Ramadan ~ Fikrah Halaqah

Puasa: Rukun Dan Perkara Membatalkannya

 

Puasa sama sahaja seperti ibadah yang lain. Ia mempunyai syarat dan rukun yang harus diketahui oleh kita semua. Justeru, wajib bagi orang Islam mengetahui syarat dan rukun tersebut, supaya kita dapat menjalani ibadah puasa dengan baik berdasarkan hukum-hukum yang telah disusun oleh para sarjana fikah yang muktabar, juga berdasarkan dalil-dalil yang sahih.

 

Rukun Puasa 1

1)   Bersih daripada haid dan nifas bagi perempuan. Kedua-dua ini adalah syarat sah bagi puasa. Jika seseorang itu berada dalam keadaan haid atau nifas, maka dia tidak dibenarkan untuk berpuasa, jika berpuasa juga, hukumnya adalah haram. walaupun tidak berpuasa, dia tetap wajib gantikannya pada hari-hari selepas Ramadan.

2)   Niat puasa. Niat adalah membezakan antara nilai sesuatu ibadah atau adat. Ibadah adalah satu perkara yang besar, jadi untuk melakukannya seseorang itu perlu berniat terlebih dahulu di dalam diri dengan penuh ikhlas hanya semata-mata kerana Allah SWT. Ia juga bermaksud melakukan amalan tersebut dalam keadaan sedar dan fokus, bukannya main-main. Didikan agama kepada umat agar sentiasa fokus dalam setiap ketika dan keadaan.

Niat adalah syarat sah sesuatu ibadah, tanpanya ibadah tidak akan sah walaupun kita lakukannya dengan susah payah, kerana perkara ini adalah syariat seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid.” (al-Bainah ayat 5)

Demikian juga di dalam hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu dimulai dengan niat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Niat mempunyai beberapa syarat dalam pelaksanaannya.

1)   Berniat dalam keadaan yakin dan pasti (Jazam): Kita yakin bahawa kita berniat adalah kerana esoknya hari untuk berpuasa. Jika kita berniat dalam keadaan tidak yakin (syak) yang esoknya adalah hari puasa, tetapi memang betul esok adalah hari untuk berpuasa, maka niatnya tidak sah, kerana berniat dalam keadaan tidak yakin (syak).

2)   Penentuan (Ta’yin): Kita wajib menentukan puasa apa pada keesokan harinya, contohnya puasa fardu, kita wajib niat fardu, wajib atau sebagainya sama keadaannya seperti kita solat. Tidak memadai dengan hanya berniat puasa mutlak tanpa menentukan puasa apa. Ini adalah pandangan jumhur dan khilaf di dalam mazhab Hanafi.

3)   Berniat pada waktu malam: Waktu yang boleh niat puasa fardhu Ramadan adalah pada malam hari iaitu di antara tenggelam matahari (waktu berbuka) sehingga terbit fajar (sebelum azan subuh). Ini juga berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar RA daripada Hafsah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak berniat sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (khusus pada puasa Ramadan).” (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, dan an-Nasai, disahihkan oleh Syeikh al-Bani)

Niat memadai dengan menyebut di dalam hati: “Sahaja aku puasa fardhu Ramadan kerana Allah Ta’ala.”

4)   Membaharui niat pada setiap malam di bulan Ramadan (berulang-ulang): Jumhur pada ulama’ termasuk Imam Syafie’ mewajibkan agar niat puasa pada setiap malam iaitu berulang-ulang. Hukum ini diambil kerana dalil umum yang dikemukakan oleh hadis Ibnu Umar RA di atas.

 

Rukun Puasa 2

Secara umumnya, puasa ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa iaitu jarak masa daripada terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (waktu maghrib).” (al-Baqarah ayat 187)

Ayat ini sangat jelas menunjukkan bahawa orang Islam wajib menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula daripada terbit fajar (waktu subuh) sehingga terbenam mata hari (waktu maghrib). Namun, pada waktu malamnya, umat Islam boleh melakukan perkara-perkara tegahan tersebut seperti makan, minum, jima’ (suami isteri) dan sebagainya.

 

Perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah:

1)   Makan dan minum

Puasa akan terbatal sekiranya dia makan dan minum secara sengaja, sekiranya dia makan dan minum dalam keadaan dia tidak sengaja atau terlupa, maka puasanya tidak batal walau dia makan berapa banyak sekali pun.

Dalilnya adalah berdasarkan hadis Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia makan atau pun minum maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, sesungguhnya Allah yang telah memberikannya makan dan minum.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Misalnya, seseorang itu berpuasa sedangkan dia terlupa, maka dia makan sepinggan nasi. Sekiranya dia teringat bahawa dia sedang puasa, maka wajib bagi dia hentikan makan tersebut dan teruskan puasa seperti biasa.

