solat

Waktu Bila Makmum Perlu Baca Surah Al-Fatihah

 

Ramai yang bertanya. Jika imam solat membaca secara jahar/kuat, perlukah makmum membaca surah al-Fatihah juga ketika itu. Misalnya, ketika solat maghrib secara berjemaah, imam membaca surah atau ayat-ayat daripada al-Quran selepas membaca surah al-Fatihah. Adakah makmum perlu diam dan mendengar bacaan imam atau pun membaca surah al-Fatihah juga.

Perkara ini adalah khilaf para ulama. Berikut adalah jawapan yang diberikan oleh Dr Asyraf Bani Kinanah (Pensyarah di kuliyah Usul Fiqh Universiti Yarmouk).

Katanya, perkara ini terdapat perselisihan oleh para ulama. Ada sebahagian yang kata, makmum perlu diam kerana jelas dalil umum daripada ayat al-Quran, iaitu suruh mendengar jika diperdengarkan bacaan al-Quran. Ini seperti firman Allah SWT,

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-A’raaf: 204)

Ayat ini juga dituntut hanya di dalam solat iaitu jika diperdengarkan bacaan oleh imam, maka makmum perlu mendengarnya. Ianya disebut di dalam tafsir Ibnu Kasir, “Daripada Ibnu Abbas mengatakan bahawa ayat ini khusus pada solat-solat yang fardu, ia tidak dituntut untuk di luar solat.” (Tafsir Ibnu Kasir, 2/372)

Manakala sebahagian lagi pendapat, suruh makmum membaca juga surah al-Fatihah kerana Nabi SAW berkata dengan lafaz hadis umum, bahawa setiap kali solat perlu membaca surah al-Fatihah. Berdasarkan sabda Nabi SAW,

لا صَلاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca surah al-Fatihah.” (Direkodkan oleh Bukhari, no. 756)

Lalu para ulama menilai kedua-dua dalil sahih ini lantas menyimpulkan, pada solat jahar/bacaan kuat ketika imam membaca al-Quran atau surah lazim selepas membaca surah al-Fatihah, makmum tidak perlu baca surah al-Fatihah. Hanya mendengar sahaja apa yang imam baca. Tetapi jika solat secara sir/bacaan senyap, wajib bagi makmum membaca surah al-Fatihah pada setiap kali solat. Ini adalah perdapat majoriti para ulama.

Ketika solat jahar/bacaan kuat contohnya seperti solat isyak, imam hanya membaca kuat pada dua rakaat pertama sahaja, dua rakaat yang akhir imam mebaca dalam keadaan senyap, maka wajib bagi makmum membaca surah al-Fatihah ketika itu, demikian juga pada solat maghrib.

Sekiranya antara bacaan al-Fatihah dan surah selepasnya, imam diam sebentar. Maka makmum boleh membaca al-Fatihah. Adakah makmum perlu baca sampai habis surah al-Fatihah sementara imam meneruskan bacaan?

Yang paling rajeh adalah berhenti membaca walaupun ditengah-tengah surah al-Fatihah, yakni tidak perlu habiskan bacaan al-Fatihah dan kemudian mendengar kembali bacaan imam. Itu jika imam berhenti, tetapi sekiranya imam terus membaca ayat lain selepas bacaan al-Fatihah seperti imam di Mekah, maka tidak perlu makmum baca surah al-Fatihah lagi. Hanya diam sahaja dan dengar apa yang imam baca.

Hal ini kerana, imam membaca untuk makmum mendengar, jika sama-sama membaca, maka siapa yang ingin mendengar bacaan imam. Wallahu A’lam.

This entry was posted in Fekah & Ibadah on by .

About Fathullah Al-Haq

Muhammad Fathullah Al-Haq Bin Muhammad Asni. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Sekarang sedang bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Agama di Syarikat Kump. KarangKraf di Shah Alam. Boleh hubungi beliau di fath_asni@yahoo.com atau No h/p: 0149089464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>