Soal Jawab: Apakah Hukum Memakan Daging Sembelihan Ahli Kitab (Kristian & Yahudi) Dan Daging Import?

Oleh Muhammad Fathullah Al-Haq

Soalan: Assalamualaikum wbt, Adik saya baru sambung belajar ke US, dan dia ada tanya tentang apa hukum makan daging yang disembelih tapi bukan dengan Bismillah? katanya di sana susah hendak mendapatkan daging halal yang disembelih dengan sempurna dan harga pun 2-3 kali ganda lebih mahal. Lagipun makanan di hall residence pun dia tak pasti status halal/haram makanan yang dihidangkan.

Yang menjadi persoalan, katanya senior-senior dia di sana berijtihad bahawa daging yang disembelih (tanpa bismillah) tu halal sebab katanya itu negara ahli kitab (?) Betul ke?

 

Jawapan: Terima kasih di atas soalan, yang saya kira sangat baik untuk kita kongsikan bersama. Apakah hukum memakan sembelihan orang Kristian atau orang Yahudi terutamanya apabila berada di negara bukan Islam sebagai mejoriti tanpa membaca bismillah? Insyaallah, saya akan menjawab persoalan ini berdasarkan perbahasan dalil supaya kita lebih yakin di samping dapat memudahkan urusan kita semua ketika berada di luar negara.

 

Memilih Makanan Yang Halal Lagi Baik

Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa agama Islam sangat menitik beratkan konsep kebersihan sama ada dalaman atau luaran diri seseorang individu itu, maka Islam mewajibkan umatnya mengambil makanan yang halal lagi baik demi menjaga kemaslahan (kepentingan) hidup.

 

Maka sudah pasti cara sembelihan juga sangat berkait rapat dengan faktor makanan dan kebersihan jika kita sedari. Sebab itu kalau kita prihatin mengenai sejarah, umat Islam pada zaman awalnya sangat sukar untuk menemui orang yang mempunyai penyakit disebabkan tidak menjaga makanan atau kebersihan.

Hal ini kerana mereka  benar-benar faham dan mengimani firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqaroh:168)

 

Selain itu, mereka juga sangat suka mengikuti sunah Nabi saw yang suka berhenti makan sebelum kenyang, ini bertepatan dengan firman Allah swt yang bermaksud: “Makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (al-A’rof:31)

 

Perkara ini juga telah dibuktikan oleh kebanyakan pakar-pakar sains pemakanan yang menyatakan bahawa sembelihan cara Islam adalah sembelihan yang paling terbaik di dunia. Justeru, kenapa Islam membenarkan orang Islam memakan sembelihan orang Kristian atau Yahudi? Kerana sembelihan mereka sama konsepnya dengan sembelihan yang dilakukan oleh orang Islam.

 

Dalil Membenarkan Makan Sembelihan orang Kristian Atau Yahudi

Antara dalil yang menghalalkan sembelihan mereka adalah berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).” (Al-Maidah:5)

 

Jumhur ulama’ tafsir menjelaskan bahawa ayat ini jelas secara umumnya orang Islam boleh mengambil sembelihan mereka walaupun tanpa membaca Bismillah, Kenyataan ini juga disokong oleh kebanyakan ulama’ salaf dan juga riwayat daripada Imam Ahmad (boleh lihat di dalam kitab Ahkam Ahli-Zimmah dan juga Bidayatul Mujtahid).

 

walaupun ada ayat al-Quran yang menyatakan: “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya.” (Al-An’am). Guru saya Prof Dr Ali Umari (Prof di Kuliyyah Syariah) menjelaskan bahawa ayat ini dikhususkan bagi orang Islam sewaktu mereka melakukan penyembelihan, tidak ditujukan pada sembelihan orang Kristian atau Yahudi.

Di dalam kitab (Sahih Fiqh Sunnah) juga ada menyebut: “Sesungguhnya halal sembelihan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) sekiranya tidak diketahui bahawa dia menyebut selain daripada nama Allah swt ketika melakukan penyembelihan.”

 

Negara Bukan Mejoriti Islam

Akan tetapi apabila kita berada di dalam negara yang majoritinya Islam seperti di Malaysia dan negara lain seumpamanya, maka kita sangat digalakkan untuk membeli daging-daging sembelihan dari orang Islam. Namun, apabila situasi kita yang sedang berada di luar negara yang mana bukan orang Islam sebagai mejoriti, maka ada keringanan hukum di sana seperti apa yang saya nyatakan di atas.

 

Adakah sama golongan ahli kitab pada zaman sekarang dan zaman turunnya wahyu al-Quran?