 

2)   Sampainya ‘ain (sesuatu) ke dalam jauf (rongga) melalui liang yang terbuka.

Maksud ‘ain ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata. Manakala al-Jauf ialah otak, atau pun boleh juga dikatakan apa yang berada antara bawah halkum hingga ke perut. Maksud liang yang terbuka ialah  seperti mulut, telinga, qubul, dubur sama ada bagi lelaki dan juga wanita.

Jika setitik air yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Setitik air yang masuk ke dalam mata tidak membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka.

Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa kerana lubang dubur adalah liang yang terbuka. Manakala suntikan pada urat seperti ubat, tidak membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka dan begitulah seterusnya.

Semua perbuatan tersebut disyaratkan mestilah dalam keadaan yang sengaja, jika tidak sengaja kerana lupa atau sebagainya, ia tidak merosakkan puasa. Hukum ini juga dikiaskan kepada makanan dan minuman.

Sekiranya lalat, nyamuk atau debu jalan masuk ke dalam al-jauf, puasanya tidak batal kerana  payah untuk menghindarkannya. Sekiranya dia menelan air liur yang bernajis sama ada gusinya luka berdarah atau saki-baki makanan yang ada pada mulut tidak dibersihkan, maka batal puasanya.

Sekiranya dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung (madhmadhoh) lalu air itu termasuk ke dalam al-jaufnya, puasanya tidak batal, jika dia tidak melampau dalam memasukkan air sewaktu mengambil wuduk.

Sekiranya ada sisa makanan di celah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air liurnya tanpa sengaja lalu termasuk ke dalam perutnya, maka puasanya tidak batal. Tetapi sekiranya ia melakukan perbuatan itu dalam keadaan dia sedar yang ada sisa-sisa makanan di celah giginya lalu dia memakannya, maka batal puasanya. Kerana dia mampu untuk membuangnya atau membersihkannya. Sebab itu pandangan jumhur mengatakan bersiwak atau berus gigi sepanjang puasa tidak makruh walaupun selepas waktu zuhur, ini juga pandangan yang diambil oleh Imam Nawawi Rahimahullah.

Sekiranya dia dipaksa untuk makan atau minum, puasanya tidak batal kerana hukum ikhtiarnya (mempunyai pilihan) sudah gugur.

 

3)   Muntah dengan sengaja.

Sekiranya seseorang itu muntah dengan sengaja ketika puasa, maka puasanya batal walaupun dia yakin bahawa muntahnya itu tidak masuk balik ke dalam al-jaufnya. Tetapi sekiranya seseorang itu muntah dengan tidak sengaja walaupun dia pasti bahawa ada sedikit muntahnya termasuk balik, maka puasanya tetap sah dan diterima.

Ini juga berdasarkan hadis yang sahih daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang muntah tanpa disengajakan (sedangkan dia berpuasa) maka dia tidak perlu mengqada’kannya dan sekiranya dia muntah dengan sengaja, maka dia hendaklah mengqada’kan puasa (pada hari yang lain).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

 

4)   Bersetubuh dengan sengaja walaupun tanpa keluar air mani.

Secara jelas Allah SWT telah melarang perkara ini di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Makan serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu, sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah kamu setubuhi mereka ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.” (al-Baqarah ayat 187)

Maksud fajar ialah cahaya yang terbit dengan terang di ufuk langit tanda awal berakhirnya waktu malam dan bermulalah waktu siang.

Sekiranya pasangan itu bersetubuh dalam keadaan lupa maka ia tidak membatalkan puasa. Hukum ini dikiaskan dengan makan dan minum bagi yang terlupa di siang hari puasa.

 

5)   Al-Istimna’ (mengeluarkan mani bukan melalui cara persetubuhan).

Maksud al-Istimna’ ialah mengeluarkan air mani dengan melakukan percumbuan dan sebagainya atau pun dengan menggunakan tangan. Jika orang yang berpuasa sengaja melakukannya maka puasanya batal. Sekiranya ia berlaku di luar kawalannya seperti mimpi, maka tidaklah merosakkan puasanya.

