Soal jawab fikrah halaqah

Soal Jawab: Permasalahan Tayammum Jika Sakit Atau Luka Pada Anggota Wuduk

Assalamualaikum. Izinkan saya ajukan beberapa kemusykilan.

Selepas daripada accident, saya ada luka-luka di bahagian tangan dan kaki (anggota wuduk). Maka apabila saya mengambil wuduk, saya terpaksa membasuh pada bahagian yang tidak luka sahaja, sebab apabila basuh di bahagian luka. Saya akan rasa pedih dan sakit.

Soalannya, adakah solat saya sah dari segi syarak jika saya tidak membasuh luka yang sepatutnya dibasuh dengan air ketika wuduk ? kalau solat saya tidak sah, adakah saya perlu mengulanginya seperti orang yang melakukan solat hormat waktu?

 

Jawapan: Terima kasih di atas soalan yang  telah diajukan, yang saya kira sangat baik untuk kita semua ambil perhatian yang sewajarnya, kerana ia melibatkan soal ibadah harian dan sangat berkait rapat dengan faktor keadaan semasa kita. Insyaallah, saya akan jawab permasalahan ini seperti berikut.

 

1.  Pertamanya, saudara perlu mengulangi solat yang telah dilakukan di atas alasan bahawa wuduk yang diambil tidak sah. Maka selagi mana saudara melakukan seperti perkara di atas, maka saudara wajib mengulanginya. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang menyebut: “Allah SWT tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwuduk.” (Riwayat Abu Daud)

Dari Umar Ibn Khattab RA, katanya: “Ada seorang lelaki berwuduk, di kakinya ketinggalan tempat tak terbasuh seluas kuku. Hal ini dilihat Rasulullah SAW lalu beliau bersabda: Ulangilah wudukmu dengan sempurna. Setelah diulanginya, barulah ia solat.” (Riwayat Imam Muslim).

 

Dari Abu Hurairah RA., katanya: “Sempurnakanlah olehmu wudukmu sebab sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Celakalah bagi tumit-tumit yakni kaki yang tidak dibasuh secara sempurna ketika melakukan wuduk dari siksa api neraka.” (Riwayat Imam Bukhari).

 

2.  Jika kita menyuruti kisah pada zaman nabi saw di mana seorang Muslim telah diseksa di dalam kubur akibat tidak membasuh kakinya dengan sempurna ketika mengambil wuduk. Kita perlu tahu bahawa wuduk perlu diambil dengan sempurna iaitu dengan meratakan air pada seluruh anggota wuduk. Tetapi di dalam perkara ini Allah SWT tidaklah membebankan seseorang itu untuk melaksanakan wuduk pada setiap kali hendak melakukan ibadah, maka Allah SWT menyediakan jalan alternatif bagi mereka yang sakit, atau ketiadaan air dan sebagainya iaitu dengan melaksanakan tayamum.

 

Allah SWT telah berfirman: Jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan (bersetubuh), kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. (an-nisa’ ayat 43)

Untuk persoalan di atas, ia sebenarnya sangat berkait rapat dengan ayat ini. Jika saudara sakit/luka di bahagian anggota wuduk maka dibenarkan oleh syarak untuk saudara melakukan tayamum, tidak perlu ambil wuduk, hal ini kerana air wuduk wajib diambil dengan sempurna.

 

3.  Tayammum ini boleh dilakukan atas faktor luka yang ada pada anggota seperti tangan, kaki atau anggota wuduk yang lain. Jika terkena air padanya, maka akan menimbulkan rasa sakit dan akan menyebabkan luka bertambah parah apabila terkena air, mungkin juga akan terdedah kepada kuman, penyakit dan sebagainya. Maka perkara ini dibenarkan untuk kita lakukan tayamum. (Pendapat jumhur ulamak)

 

4.  Bagaimana cara melakukan tayamum? Ia dimulakan dengan niat (Sahaja aku bertayamum kerana Allah Ta’ala), kemudian tekap tapak tangan di dinding bangunan (walaupun tanpa debu) dan sapu terus ke bahagian muka dan pergelangan tangan, hanya sunat sapuan sampai ke siku. Hal ini jika sukar untuk mendapatkan debu tanah di luar atas faktor tertentu.

 

5.  Perlukah mengulangi tayamum pada setiap kali hendak solat? Perkara ini adalah khilaf sebilangan besar juga daripada kalangan sarjana fekah, hal ini kerana tiada sandaran dalil yang kuat padanya. Jadi untuk mengambil jalan berhati-hati, maka kita ulangi tayamum pada setiap kali hendak solat dan selepas masuk waktu solat sehinggalah sembuh dari sakit.

 

6.  Perlukah mengulangi solat tersebut? Tidak perlu mengulangi semua solat tersebut, kerana solat yang dilaksanakan telah pun sah. Imam al-Muzani berkata; “setiap solat yang wajib dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun dilaksanakan dengan terdapat suatu kekurangan, tidak wajib diulangi semula”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab al-Haidh, bab at-Tayammum).

Dan pendapat ini juga disokong oleh Imam an-Nawawi kerana menurut beliau; pandangan ini paling kuat dari sudut dalilnya kerana Allah berfirman; “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” (at-Taghabun: 16). Iaitu kita membuat kewajipan dengan kadar kemampuan yang ada pada waktu itu.

 

7.  Jika ada sebarang persoalan atau kemusykilan mengenai jawapan di atas, boleh berikan komen di bahagian ruangan komen.

 

Wallahu A’lam

 

Rujukan

1. Guru saya Prof. Dr Ali Umari (Pakar Fiqh Perbandingan  Kuliyah Syariah U.Yarmouk)

2. Al-Bayan Fi Mazhab al-Imam asy-Syafei, Syarah Muhazzab Dan Fiqh Perbandingan.

3. Sahih Fiqh Sunnah Wa-adillah Wataudih Mazahib al-Aimmah.

This entry was posted in Koleksi Soal Jawab on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>