, maka kita perlu tahu bagaimana untuk melakukan tayamum dengan sempurna. Ini penting bagi memudahkan urusan kita ketika menghadapi suasana yang sukar. Cara untuk mengambil tayamum sangat mudah, hanya perlu buat beberapa pergerakan ringan kita sudah suci daripada hadas kecil dan besar, ini selari juga dengan keadaan orang yang uzur.

Di dalam perbahasan ahli sarjana, mereka ada kemukakan beberapa cara untuk melakukan tayamum berdasarkan dalil dan hujjah. Apabila kita melihat perbahasan yang telah dikemukakan oleh ulamak secara keseluruhan, maka menjadi tanggungjawab kita pula untuk menilai mana yang paling terbaik dalilnya berdasar suruhan Allah SWT di dalam firmanya di dalam surah al-Mulk yang bermaksud: Dinilai di antara kamu yang mana paling terbaik amalannya. Dalam perbahasan ini mempunyai dua pendapat.

Pendapat yang pertama mengatakan bahawa cukup dengan sekali tepuk, kemudian sapu sekali ke bahagian muka dan kemudian terus sapu ke bahagian pergelangan tangan iaitu tidak wajib sampai ke siku. Antara dalil pendapat pertama, mereka kemukakan ulasan berdasarkan hadis daripada Ammar bin Yasir bahawa Nabi saw menepuk sekali sahaja ke tanah, kemudian sapu ke bahagian muka dan pergelangan tangan. (Hadis Riwayat Bukhari 338 dan Muslim 798)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, ketika mana turunnya ayat tayamum beliau tidak tahu cara bagaimana untuk bertayamum, maka beliau datang kepada Nabi SAW untuk diajar bagaimana untuk melakukan tayamum, kemudian Nabi  SAW menepuk tangannya dengan sekali tepuk, kemudian baginda menyapu terus ke muka dan tangannya. (Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah 1/159)

Manakala pandangan kedua mengatakan bagi orang yang bertayamum tepuk tangannya dua kali iaitu sekali untuk sapu di bahagian muka dan satu lagi tepuk untuk bahagian tangan sehingga ke siku. Ini berbeza dengan pandangan yang pertama. Antara dalil yang dikemukakan adalah berdasarkan hadis Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda: “Tayamum ada dua tepuk, satu tepuk untuk muka dan satu lagi untuk tangan sehingga ke siku.” (Dikeluarkan oleh al-Hakim 1/179, al-Baihaqi 1/207 dan kedudukan hadisnya adalah dhaif)

 

Paling Tepat

Maka yang paling tepat di dalam perbahasan ini adalah pendapat yang pertama, kerana pendapat pertama memberi kaedah berdasarkan hadis yang sahih, manakala pendapat kedua mengemukakan hadis yang dhaif. Sebagaimana yang kita tahu bahawa hadis dhaif tidak boleh dijadikan dalil di dalam perkara yang melibatkan hukum syariat.

Demikian juga kerana lafaz tangan yang disebutkan di dalam al-Quran adalah secara mutlak kepada tangan sahaja tanpa menyebut hingga ke siku pada ayat tayamum di dalam al-Quran. Ini sama dengan kaedah yang diberikan oleh Ibnu Abbas RA, ketika mana hendak memotong tangan pencuri (Surah al-Maidah ayat 38), maka yang dipotong hanya ke pergelangan tangan sahaja, kerana lafaz yang digunakan pada ayat mencuri di dalam al-Quran juga adalah tangan. Ini juga pendapat Imam Ahmad dan Ibnu Aqil. (Lihat al-Mughni Ibnu Qudamah 1/332)

 

Antara kaedah mudahnya ialah:-

1)   Niat (Sahaja aku bertayamum kerana Allah Ta’ala)

2)   Tepuk sekali ke dinding, tanah, batu atau sebagainya. Mana yang mudah didapati. Contohnya pesakit boleh terus tepuk ke dinding di sebelah katilnya sahaja.

3)   Sapu sekali di bahagian muka.

 

 

 

 

 

 

 

 

4)   Sapu sekali di bahagian pergelangan tangan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana bagi orang yang berjunub?

Pesakit yang berjunub. Jika dia tidak mampu menggunakan air, maka dia boleh bertayamum sahaja. Ini pandangan jumhur para sarjana termasuk para sahabat seperti Ibnu Abbas, Amru bin Asr, Abu Musa, dan Ammar, serta para fuqahak seperti Imam Syafie, Malik dan lain-lain. (Lihat al-Mughni 1/333)

Apabila kita selesai melakukan tayamum, sudah suci daripada hadas. Maka pesakit boleh menunaikan solat berdasarkan kaedah yang akan dikemukakan di bawah.

 

Solat Ketika Sakit/Uzur

Secara umum mengenai tatacara solat ketika sakit ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dan hadis Nabi SAW. Antara ayat yang mengharuskan seseorang itu duduk atau sebagainya jika tidak mampu berdiri adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.” (Ali-Imran:191)

Kebanyakan ahli tafsir menyebut bahawa yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut ialah bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri ketika solat, maka dia boleh duduk, jika dia tidak mampu duduk maka dia boleh baring.