Golongan ahli kitab pada zaman ini dan ahli kitab pada zaman turunnya wahyu al-Quran adalah sama. Hal ini kerana mereka sudah menyeleweng dari ajaran sebenar sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi. Mereka yang tidak menyeleweng pasti akan beriman kepada Nabi saw seperti sepupu Saidatina Khadijah yang bernama Waraqoh Bin Naufal, ahli penduduk Madinah sewaktu sebelum penghijrahan nabi saw.

 

Selain Ahli Kitab Dan Daging sembelihan Yang Diimport

Di sini kita perlu jelas bahawa Allah swt hanya membenarkan sembelihan Ahli Kitab seperti apa yang termaktub di dalam al-Quran, maka selain daripada itu adalah diharamkan seperti sembelihan golongan yang menyembah berhala, golongan yang tidak percaya tuhan, golongan murtad, dan golongan penyembah api.

Selain itu, daging yang diimport dari negara yang majoritinya adalah bukan dari negara ahli kitab, maka kita tidak dibenarkan untuk memakannya.

 

Akhirnya, sesiapa yang masih keliru atau tidak faham, boleh terus bertanya kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan penyampaian semi ilmiyah ini dapat membantu kita semua ketika berada di luar negara.

Sekian,

 

Muhammad Fathullah Al-Haq

17/2/2012

Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

 

6 thoughts on “Soal Jawab: Apakah Hukum Memakan Daging Sembelihan Ahli Kitab (Kristian & Yahudi) Dan Daging Import?

  1. fadhli

    Salam ustaz,

    Saya mengalami situasi yang sama. Sudah berada 6 bulan di USA. Bekalan daging halal adalah seperti yang dinyatakan dalam situasi diatas. Jarang saya dengar bahawa kita boleh makan daging sembelihan bukan Islam, meskipun terdapat rakan Muslim saya (terutamanya yang lahir di USA) makan sahaja daging non zabiha.

    Terima kasih atas penjelasan ustaz di atas. Ia membuka minda saya bahawa fiqh ini luas.. kecetekan ilmu menyebabkan kita sendiri terasa susah, dan menyusahkan..

    Maknanya lepas ni, saya beli sahaja daging di pasaraya yang lebih murah harganya tapi tidak zabiha?

    Reply
  2. ismet

    asswrwb..

    saya tak faham baca article diatas. Ust cakap ahli kitab sekarang dan dahulu adalah sama, tapi the next sentence : mereka telah selewengkan ajaran Nabi.
    So???

    lagi pula, macam mana kita make sure yang sembelih tuh ahli kitab bukan atheist???

    wassalam

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      wasalam.. terima kasih di atas soalan yang baik..
      1. ya, mmg ahli kitab sudah seleweng semenjak zaman nabi saw lagi, byk ayat al-quran yang menunjukkan bahawa mereka adalah sesat dan sudah menyeleweng, tetapi dalam sesetengah keadaan kita boleh makan makanan sembelihan mereka dan kahwin dngn wanita mereka, kerana ia dihalalkan oleh Allah swt di dalam al-Quran.
      2. kita tidak tahu dalaman mereka, kita menghukum apa yg zahir dari mereka, jika mereka kate mereka adalah kristian, maka kita boleh makan sembelihan mereka.. wallahu a’lam

      Reply
  3. Mohammad

    Terima kasih atas penjelasan, inilah yang saya belajar dalam ilmu sunnah sebelum ini, dan saya juga yakin apa yang tertulis dalam Al quran itu benar, saya juga percaya bahawa Al-quran itu rujukan sepanjang zaman.

    Reply
  4. rika

    aslkmwrwb,
    Saya tak berapa faham dengan penjelasan yg diatas…bolehkah ustaz jelaskan dengan lebih ringkas dan mudah untuk saya fahami…Untuk pengetahuan ustaz saya tinggal di jepun dah 6 tahun..selama ni saya makan sahaja daging lembu dan ayam yang dijual di supermarket…saya tak tahu plk yang sembelih tu ahli kitab atau tidak.menurut ustaz adakah selama ini daging yang saya makan halal atau tidak…kerana menurut seorang kawan saya, haram hukumnya memakan daging kalau daging itu tidak disembelih secara islam…

    Reply
    1. Fathullah Al-Haq Post author

      wasalam.. terima kasih di atas soalan yang baik.. Moga diampunkan dosa2 yg kita lakukan di atas kejahilan diri.. Org Islam tidak boleh makan sembelihan kecuali jika sembelihan itu dari orang Islam, kristian atau yahudi.. jika selain daripada itu, hukum ijmak para ulamak adalah haram cthnya binatang yang disembelih oleh org yg beragama budha, hindu atau selainnya.. Jadi selepas ini awak perlu berjaga2 ya daripada mana awak ambil daging sembelihan.. Alhamdulillah, kerana Allah bg jalan utk tahu mengenai hukum hakam :)

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>