152-160-large

Tafsiran Ayat Allah Ciptakan Bumi Ini Dalam Enam Masa

 

Assalamualaikum ustaz. Boleh terangkan maksud ayat 54 dari surah al-A’raf iaitu Allah menciptakan langit dan bumi selama 6 masa. Apakah yang dimaksudkan dengan 6 masa tersebut?

Dan ayat 56 dalam surah yang sama juga bermaksud “Jangan kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi ini, kerana Allah telah memperbaikinya. Apakah tafsiran ayat ini, pernahkah alam ini rosak/binasa sebelum ini? Syukran Jazilan

 

Jawapan: Wasalam. Terima kasih di atas soalan yang baik.

Maksud ayat  54: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy.”

Maksud ayat 56: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.”

1) Telah berkata Abu Jaa’far (Imam At-Tobari): “Sesungguhnya (Allah) tuan kamu dan Dia yang memperbaiki urusan kamu. Wahai manusia, Dia (Allah) yang disembah oleh kamu semua dengan segala jenis ibadah. Dialah yang mencipta langit dan bumi ini dalam enam masa iaitu, hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat.” (At-Tobari, jld 14, hlm, 482)

Telah berkata Mujahid, “Mula-mula diciptakan ialah Arasy, air, udara, serta diciptakan bumi daripada air. Dia telah mula menjadikannya pada hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, dan semuanya lengkap tercipta pada hari Jumaat. Setiap hari-hari itu adalah persamaan dengan 1000 tahun.” (At-Tobari, jld 14, hlm, 482)

Mengenai Istiwa’ selepas 6 hari itu adalah khilaf yang amat besar di kalangan para ulama. Jadi, saya lebih cenderung seperti apa yang dikatakan oleh Imam Malik iaitu, “Istiwa’ itu diketahui dari segi bahasanya, bagaimana caranya tidaklah diketahui, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah.” (Al-Qurtubi, jld 7, hlm 219)

Maknanya di sini, Imam Malik amat-amat berhati-hati untuk meletakkan hak Allah SWT takut-takut tersilap. Maka hal ini adalah perkara ghaib dan serah maknanya pada Allah SWT.

 

2) Telah berkata Abu Jaa’far, “Yang dimaksudkan dengan janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi ini setelah Allah SWT menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya,” merujuk kepada janganlah kamu mensyirikkan Allah SWT di atas muka bumi ini dan tidak melakukan perkara maksiat di atasnya. Kerana akibat dari perbuatan itu adalah kerosakan yang akan berlaku di bumi.” (At-Tobari, jld 12, hlm 487)

“Setelah Allah SWT menyediakan segala yang membawa kebaikan”, iaitu menyediakan orang-orang yang soleh dengan menghantar kepada manusia para Rasul untuk menyeru ke jalan kebenaran, dan menjelaskan kebenaran itu kepada manusia.” (At-Tobari, jld 12, hlm 487)

Di sini, tidaklah bermaksud bahawa bumi sebelum ini pernah rosak, kerana Allah SWT telah menciptakannya sebaik mungkin. Tetapi muka bumi ini rosak adalah disebabkan kesyirikan dan perilaku maksiat yang dilakukan oleh manusia. Ya, apabila manusia tidak lagi sembah Allah SWT serta membuat perbagai perkara maksiat, ia akan merosakkan bumi ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>