Tetapi sekiranya suami ingin mencium isteri dengan ala kadar tanpa berlebih-lebihan, maka tidaklah menjadi masalah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA: “Rasulullah SAW telah mencium aku sewaktu baginda berpuasa. Siapakah di kalangan kamu yang dapat menguasai nafsunya sebagaimana Rasulullah SAW menguasai nafsunya.” (Riwayat Muslim)

 

6)   Haid dan nifas

Orang perempuan yang haid atau nifas, mereka tidak dibenarkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Tetapi mereka diwajibkan untuk menggantikan puasa-puasa yang telah ditinggalkan di atas keuzuran haid atau nifas pada hari-hari selepas bulan Ramadan. Ini berbeza dengan konsep meninggalkan solat bagi yang uzur.

Larangan ini berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA: “Rasulullah SAW bersabda tentang wanita  dan baginda telah ditanya sebab kurangnya agama bagi wanita: Baginda menjawab: “Bukankah apabila perempuan sedang haid, dia tidak boleh solat dan puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

7)   Gila dan murtad.

Bagi orang yang gila iaitu hilang akal dan keluar daripada Islam, maka keahliannya untuk berpuasa terbatal. Tidur tidak sama dengan konsep gila, jadi orang yang berpuasa jika dia tidur sepanjang siang hari puasa, maka puasanya masih sah, tetapi amalan itu tidak disukai oleh para alim ulama’ kerana puasa adalah medan amal dan medan buktikan kekuatan umat Islam.

Demikian juga bagi orang keluar daripada agama Islam, maka puasanya tidak lagi diterima, kerana syarat puasa adalah orang itu mestilah beragama Islam.

 

Akhirnya, sesiapa yang masih keliru atau tidak faham, boleh terus bertanya kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan penyampaian semi ilmiyah ini dapat membantu kita semua dalam melaksanakan ibadah berdasarkan konsepnya yang betul serta mudah dalam pelaksanaannya.

 

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

21 thoughts on “Puasa: Rukun Dan Perkara Membatalkannya

  1. adilah

    bagaimana dengan rawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang? adakah ianya membatalkan puasa?

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      pesakit buah pinggang jika dia tidak mampu berpuasa, maka dia boleh bayar fidyah selepas ramadan.. fidyah tu bagi makan secupak orang faqir miskin, mengikut puasa yang dia tinggalkan, kalau 30 hari, 30 cupak kene beri makan.. bayar sahaja nilai tu pada amil yang bertugas itu sgt mudah daripada mencari sendiri.. sakit ini sngt bahaya dan dia sangat2 terikat ngn ubat-ubatan.. jadi orang ini diberi keringanan untuk tidak berpuasa.. wallahu a’lam

      Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      ya, tidak batal.. apa yang masuk dalam jauf sahaja yang batal.. antara bawah halqum sehingga ke perut.. kalau korek hidung, ianya tidak masuk ke tempat jauf.. mandi tak batal puasa, korek telinga tak batal puasa, berus gigi pun tak batal puasa, berkumur2 pun tak batal puasa..

      Reply
  2. abu mansur

    salam..nak tanya,,kalau yg sakit asma tu? kebiasaannya bila penat dya sedut ‘gas’ ..macam mana ye?
    syukran

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      wasalam.. tak batal puasa.. ada 3 jenis inhaler, sumenya tak batal jika guna..

      Reply
  3. Mohammad

    Salam ustaz, boleh bagi penerangan yang jelas bagi perkara 7.

    Perkara ke 7. Gila dan Murtad

    Bukankah apabila seseorang itu bila gila bukan sahaja puasa malah semua amalan yang fardu baginya sudah bertukar hukum ?

    Dan apabila seseorang itu murtad bukankah tiada lagi amalan yang difardukan buatnya sehingga dia memperbaharui syahadahnya. kenapa perkara tersebut dimasukkan dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa yang sudahnya mengelirukan apabila berlakunya perbezaan pendapat para ulamak?

    Perkara ke 2. Sampai ain ke dalam rongga terbuka.

    Bolehkah ustaz berikan dalil-dalil yang jelas mengenai perkara ini contohnya seperti hadis yang sohih dan nas dari al quran yang mana boleh memberikan penerangan yg lebih baik kepada saya dan saudara yg lain.

    Maafkan saya ustaz mungkin sedikit kejahilan pada diri saya walaupun saya ada menuntut ilmu sunnah, sebab setakat apa yang saya belajar hanya 3 perkara yang membatalkan puasa iaitu makan, minum, bersetubuh dgn isteri di siang hari mengikut nas dari al quran dan apabila keluar haid dan nifas bagi perempuan mengikut hadis nabi s.a.w. walaupun masa di sekolah menengah dulu saya ada belajar seperti yang ustaz nyatakan di atas. dalam hal ini menimbulkan beberapa kekeliruan di kalangan umat, jadi saya terpanggil untuk bertanya. Terima kasih