Begitu juga di dalam hadis, ketika mana Nabi SAW memberitahu kepada Imran bin Husain di dalam sabdanya yang bermaksud: “Solatlah dalam keadaan berdiri, jika tidak mampu (berdiri) boleh lakukannya dengan duduk, dan jika tidak mampu juga boleh lakukannya dengan mengiring.” (Riwayat Bukhari  1117)

Demikian juga hadis yang d riwayatkan oleh Jabir RA bahawa Nabi saw telah bersabda kepada seorang pesakit yang bersolat menggunakan bantal untuk ruku’ dan sujud, “Solatlah di atas bumi jika kamu mampu, jika kamu tidak mampu, gerakkan sahaja kepala kamu, dan jadikanlah sujud lebih rendah dari rukuk.” (Riwayat al-Baihaqi dengan Isnad yang kuat)

Berdasarkan dalil-dalil syarak di atas, ijmak ahli sarjana sepakat bahawa apabila seseorang itu tidak mampu untuk berdiri, maka dia boleh tunaikan solat secara duduk atau sebagainya mengikut kemampuan yang ada.  Dalil di atas adalah berbentuk umum, pelbagai situasi boleh ditafsirkan iaitu ia boleh disandarkan kepada orang tua yang uzur, orang sakit yang tidak mampu, dan sebagainya mengikut pergerakan yang dia mampu.

Sesiapa sahaja yang uzur daripada mana-mana perbuatan yang tidak mampu untuk dia laksanakan, maka dia boleh lakukan berdasarkan kemampuan yang ada seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka bertakwalah kepada Allah sebagaimana yang kamu mampu.” (Surah at-Taghabun ayat 16)

Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidaklah membebankan seseorang itu berdasarkan kemampuan dia.” (Surah al-Baqaroh ayat 286). Kedua-dua ayat ini menunjukkan kasih sayang Allah kepada hambanya yang tidak mampu kerana mengalami beberapa kesukaran, maka Allah memberi keringanan dalam melaksanakan ibadah berdasarkan kemampuan yang ada.

Namun, masih ramai yang masih keliru mengenai pergerakan yang wajar untuk kita lakukan semasa di dalam solat bagi orang yang sakit. Di sini saya akan senaraikan beberapa jenis cara bagi orang sakit untuk menunaikan solat. Antara caranya ialah seperti berikut:

1)   Pesakit boleh duduk di atas kerusi. Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka dia boleh solat duduk di atas kerusi. Cara rukuk dan sujudnya ialah hanya memberi isyarat iaitu kepalanya ditundukkan sedikit. Dan tunduk sikit lagi pada tempat sujud. Jika pesakit tidak mampu untuk rukuk atau sujud, maka dia boleh berdiri dahulu, kemudian apabila hendak rukuk dan sujud, ia hanya perlu duduk di atas kerusi dan buat isyarat menggunakan kepala. Demikian juga bagi yang tidak mahu duduk di atas kerusi, maka dia boleh duduk di atas katil, sejadah atau tempat yang sesuai seumpamanya mengikut kemampuan yang ada.

 

 

 

 

 

 

 

 

2)   Solat secara bersandar di dinding serta menjulurkan kaki di hadapan jika tidak mampu untuk duduk seperti biasa. Cara rukuk dan sujud sama seperti di atas.

(Sandarkan badan ke dinding, jika hendak meluruskan tangan pun tidak menjadi masalah seperti hendak letak di atas peha)

 

3)   Pesakit boleh baring secara mengiring di atas rusuk kanan dan wajah serta dadanya dihadapkan ke arah kiblat jika tidak mampu duduk. Cara rukuk dan sujudnya sama seperti di atas iaitu tundukkan sedikit kepala.

(Boleh letak bantal di bawah kepala, jika hendak meluruskan tangan pun tidak mengapa)

 

4)   Jika tidak mampu untuk baring secara mengiring di atas rusuk kanan, maka dia boleh baring secara terlentang dengan kakinya menghalakan ke arah kiblat. Cara rukuk dan sujudnya boleh mengisyaratkan kepala untuk tunduk sedikit seperti di atas. Tetapi sekiranya tidak mampu untuk membuat pergerakan tersebut, maka dia boleh menggunakan isyarat mata, iaitu pejam mata jika mahu rukuk dan sujud. Sekiranya tidak mampu juga untuk berbuat demikian, maka dia boleh menggunakan isyarat hati.

(Boleh letak bantal di bawah kepala, jika hendak meluruskan tangan pun tidak mengapa)

 

Akhirnya, sesiapa yang masih keliru atau tidak faham, boleh terus bertanya kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan penyampaian semi ilmiyah ini dapat membantu kita semua dalam melaksanakan ibadah berdasarkan konsepnya yang betul serta mudah dalam pelaksanaannya.

 

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

2 thoughts on “Perbahasan Tayamum Dan Solat Ketika Sakit/Uzur

  1. moon

    assalammualaikum…
    mcm mane nk ambil wuduk utk org yg nk solat scr baring.. yg mmg dah xboleyh nk gerakkn anggota bdnnye dgn sndri…

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      wasalam.. orang lain boleh ambilkan wuduk untuknya, atau pun tayamumkan utknya.. sekiranya takde orang nak bantu, solat sahaja seperti biasa.. ia tetap sah kerana para sarjana mengatakan jika menunaikan solat walupun kurang rukun dan syaratnya kerana uzur, maka ia tetap sah, pendapat ini termasuk ulamak mazhab syafieyah.. wallahu a’lam

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>