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      wasalam.. terima kasih di atas soalan yang baik.. sebenarnya di dalam bab ibadah, saya masih lagi mengikut kepada mazhab popular kita iaitu Syafie.. memandangkan negara kita menggunakan mazhab Syafie, jdi saya lebih refer utk bagi tahu apa yang kebiasaan orang Malaysia tahu.. sebab saya tulis mengikut masyarakat umum.. tetapi jika saudara sudah mengetahui kaedah sunnah yang mungkin Syafie lebih ketat dalam pendapatnya, itu terpulang. itu saya ada kepilkan dalam hukum bermazhab pada artikel yang lalu.. walaupun begitu, saya ada keluar sedikit daripada penbincangan mazhab seperti masalah ubat-ubatan yang lain memandangkan ia adalah sgt penting.. begitu juga dngn berus gigi, mandi dan selainnya..

      Gila dan Murtad adalah 2 perkara membatalkan puasa secara khusus dan kita tak nafikan secara umumnya semua perkara akan berubah hukum.. tetapi dalam tajuk ini, kita lihat pada yang khusus, sbb ibadah puasa ini melibatkan satu tempoh yang lama, maka di sini saya juga menggunakan kaedah yang ada dalam mazhab Syafieyah..

      Syafie ini lebih kepada kaedah kias dan berjaga2.. ya, haid dan nifas, 2 perkara yang membatalkan puasa seperit hadis yang telah saya telah ditulis di atas.. itu juga pandangan jumhur para fuqaha’..

      Saya masih samar soalan saudara.. kalau ada yang tertinggal, saudara bagi tahu lagi ye..

      Reply
  4. Mohammad

    Terima kasih ustaz saya faham maksud ustaz, sebenarnya saya bertanya bukan sahaja bagi pihak diri saya tapi saudara islam lain yang mungkin membaca artikel ustaz yang mana mereka terdedah kepada kekeliruan bila mana mereka bertanya dengan berbagai ustaz atau ulamak yang mempunyai pelbagai pendapat, pada diri saya pula saya lebih cenderung kepada mengikut apa yang tertulis dalam al quran berserta sokongan hadis2 yang sohih dari mengikut ajaran mazhab yg agak bercampur aduk di negara kita, dan saya percaya itu tidak menjadi kesalahan selagi ianya berpandukan al quran dan hadis yg sohih, saya juga ada membaca buku Mazhab Syafie tapi apa yang saya baca dan saya lihat tidak sama dengan perlaksanaan oleh masyarakat kita di Malaysia. Maksud saya lain yang tertulis lain yang diamalkan hal ini sedikit sebanyak mengundang banyak kekeliruan umat dewasa ini. Terima kasih sekali lagi atas penerangan ustaz.

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      sama-sama.. tidak mengapa, orang awam boleh beramal dengan apa2 sahaja yang difatwakan kepadanya walaupun bertukar mazhab.. janji ada sumbernya :) itu juga pandangan mejoriti ulamak kontemporari masa kini seperti Dr Yusof, Dr Wahbah, Dr Ramadan, Dr Abdul Karim dan lain2..

      Reply
  5. sesiapa sahaja

    Assalamualaikum Ustaz. Selamat menunaikan ibadah puasa. persoalan saya adalah semasa saya membuang air besar di bulan ramadhan. mmg perkara mcm nie selalu berlaku kepada masyarakat melayu yg suke makan masakan yg pedas. ketika membuang air besar. dubur terasa panas/pedas. jdi oleh kerana tidak tahan jdi pancutkn air paip dlm dubur untuk menghilangkn terasa pedas itu. jdi adakah batal puasa jika melakukan perbuatan tersebut???

    Reply
  6. shima

    Assalamualaikum ustaz…saya nak bertanya mengenai mandi wajib..
    adakah puasa pada hari itu dikira atau tidak..sekira kita mandi wajib pada waktu azan subuh…

    Reply
  7. norma

    Assalamualaikum ustaz….

    berkenaan mandi wajib bg perempuan yg uzur..sah kah puasa kite kalau mandi wajib sebelum masuk waktu zohor. seorang ustazah ada memberitahu bahawa puasa itu sah..

    Reply
  8. Nurul

    Salam ustaz.. Ustaz, saya dn suami telah bersama di malam hari.keesokan hari nya kami telah terlewat bangun, untuk ke tmpt bekerja dan tidak sempat mandi hadas.Adakah puasa kami sah sepanjang hari tersebut.

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      Wasalam.. Puasa puan dan suami sah. Teruskan puasa seperti biasa. Nabi SAW juga pernah terlewat mandi hadas besar ketika di bulan Ramadan, setelah mandi. Nabi SAW teruskan puasa seperti biasa.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>